Monday 23 January 2017

Ulasan Liga Perdana 2017 : Negeri Sembilan (3) - (0) Sabah

*Ulasan untuk perlawanan ini lebih berpihak kepada pasukan Negeri Sembilan memandangkan ini adalah perlawanan pertama musim baru dan penulis sedang mengenal pasti para pemain Negeri Sembilan yang rata-ratanya pemain baru untuk musim ini.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad Hobin Jang Hobin memulakan kempen musim baru Liga Perdana 2017 dengan langkah bergaya apabila mudah menumpaskan Sabah 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung Jumaat lalu. Pemain import baru Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki Castanheira, ternyata berjaya meletakkan status dirinya sebagai seorang pemain import apabila meledakkan hatrick dalam perlawanan pertama. Gol-gol yang dijaringkan pada minit ke-14, 24, dan 38 membuatkan Negeri Sembilan selesa untuk menamatkan perlawanan sebelum separuh masa kedua dijalankan lagi.

Ulasan pasukan Negeri Sembilan :

Memasuki empat musim dalam Liga Perdana dan setelah awal musim yang cemerlang pada tahun lepas dan merudum selepas pertengahan liga,Negeri Sembilan kembali memberi harapan kepada penyokong setia walaupun masih ada yang agak skeptikal dengan perubahan pasukan terutama dari segi pengurusan. Namun Negeri Sembilan seperti biasa lebih selesa bermain secara one half play di mana mereka menunjukkan kegarangan dalam separuh masa(separuh masa pertama) dan bertahan(separuh masa kedua). Tidak dapat dikenal pasti adakah ini strategi yang digunakan Asri Ninggal sama ada untuk mengimbangi pasukan, mengaplikasikan strategi bertahan dan menyerang untuk perlawanan mendatang, ataupun kerana para pemain keletihan. Negeri Sembilan boleh dikatakan menggunakan formasi 4-4-1-1 dalam perlawanan ini.  

Penjaga gol :
 Negeri Sembilan terus memilih untuk menggunakan penjaga gol veteran dan kali ini Saiful Amar Sudar menjadi pilihan walaupun mempunyai pilihan pemain muda seperti Kaharudin Abd Rahman, Yatim Abdullah dan Ezad Ariff(pemain Piala Presiden musim lalu). Saiful Amar boleh dikatakan tidak diuji dalam perlawanan ini dan aksi memintas bola di udara ketika hantaran lintang tinggi serta sepakan sudut yang dilakukan pemain Sabah boleh dipuji. Namun, ada satu ketika tangkapan Saiful Amar kurang kemas ketika cubaan untuk menghalang hantaran lintang rendah penyerang Sabah dan mujur Saiful berjaya mengutip semula bola yang terlucut dari dakapannya. Sabah nyaris-nyaris berjaya menembusi pintu gol Negeri Sembilan pada minit ke-75 apabila sepakan percuma yang diambil Masaya Jitozono dihantar ke dalam kotak penalti melepasi pertahanan Negeri Sembilan sebelum ditampan oleh rakannya tetapi sayang bola tersebut menuju ke kaki Saiful Amar dan rembatan susulan dari Rawilson Batuil hasil bola muntah menyaksikan bola tersebut membias setelah terkena pertahanan Negeri Sembilan yang membantu di pintu gol.

Pertahanan :    
Seperti Saiful Amar, empat pertahanan Negeri Sembilan yang dikemudi dua pertahanan tengah, ketua pasukan Nasriq Baharom dan pemain import, Nemanja Vidic, dibantu oleh pertahanan kiri(Hasrul Mustafa) dan kanan(Fauzan Fauzi) belum benar-benar teruji dengan barisan serangan Sabah dilihat agak tumpul pada perlawanan ini. Fauzan Fauzi dan Hasrul Mustafa dilihat mampu untuk membantu barisan serangan apabila sekali-sekala membuat overlapping sehingga Hasrul Mustafa dua kali berjaya masuk ke dalam kotak penalti dan dijatuhkan pada minit ke-18 di mana pengadil menafikan sepakan penalti dan minit ke-34, bentesan dari belakang oleh Randy Baruh ke atas Hasrul membuatkan pengadil tidak teragak-agak untuk meniupkan wisel memberikan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan. Memegang status pemain berpengalaman, permainan Nasriq Baharom di separuh masa kedua persis permainan Shukor Adan. Tidak memerlukan larian, hanya perlu berada di tempat yang betul untuk menahan dan memintas through ball serta menyepak bola keluar mengikut suka sama ada keluar padang atau ke tengah gelanggang tanpa melihat di mana rakan berada. Corak permainan ini ternyata mengundang padah apabila rakan sepasukan terikut-ikut untuk mengeluarkan bola asal boleh dan memberi ruang kepada Sabah untuk terus melancarkan serangan. Ada satu ketika, Nasriq Baharom gagal untuk menyepak bola keluar mungkin akibat keletihan tetapi mujur tiada penyerang Sabah yang datang untuk menyambar bola tersebut. Arman Fareez yang masuk untuk menggantikan Fauzan Fauzi tidak banyak menyumbang melakukan overlapping selain bertahan disebabkan corak bertahan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua walaupun Arman seorang fresh player ketika itu.

