Monday 14 March 2016

100 Plus Liga Premier : Negeri Sembilan (5) vs (0) ATM

Paroi - Skuad tuan rumah Negeri Sembilan ternyata tidak mempunyai masalah untuk membenam cabaran pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang hadir ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tanpa sebarang kemenangan dengan satu jumlah yang agak besar iaitu lima gol tanpa balas. Selepas melalui tiga perlawanan tanpa kemenangan termasuk satu tewas kepada Johor Darul Ta'zim dalam kejohanan Piala F.A yang membuatkan mereka tersingkir dari saingan, sudah pasti Negeri Sembilan mahu menjadikan perlawanan menentang ATM berakhir dengan satu kemenangan dan seterusnya menaikkan semula semangat pemain untuk bersaing dalam perlawanan 100 Plus Liga Premier.

Walaubagaimapun, segelintir dari kira-kira 7000 penyokong tuan rumah yang hadir ternyata agak ragu-ragu dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan kesayangan mereka terutama pada separuh masa pertama apabila Negeri Sembilan hanya mampu menembusi benteng pertahanan ATM selepas separuh masa kedua malah pesta gol hanya bermula setelah pengadil Ahmad Farees Mat Suburi mengarahkan pertahanan ATM, Raja Mohd Ridzuwan Effendy keluar padang pada minit ke-53 kerana mengutip kad kuning kedua.

ATM yang hanya mampu menjaringkan dua gol selepas empat perlawanan liga terlebih dahulu mencemaskan kem tuan rumah seawal minit kesembilan melalui percubaan pemain berpengalaman ATM, Venice Elphi menyaksikan rembatannya berjaya ditampan penjaga gol Negeri Sembilan, Syed Adney. Berpunca dari kegagalan dua pertahanan Annas Rahmat dan Aaron Kumar berkomunikasi dengan baik, penyerang ATM Mohd Tauffik Mohd Radi berjaya mencuri bola dari kaki Annas yang bertembung sesama sendiri dengan Aaron sebelum melorongkan bola kepada Venice yang tidak dikawal di sebelah kanan.

Mungkin terlena dari tidur, pemain-pemain Negeri Sembilan lantas mengatur semula permainan dan dalam satu siri serangan pada minit ke-12, pemain-pemain Negeri Sembilan mendakwa pertahanan ATM, Abdul Rashid Mahmud mengawal bola menggunakan tangan ketika ingin mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya namun dinafikan Ahmad Farees. Namun, belum sempat untuk benteng ATM menarik nafas lega, seminit kemudian Andrew Nabbout berjaya melepasi benteng mereka melalui gerakan satu-dua bersama Mohd Norhafizzuan namun gagal menyudahkan peluang setelah menyepak lemah ke arah penjaga gol Mohd Hafizzudin Azuhar.

Pemain tengah Alexander Moreton Smith seharusnya boleh membawa kem tuan rumah masuk ke bilik persalinan dengan perasaan lega namun kedua-dua percubaannya pada minit ke-20 dan ke-28 berjaya dinafikan Hafizzudin Azuhar yang bertindak cemerlang pada separuh masa pertama. Pada minit ke-20, Smith melakukan sepakan volley dari luar kotak penalti setelah pemain ATM melakukan clearance namun Hafizzudin tangkas menerbangkan diri ke sebelah kiri untuk menampan percubaan tersebut. Pada minit ke-28, Hafizzudin berjaya berada di kedudukan yang tepat menantikan sepakan percuma Smith dan menangkap kemas bola tersebut.

Hafizzudin ternyata menjadi penghalang penyokong tuan rumah untuk bersorak lebih awal apabila dua kali kakinya menjadi penghalang dari bola menerjah jaring. Pertahanan Taylor Regan merangkap ketua pasukan Negeri Sembilan yang naik untuk membantu ketika set pieces berjaya menanduk bola sepakan percuma Sabri Sahar pada minit ke-32 namun terkena kaki Hafizzudin. Kolaborasi dua penyerang import Joel Chianese Joseph dan Nabbout yang menjadi sandaran Negeri Sembilan untuk mencetak gol turut berpeluang untuk mencipta gol pada minit ke-37. Joel yang berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan yang diketuai kapten pasukan ATM, Badrul Hisham melakukan hantaran lintang pendek namun tampanan yang dilakukan Nabbout sekali lagi terkena kaki Hafizzudin.

