Tuesday 27 January 2015

Friendly : Perlawanan Persahabatan Amal NS Matrix (2) vs (2) Sarawak FA



*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Menjelang sepak mula Liga Perdana yang akan berlangsung pada 6 Februari 2015, NS Matrix telah mencatat keputusan seri 2-2 ke atas pasukan Liga Super, Sarawak FA dalam satu perlawanan persahabatan malam tadi. Perlawanan tersebut yang turut diadakan untuk mengumpul dana membantu mangsa banjir di pantai timur telah dilangsungkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Sarawak yang mempertaruhkan dua gandingan penyerang import terlebih dahulu mengasak kubu pertahanan NS Matrix dan J. Partiban hampir membuka tirai perlawanan setelah mendapat umpanan daripada Ivan Fatic namun percubaannya berjaya dihalang Helmi Eliza pada minit ke-15. Dua minit kemudian, pasukan Sarawak memberi keceriaan kepada penyokong mereka yang hadir dengan gol pertama hasil tandukan Ryan Griffith yang menerima bola hantaran daripada Joseph Kalang Tie lalu menerjah ke jaring gol NS Matrix. Ryan Griffith hampir menggandakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-23 apabila tandukannya berjaya menggegarkan palang gol setelah mendapat umpanan dari J. Partiban dalam situasi sepakan sudut. Selang seminit kemudian, giliran Joseph Kalang Tie pula melakukan percubaan melalui gerakan solo namun percubaannya ke sebelah kanan gawang gol terkena tiang gol walaupun Helmi Eliza sudah pun tertewas. Tersentak dengan serangan bertali arus dari kem Sarawak, Negeri Sembilan cuba mengatur serangan dan Dzaiddin Zainuddin hampir menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-28 namun sepakannya sedikit tersasar ke kiri pintu gol Sarawak setelah mendapat umpanan dari Forkey Doe. Pada minit ke-30, Forkey Doe yang mendapat umpanan daripada Hazeri Hamid, melakukan percubaan dari luar kotak penalti dengan menyungkit bola apabila melihat Iqbal Shuhaimi sedikit terkeluar dari posisi namun percubaan tersebut dinafikan palang gol. Gandingan Forkey Doe dan Hazeri Hamid akhirnya menjadi dua minit kemudian apabila umpanan Hazeri Hamid di dada kemas oleh Forkey Doe sebelum Forkey Doe memusingkan badan dan menyepak bola ke kiri pintu gol Sarawak untuk kedudukan 1-1. Ryan Griffith mendapat dua peluang untuk menjadikan Sarawak mendahului sebelum tamat tirai separuh masa pertama namun kedua-dua percubaannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar ke kanan pintu gol(minit 33, minit 40). Memasuki babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan memperkemaskan benteng pertahanan lalu menyukarkan penyerang pihak lawan mengatur gerakan. Namun, NS Matrix terlebih dahulu mengambil peluang untuk mendahului 2-1 pada minit ke-52 apabila bola lorongan Forkey Doe ke tengah dari dalam kotak penalti berjaya disambar Dzaiddin Izzudin lalu menyumbat bola masuk ke dalam gawang gol Sarawak. Kombinasi antara Dzaiddin dan Forkey Doe sekali lagi mencemaskan kem Sarawak dalam situasi sepakan percuma apabila lambungan Dzaiddin singgah ke kepala Forkey Doe namun tandukan Forkey Doe sedikit mengecewakan(minit 60). Enggan pulang dengan episod duka, Sarawak melakukan beberapa pertukaran dan hasilnya pemain gantian, Ashri Chuchu berjaya mengambil kesempatan dari kesilapan benteng pertahanan NS Matrix yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan melorongkan bola ke tengah dan Billy Mehmet hanya perlu menampan bola untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-68. NS Matrix menutup tirai perlawanan dengan percubaan menarik daripada Irwan Fadzli Idrus yang melakukan volley setelah mendapat umpanan dari Sivanesan namun percubaannya gagal menepati sasaran pada babak akhir perlawanan.

Barisan pemain:

NS Matrix : Helmi Eliza(gk), Fazliata Taib(Fauzie Nan), Jean Marc Alexandre, Azizi Md Rose (Radzuan Abdullah), K. Kavichelvan(A. Segar), Dzaiddin Zainuddin, Bruno Mertelotto(Irwan Fadzli Idrus), S. Sivanesan, Hazeri Hamid, Izzudin Zainuddin(Rezal Zambery Yahya), Forkey Doe

Sarawak FA : Iqbal Shuhaimi, Hairol Mokhtar, Ronald Hikspoors, Ronny Harun, Ramesh Lai Ban Huat, Joseph Kalang Tie(Nazri Kamal), Shahrol Saperi, Ivan Fatic, J. Partiban(Ashri Chuchu), Ryan Griffith(Shreen Tambi), Billy Mehmet 