Barisan tengah :
Gabungan pemain naturalisasi,  Curran Singh Ferns dan Faizal Abu Bakar ternyata menjadi pada separuh masa pertama apabila kedua-dua pemain berjaya mengawal kawasan tengah sehingga Sabah gagal untuk mengatur serangan dari kawasan tengah. Curran Ferns terutamanya kerap berjaya mencuri bola ketika pemain Sabah ingin melancarkan serangan malah Curran Ferns merupakan pencetus bagi gol kedua Negeri Sembilan. Pada minit ke-24, Curran Ferns melorongkan bola kepada Lee Tuck sebelum percubaan Lee Tuck berjaya ditampan penjaga gol Rozaimie Rohim dan menuju ke sebelah kiri padang sebelum Marko Simic mengutip bola dan melambungkan semula ke depan pintu gol di mana Bruno sudah bersedia untuk menanduk masuk ke arah kanan pintu gol yang gagal digapai Rozaimie. Pemain sayap kiri dan kanan Negeri Sembilan pula ternyata memiliki pendekatan berbeza dalam permainan mereka. Pemain import, Lee Tuck yang memulakan permainan di sebelah kiri kerap melakukan percubaan ke arah pintu gol berbanding Izuan Salahudin yang bermain di sebelah kanan yang lebih gemar melakukan hantaran silang dan pendek kepada rakan sepasukan. Lee Tuck telah menguji Rozaimie seawal minit ketiga apabila mengatasi pertahanan Sabah sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang terpaksa ditampan keluar oleh Rozaimie. Pada minit ke-12, Lee Tuck sekali lagi melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun sepakan tersebut hanya menyentuh luar jaring gol Sabah ketika ramai penonton sudah melompat untuk meraikan jaringan. Selain Bruno, Lee Tuck ternyata menjadi watak penting dalam gol-gol Negeri Sembilan apabila dua assistnya untuk Bruno membuahkan hasil. Pada minit ke-14, Negeri Sembilan memperoleh sepakan percuma di kawasan tengah kiri padang kerana kekasaran pemain Sabah ke atas Lee Tuck sebelum Lee Tuck mengambil sepakan percuma pantas mencari Bruno yang sudah bersedia di kawasan berbahaya Sabah. Bruno dengan pantas mengatasi seorang pemain pertahanan Sabah sebelum menolak bola melepasi kaki Rozaimie ketika dalam situasi satu lawan satu untuk gol pertama Negeri Sembilan. Pada minit ke-38, hantaran lintang rendah Lee Tuck menuju ke tengah gol berjaya mencari Bruno, sebelum Bruno menarik sedikit bola keluar untuk kedudukan yang lebih selesa dan melakukan placing ke arah yang sama gol kedua dijaringkan untuk gol ketiga peribadi serta gol ketiga Negeri Sembilan. Pada minit ke-29, Lee Tuck hampir-hampir mencatat nama sebagai penjaring gol apabila sepakan percuma yang diambil disepak rendah dan melencong melepasi dinding yang dibina menuju ke bucu pintu gol namun Rozaimie berjaya melayangkan badan untuk menepis bola tersebut. Secara keseluruhan, hampir kesemua situasi bola mati dalam kawasan bahaya Sabah diambil oleh Lee Tuck dan Lee Tuck satu-satunya pemain yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil dalam perlawanan ini kerana melakukan terjahan dua kaki ke atas pemain Sabah pada minit ke-(xx). Yang menarik untuk disaksikan adalah sekali-sekala Lee Tuck dan Izuan Salahuddin bertukar posisi bagi menembusi barisan pertahanan Sabah. Penulis agak gembira dalam duka ketika Asri membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Shahrul Igwan serta Nizam Roslan bagi menggantikan Izuan Salahuddin dan Faizal Abu Bakar. Gembira kerana Asri memberi peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi dan menimba pengalaman namun agak sedih kerana tidak mengeluarkan pemain seperti Bruno yang telah meledak hatrick bagi tujuan merehatkan pemain dan Marko Simic yang kelihatan tidak berfungsi dalam perlawanan ini kecuali satu assist yang dilakukan. Kemasukan Shahrul Igwan seolah-olah Negeri Sembilan selesa untuk bertahan pada separuh masa kedua apabila corak permainan Shahrul adalah tipikal permainan Malaysia ketika menentang pasukan yang lebih kuat, iaitu berkampung di kawasan sendiri. Shahrul seolah-olah bermain futsal secara half court dengan bertahan di kawasan sendiri dan menutup ruang pintu gol dan bukan mengawal pemain lawan. Ada satu ketika Shahrul menyuruh penyerang melakukan close down kepada pemain lawan yang membawa bola sedangkan ketika itu Shahrul lebih dekat dan merupakan fresh player. Manakala Nizam Ruslan yang bermain dalam sepuluh minit terakhir dilihat mahu membantu serangan apabila melakukan larian ketika melihat Bruno menggelecek bola ke kawasan lawan tetapi sayang bola itu dipintas pertahanan lawan. Nizam seharusnya ketika itu menjauhkan diri sedikit dari pertahanan lawan dan bukannya menuju ke arah Bruno melarikan bola.

