Sunday 5 April 2015

Liga Perdana Matchday 6 : PKNS FC (1) vs (1) NS Matrix

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Kelana Jaya - Liga Perdana 2015 yang bersambung semula selepas memberikan laluan kepada aksi skuad kebangsaan menyaksikan NS Matrix berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk menentang PKNS FC bagi perlawanan keenam. Berikutan aksi tidak menentu NS Matrix bagi beberapa perlawanan terdahulu, ketua jurulatih K. Devan membuat beberapa perubahan strategi dengan meletakkan pemain import yang baru pulih dari kecederaan, Kim Jim Ryong sebagai pemain pertahanan dan meletakkan S. Sivanesan sebagai pasangan Forkey Doe manakala ketua pasukan Rezal Zambery Yahya direhatkan. Bagi PKNS FC pula, ketiadaan Patrick Ronaldinho Wleh memaksa ketua jurulatih E. Elavarasan menyandarkan kepada penyerang tempatan Farderin Kadir dan Liew Kit Kong sambil dibantu pemain import, Gabriel Guerra di bahagian tengah.

Cuaca panas pada separuh masa pertama ternyata memberi kesan kepada kedua-dua pasukan apabila kedua-dua pasukan memilih untuk bermain secara perlahan sebelum menyerang ke arah pasukan lawan. NS Matrix terlebih dahulu membuka tirai perlawanan pada minit ke-31 menerusi gerakan Shahrizal Saad, Sivanesan dan Forkey Doe yang berjaya memecahkan benteng pertahanan PKNS. Gerakan satu dua Sivanesan dan Shahrizal menyaksikan Sivanesan berjaya masuk ke dalam kawasan bahaya PKNS sebelum menghantar kepada Forkey Doe dan Forkey Doe bijak untuk menghantar semula kepada Shahrizal Saad yang mudah menyepak bola masuk menewaskan penjaga gol, Mohd Norhaziq Aris. Kelekaan barisan pertahanan NS Matrix pada masa kecederaan separuh masa pertama hampir memakan diri apabila pemain sayap import PKNS, Keisuke Ogawa berjaya melepaskan diri di bahagian kiri padang sebelum melambungkan bola ke dalam kotak penalty namun tandukan Liew Kit Kong berjaya dibaca Helmi Eliza yang menangkap bola dari masuk ke dalam pintu gol pasukan pelawat.

Memasuki babak kedua perlawanan, hujan yang turun melegakan kedua-dua pasukan dan menyaksikan kedua-dua pasukan menaikkan sedikit tempo perlawanan terutama dari pasukan PKNS yang mencari gol penyamaan. PKNS mengasak sebaik wisel ditiupkan dan hampir memperoleh gol pada minit ke-46 namun placing ball yang dilakukan Gabriel Guerra dari luar kotak penalti sedikit melepasi palang gol. Liew Kit Kong turut berpeluang untuk menjaringkan gol penyamaan ketika komunikasi yang kurang baik antara Helmi Eliza dan pertahanan Fazliata Taib menyaksikan Liew Kit Kong berjaya mencuri bola dan memaksa Helmi Eliza keluar dari kotak penalti untuk menutup ruang namun lambungan Liew Kit Kong turut tersasar. NS Matrix yang mencari gol kedua untuk keadaan yang lebih selesa hampir memperoleh gol yang dicari namun percubaan Fauzi Shaari dari luar kotak penalti menuju ke kanan pintu gol berjaya diselamatkan Mohd Norhaziq yang melayangkan badan untuk menampan bola. Percaturan E. Elavarasan memasukkan Munir Amran dan Arip Amiruddin hampir membuahkan hasil apabila lambungan Arip Amiruddin dari sebelah kanan ditanduk Munir Amran namun Helmi Eliza cemerlang di pintu gol untuk menepis bola keluar(minit 70). Gol yang dicari PKNS FC tiba pada minit ke-75 apabila pemain NS Matrix lambat untuk menutup ruang yang membolehkan Gabriel Guerra melepaskan rembatan cantik dari jarak 35 meter menuju ke bucu kiri pintu gol yang gagal dijangkau oleh Helmi Eliza. PKNS FC dan NS Matrix berkongsi satu mata setelah kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat. 

Barisan pemain:

PKNS FC: Mohd Norhaziq Aris(gk), Nizam Abu Bakar, Gonzalo Manuel Soto, M. Sivakumar, P. Gunalan, Mohd Faiz Isa(Arip Amiruddin), Khairu Azrin Razali(Munir Amran), Liew Kit Kong(Shahrul Azhar Ture), Gabriel Guerra, Keisuke Ogawa, Farderin Kadir

NS Matrix: Helmi Eliza Elias, Fazliata Taib, Kim Jim Ryong, Irwan Fadly Idrus, Akmal Mohd Noor, Fauzi Shaari, Jean Marc Alexandre, Bruno Martelotto(G Puaneswaran), Shahrizal Saad(Rudie Ramli), S. Sivanesan(Ahmad Hazeri), Francis Forkey Doe