Monday 14 September 2015

TM Piala Malaysia 2015 Matchday 1 : Felda United FC (3) vs (0) T-Team FC

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin. Nama pasukan T-Team diambil dari Wikipedia dan bantuan dari +Cafiq Sahari

Selayang - Hadir selaku tuan rumah di Stadium Selayang, Felda United memastikan kemenangan berpihak kepada mereka apabila mudah menundukkan pasukan Liga Perdana, T-Team dengan keputusan 3-0. Beraksi di hadapan kira-kira 700 penyokong setia yang turut hadir dari gugusan FELDA, The Fighters yang turun dengan reputasi pasukan Liga Super ternyata tidak mengecewakan dengan berjaya menguasai perlawanan dari sepak mula perlawanan.

Penyerang sensasi The Fighters, Makeche Ndumba seharusnya boleh menjaringkan gol seawal minit kedua apabila kekurangan komunikasi antara pertahanan T-Team dalam mengeluarkan bola dari kotak penalti membolehkan Makeche mencuri bola namun tindakan pantas penjaga gol Shahril Saari keluar menutup ruang berjaya menidakkan percubaan Makeche. Berbanding skuad The Fighters yang beberapa kali berjaya memecah masuk ke dalam kotak penalti skuad T-Team, skuad pelawat hanya sesekali mampu melepaskan rembatan dari jarak jauh yang tidak menepati sasaran akibat kesukaran melepasi benteng pertahanan lawan yang dikemudi oleh ketua pasukan Shukor Adan. Bermula pada minit ke-25, tuan rumah mula mengancam kubu pelawat dengan Syamim Yahya berjaya melakukan larian solo dari kiri padang dan masuk ke dalam kawasan berbahaya namun gagal untuk melakukan jaringan atau hantaran ke tengah akibat terlalu hampir dengan Shahril yang bijak menutup ruang. Dua minit kemudian, tolakan bijak dari Zah Rahan mencari ruang kosong di belakang pertahanan T-Team dan Indra Putra pantas menghidu peluang dan mengutip bola tersebut namun usahanya menyepak bola dalam situasi satu lawan satu dengan Shahril gagal menemui sasaran. Pada minit ke-31, Felda mengatur serangan dari kanan dengan Firdaus Fauzi melakukan overlap untuk membantu serangan Felda United sebelum melakukan cutback untuk Zah Rahan dan dihantar kepada Indra yang berada di tengah kotak penalti namun Indra memilih untuk merembat lambung ke udara. Seluruh penyokong dan kem pasukan The Fighters akhirnya bersorak kegembiraan pada minit ke-34 apabila Syamim Yahya berjaya memintas serangan yang dilancarkan oleh T-Team membolehkan bola jatuh ke kepala Zah Rahan lalu menanduk ke hadapan mencari Makeche sebelum Makeche melarikan bola ke dalam kotak penalti dan menewaskan Shahril untuk gol pertama Felda United. Belum sempat skuad T-Team mengatur semula permainan mereka, pertahanan T-Team melakukan kesilapan dengan mengasari Ferris Danial di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Felda United yang disempurnakan Indra pada minit ke-33 untuk gol kedua.

Seminit selepas perlawanan disambung semula, T-Team mensia-siakan peluang terbaik mereka untuk merapatkan kedudukan. Sepakan percuma yang dianugerahkan di luar kotak penalti Felda United diambil dengan pantas oleh Sadriddin Abdullaev membolehkan Tomislav Busic berada di hadapan pintu gol bersama bola di kaki namun ketika Tomislav sudah berjaya mengatasi penjaga gol Farizal Harun dan hanya perlu menolak bola ke arah pintu gol, Tomislav gagal mengawal bola dengan baik sebelum pertahanan Felda United datang membantu Farizal. Kegagalan pertahanan T-Team yang diketuai Faizal Muhammad untuk mengawal Makeche hampir membuatkan mereka dihukum sekali lagi setelah Makeche membuat larian solo dari kiri padang dan memecah masuk ke dalam kotak penalti namun mujur Shahril sekali lagi menutup ruang Makeche dari melakukan jaringan atau hantaran(minit 53). Tindakan ketua jurulatih T-Team, Tomislav Steinbruckner memasukkan Zulhanizam Shafine bagi menggantikan Zarullzwan Mazlan seminit sebelum gerakan Makeche hampir membuahkan hasil apabila Zulhanizam berjaya merampas bola dari Firdaus di sebelah kiri padang sebelum memainkan bola hepada Tomislav dan Tomislav terus melorongkan bola kepada Sadriddin yang menunggu di luar kotak penalti lalu merembat seterusnya memaksa Farizal merebahkan badan untuk menyelamatkan pintu gol. Makeche ternyata menjadi duri dalam daging kepada pertahanan T-Team pada malam tersebut apabila sekali lagi bijak mencari ruang kosong di antara pertahanan T-Team sebelum menerima hantaran dari rakan sepasukan dan membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan Shahril untuk kali ketiga(minit 67). Tomislav Steinbruckner ternyata perlu memperbaiki benteng pertahanannya untuk perlawanan kedua bertemu Selangor setelah melihat benteng pertahanan T-Team hanya membiarkan Syamim membuat larian solo melepasi lima pemain T-Team yang berada di kawasan tengah luar kotak penalti namun mujur cubaan Syamim mencungkil bola ketika berhadapan Shahril tidak melepasi jangkauan Shahril yang mudah ditangkap(minit 70). Indra turut berpeluang untuk mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-78 namun rembatan yang dilepaskan dari luar kotak penalti menuju ke bucu bawah kiri pintu gol berjaya dinafikan Shahril yang menerbangkan diri untuk menepis bola keluar.

Hasil dari kemenangan tersebut, Felda United kini berkongsi kedudukan bersama satu lagi pencabar dari kumpulan C, Kelantan yang turut mencatat kemenangan 3-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam. Felda United akan berkunjung ke Kota Bharu pada Sabtu ini manakala Selangor dan T-Team pasti ingin mencari mata penting bagi memberi saingan dalam kumpulan C apabila kedua-dua pasukan beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Barisan pemain :

Felda United FC: Farizal Harun (gk), Firdaus Fauzi, Bojan Miladinovic, Shukor Adan(c)(Khairul Ismail - min 86'), Aizulridzwan, Shahrul Saad, Zah Rahan(Shahrulnizam Mustafa - min 80'), Syamim Yahya, Indra Putra Mahyuddin, Ahmad Ferris Danial(Hadin Azman - min 66'), Makeche Ndumba

T-Team FC: Shahril Saari, Arif Fadzilah, Faizal Muhammad, Hasbullah Awang, Hassan Basri, Rosdi Zakaria(Safawi Rasid - min 78'), Josip Milardovic, Badrul Hisyam(Shaziran Sapien - min 68'), Sadriddin Abdullaev, Zarullzwan Mazlan(Zulhanizam Shafine - min 52'), Tomislav Busic