Penyerang :
Tidak perlu diperkatakan lagi tentang Bruno Suzuki yang dilihat seolah-olah bermain secara free role. Sentiasa berada di dalam kotak penalti ketika rakan sepasukan mahu melakukan hantaran dan kadang kala turun untuk mengutip bola dan mengatur serangan sebelum dibawa ke dalam kotak penalti. Tindakan Bruno pada minit ke-31 melakukan hantaran satu dua bersama Marko Simic dalam kotak penalti berhak dipuji walaupun ketika itu Bruno mempunyai peluang untuk melengkapkan hatrick. Ini menunjukkan Bruno tidak tamak dalam mencari gol. Dia memilih untuk menghantar semula kepada Marko Simic yang mempunyai ruang yang lebih selesa namun tolakan Marko Simic ke arah kanan pintu gol sedikit tersasar dari pintu gol. Marko Simic yang berperanan menjadi target man gagal memberi impak positif dan lebih malang sepakan penalti yang diambilnya pada minit ke-34 berjaya dibaca oleh Rozaimie dengan melayangkan badan ke sebelah kanan pintu gol dan bola yang ditampan Rozaimie pergi semula ke arah Marko Simic dan ketika Rozaimie tidak bersedia, Marko Simic memilih untuk merembat melepasi palang pintu gol. Pada minit ke-87, Lee Tuck melambungkan bola ke dalam kotak penalti mencari Marko Simic dan first touch yang dilakukan Marko sedikit jauh dari kaki walaupun tiada pemain yang mencabar dan Marko merembat lemah ke arah Rozaimie.

Bagi pasukan Sabah pula, oleh kerana penulis kurang memberi tumpuan kepada pasukan lawan, agak kurang pasti formasi yang digunakan oleh anak buah Steve Vilmiaire. Pada separuh masa pertama, penyerang Rahman Shah Marajeh agak keseorangan ketika membawa bola dan menariknya ketika Sabah menyerang, barisan pertahanan mereka menjadi tiga orang. Boleh diandaikan mereka menggunakan formasi 3-6-1 dalam perlawanan ini.

Penjaga gol :
Walaupun melepaskan tiga gol, Rozaimie Rohim masih boleh dipuji dengan beberapa aksi menyelamatkan pintu gol Sabah dari dibolosi dengan lebih jaringan. Selain aksi-aksi menampan bola percubaan Lee Tuck, Rozaimie boleh dipuji atas usaha menyelamatkan sepakan penalti Marko Simic, sepakan percuma Lee Tuck dan selepas situasi satu lawan satu bersama Marko Simic di mana Marko Simic merembat lemah ke arahnya, bola tersebut menuju ke kaki Shahrul Igwan dan Shahrul Igwan menolak bola ke arah pintu gol tetapi Rozaimie sempat menepis bola keluar walaupun posisi Rozaimie agak jauh dari bola.

Pertahanan :
Tidak banyak yang boleh diperkatakan untuk pertahanan Sabah. Kegagalan mengekang Lee Tuck ternyata mengundang padah apabila Lee Tuck dilihat bermaharaja lela di sebelah kiri padang dan Steve Vilmiaire perlu berbuat sesuatu di barisan kanan pertahahan kerana ketiga-tiga gol Negeri Sembilan bermula dari sana.

Barisan tengah :
Barisan tengah pasukan Sabah yang cuba untuk melakukan sesuatu di separuh masa kedua dilihat lebih menyerlah dengan kemasukan Sabri Sahar yang menggantikan Leopold Alphonso. Sabri yang merupakan pemain utama Negeri Sembilan musim lalu, bersama Masaya Jitozono cuba untuk mencipta peluang kepada jaringan gol. Tidak dinafikan, melihatkan permainan Sabri, ia seolah-olah satu kerugian kepada skuad Hobin Jang Hobin membenarkan Sabri pulang ke kampung halaman. Dan seperti Lee Tuck, hampir semua sepakan bola mati untuk Sabah di kawasan berbahaya Negeri Sembilan diambil oleh Masaya Jitozono.