Friday 23 January 2015

Friendly : Perlawanan Persahabatan Amal NS Matrix (2) - (0) Terengganu FA

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, satu perlawanan persahabatan amal yang membabitkan NS Matrix dan Terengganu FA telah dilangsungkan malam tadi untuk kutipan Tabung Mangsa Banjir Pantai Timur. Pada separuh masa pertama, Terengganu dilihat lebih banyak menyerang ke arah kubu lawan menerusi gandingan penyerang Ashari Samsudin dan Manaf Mamat dan percubaan pertama ke pintu gol NS Matrix yang dikawal Helmi Eliza bermula pada minit ke-14 apabila Manaf Mamat bijak untuk membuka hantaran ke sebelah kiri sebelum rembatan Ashari tepat ke arah Helmi Eliza. Helmi Eliza sekali lagi diuji pada minit ke-26 kali ini menerusi Fakhrurazi Musa yang mengambil sepakan percuma dan merembat tepat ke penjaga gol setelah Nordin Alias dijatuhkan. Ashari hampir membuka tirai jaringan untuk pasukan Terengganu pada minit ke-30 apabila Fakhrurazi menghantar bola rendah dari sebelah kanan namun kuisan Ashari sedikit tersasar dari pintu gol. Helmi Eliza sekali lagi bertindak cemerlang dengan menafikan percubaan Manaf Mamat dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-33. Ketika perlawanan baru sahaja bersambung untuk babak kedua kira-kira satu minit, Manaf Mamat harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil kesempatan menjaringkan gol dalam situasi kesilapan pertahanan NS Matrix yang membolehkan Ashari mengumpan bola untuk Manaf namun tindakan Manaf agak lambat ketika pintu gol NS Matrix sudah pun terbuka. Seakan-akan tersentak dari lamunan, NS Matrix mula mengatur gerakan mencari gol menerusi penyerang harapan Forkey Doe namun gagal untuk menembusi benteng kental Terengganu. Percubaan berbahaya NS Matrix hanya tiba pada minit ke-56 apabila Forkey Doe menghantar bola kepada S. Sivanesan namun rembatan Sivanesan sedikit tersasar ke kiri pintu gol. Minit ke-61, komunikasi yang kurang baik dari Vincent Bikana dan penjaga gol Terengganu, Hafidz Ramly membolehkan NS Matrix memperoleh gol pertama setelah Vincent Bikana tertanduk bola ke pintu gol sendiri ketika Hafidz Ramly sudah pun keluar dari kawasan untuk menyekat bola lambungan Sivanesan ke arah Forkey Doe dari tengah padang. Terengganu cuba bangkit dengan membuat beberapa pertukaran namun usaha mereka menemui jalan buntu walaupun beberapa percubaan dari Paulo Rangel tepat ke dakapan penjaga gol (minit 62) dan Manaf Mamat (minit 66) serta Ismail Faruqi (minit 80) masing-masing menyaksikan percubaan mereka sedikit tersasar dari pintu gol. Ketika Terengganu asyik melakukan serangan, NS Matrix hampir mengambil kesempatan apabila Forkey Doe yang menerima umpanan Rezal Zambery berjaya melepasi perangkap offside dan mengatasi Azlan Zainal namun sepakannya lemah dan berjaya diselamatkan Hafidz Ramly. Di babak akhir permainan, NS Matrix memperoleh sepakan percuma di hadapan pintu gol Terengganu dan sepakan tersebut berjaya disudahkan oleh Forkey Doe yang merembat tepat ke bucu kiri pintu gol. Tamat perlawananan NS Matrix 2-0 Terengganu FA.

NS Matrix : Helmi Eliza(gk), Fauzi Nan(Azizi Md Rose), Irwan Fadly Idrus, Jean Marc Alexandre, Akmal Mohd Noor(Fazliata Taib), Kim Jin-Ryong(K. Kavichelvan,Shahrizal Saad), Bruno Mertelotto(Hazeri Hamid), S Sivanesan, G Puaneswaran(Izzudin Zainuddin), Rezal Zambery, Forkey Doe

Terengganu : Hafidz Ramly(gk), Vincent Bikana, Radhi Yusof(Azlan Zainal), Helmi Remeli(Zubir Azmi), Hafizal Mohamad(Khairul Rosmadi), Shahrin Sapien(Ismail Faruqi), Nordin Alias(Zairo Anuar Zailani), Fakhrurazi Musa(Gustavo Lopez), Khairul Ramadhan(Paulo Rangel), Ashari Samsudin(Syed Sobri), Manaf Mamat(Amirul Syahmi)

Analisis perlawanan :