Penyerang :
Jonathan Behe mungkin memerlukan sedikit bantuan dari pemain lain untuk mencipta peluang gol. Bermain sebagai penyerang tunggal dalam separuh masa pertama agak menyukarkan Jonathan untuk menembusi barisan pertahanan Negeri Sembilan. Aksinya pada minit ke-26 boleh dipuji apabila melakukan larian solo melepasi pertahanan Negeri Sembilan namhn dengan ketiadaan bantuan rakan sepasukan di hadapan pintu gol, Jonathan terpaksa memilih untuk melakukan percubaan dan rembatannya agak tersasar dari pintu gol dan tidak membahayakan Saiful Amar.    

Friday 13 January 2017

Ulasan Tentang Anugerah Gol Terbaik

*Memandangkan pertengahan musim kedua tahun lepas merupakan satu musim yang sukar bagi Negeri Sembilan, penulis terpaksa mengulas beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan di media massa bagi menghidupkan semula nafsu menulis laporan perlawanan bola sepak.


Kemungkinan ramai yang sudah maklum, kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas dalam Anugerah FIFA 2016 membuatkan Datuk Seri Afandi Hamzah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpanggil untuk mempertimbangkan menjadikan anugerah gol tercantik sebagai salah satu kategori dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan. Maka pelbagai reaksi hadir dari pencinta bola sepak tanah air yang rata-rata bersetuju dan mempersoalkan mengapa FAM lambat bertindak untuk mewujudkan anugerah tersebut. Pemain-pemain seperti Badri Radzi, Aidil Zafuan, Safiq Rahim dan ramai lagi mungkin mempunyai peluang untuk memenangi anugerah tersebut menerusi jaringan-jaringan mereka sebelum ini dan boleh dicalonkan kepada FIFA untuk senarai pencalonan Anugerah Puskas.

Dalam hal pencalonan gol terbaik kepada FIFA, penulis merasakan dua pendapat bertentangan boleh diberikan dalam isu ini. Memandangkan penulis tidak mempunyai hubungan terus kepada FAM, pendapat ini hanyalah sekadar pandangan berasaskan fikiran yang tidak mempunyai fakta yang tepat dan tidak boleh digunakan dalam berhujah dengan mana-mana pihak. Pendapat yang pertama adalah FAM memang pernah menyenaraikan gol-gol sebagai pencalonan kepada FIFA. Jika hal ini benar, maka kesimpulan yang boleh dibuat cuma satu. Pencalonan tersebut gagal menembusi peringkat sepuluh terbaik seperti gol yang dilakukan oleh Faiz Subri. Pendapat yang kedua adalah ini merupakan kali pertama FAM menghantar pencalonan tersebut dan sudah pasti Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ada memainkan peranan sehingga Faiz Subri mengucapkan terima kasih kepada FAM dan FMLLP kerana menghantar video jaringan beliau kepada FIFA untuk penilaian.

Berbalik kepada pertimbangan mewujudkan anugerah gol tercantik, adakah media elektronik terutamanya Media Prima selaku media rasmi sudah bersedia untuk membantu dalam menyediakan video-video gol bagi menghangatkan lagi senarai pencalonan untuk anugerah tersebut atau sekadar berharap kepada gol-gol yang disiarkan secara langsung. Seperti yang semua maklum, Media Prima bukanlah sebuah media yang memfokuskan kepada sukan semata-mata. Ketika zaman Astro Arena sebagai penyiar rasmi, Astro Arena mempunyai rancangan Masa Tambahan menunjukkan hampir kesemua highlight pada minggu tersebut malah mereka turut memilih lima gol terbaik untuk minggu tersebut. Sudah pasti, Astro Arena berusaha untuk memaparkan semua video-video perlawanan pada minggu tersebut sejajar dengan tagline mereka, Nadi Sukan Malaysia.

Malah, sebelum kewujudan Astro Arena, ketika zaman peminat perlu membetulkan antena televisyen hanya semata untuk mendapat siaran yang jelas bagi menonton bola di RTM, RTM turut mempunyai rancangan Sekilas Liga Malaysia di mana rancangan tersebut memaparkan highlight perlawanan-perlawanan yang terpilih pada minggu tersebut termasuk divisyen Liga Perdana. Penulis juga masih ingat RTM turut menyiarkan siaran perlawanan pada hari Isnin jam 12.00 malam dan boleh dikategorikan sebagai siaran tertunda walaupun siaran tersebut dipotong-potong agar habis pada jam 1.00 pagi.

Sehubungan dengan itu, diharapkan Media Prima mampu melaksanakan ranangan seperti Masa Tambahan dan Sekilas Liga Malaysia bagi menjayakan idea yang diberikan FAM supaya lebih banyak gol yang berkualiti dihasilkan dalam bentuk video untuk tatapan para peminat.

Akhir kalam, Majulah Sukan Untuk Negara.