Bersambung babak kedua, benteng utuh ATM ternyata tidak mampu bertahan lama seperti separuh masa kedua apabila skuad tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk memecah kebuntuan. Berpunca dari sepakan sudut yang diambil Khairul Anuar di sebelah kiri pintu gol, Smith meluru untuk menanduk bola ke dalam jaring gol untuk membolehkan Negeri Sembilan mendahului ATM 1-0. Tiga minit kemudian, ATM ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa menghabiskan baki permainan dengan sepuluh orang setelah Raja Mohd Ridzuwan mengasari Aaron dan Ahmad Farees tidak teragak-agak untuk melayangkan kad kuning kedua kepada Raja Mohd Ridzuwan yang sebelum itu mengutip kad kuning pertama akibat mengasari Joel Chianese pada minit ke-23. Sepakan percuma yang diperoleh Negeri Sembilan diambil oleh Khairul Anuar namun tandukan tipis yang dilakukan Joel sedikit melewati atas palang.

Menyedari kekurangan seorang pemain pertahanan di padang, ketua jurulatih Azuan Zain mengeluarkan pemain tengah Mohd Ammar Roomai dan memasukkan pemain pertahanan Muhd Zamri Yusuf. Belum sempat pertahanan ATM mengatur semula formasi mereka, Negeri Sembilan terus mengasak dan memaksa Mohd Aifaa Mat Baliyya melakukan kekasaran keatas Joel Chianese sedikit di luar kotak penalti tetapi mujur sepakan percuma yang diambil Nabbout terkena tembok pertahanan yang dibina dan membias(minit 56).

Kehilangan seorang pemain ternyata menyukarkan dan kesempatan itu diambil kem tuan rumah untuk menyerang bertubi-tubi ke arah pintu gol lawan dan akhirnya berpesta jaringan. Dalam masa tiga minit, Negeri Sembilan mempunyai tiga peluang terbaik untuk menambah derita ATM dan berjaya memperoleh satu gol dari peluang tersebut. Pada minit ke-58, hantaran lambung yang dilakukan Nabbout dari sebelah kanan pintu gol menemui kepala Joel namun tandukan Joel sekali lagi tersasar. Joel akhirnya berjaya menjaringkan gol seminit kemudian apabila Khairul Anuar yang berjaya menerima bola di sudut kiri padang melakukan hantaran lintang rendah dan Joel hanya perlu menampan untuk Negeri Sembilan selesa 2-0 kosong di depan. Nabbout juga turut berpeluang untuk meletakkan nama sebagai penjaring pada minit ke-60 namun placing yang dilakukan ke bucu kiri pintu gol berjaya ditepis Hafizzudin.

Hantaran-hantaran pendek yang dilakukan pemain Negeri Sembilan ternyata berjaya memerangkap benteng pertahanan ATM yang dilihat sukar untuk membendung kehadiran pemain lawan dan Nizam Ruslan yang baru sahaja dimasukkan oleh ketua jurulatih, Gary Michael Philips bagi menggantikan Khairul Anuar berjaya melakukan impak apabila hantaran pendeknya kepada Nabbout membolehkan Nabbout melakukan hantaran pendek kepada Joel yang berada di depan gol dan mudah menolak masuk untuk gol kedua peribadi dan gol ketiga skuad tuan rumah.

Gol keempat Negeri Sembilan diperoleh menerusi pemain tempatan, Norhafizzuan yang menggelecek bola dan masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan(minit 80). Walaupun Hafizzudin dilihat berjaya menepis rembatan tersebut, bola tersebut menuju ke palang gol sebelum melantun ke dalam jaring sedikit melepasi garisan gol. Walaupun Hafizzudin berjaya menangkap semula bola tersebut, pembantu pengadil telah mengangkat bendera tanda mengesahkan jaringan gol yang dilakukan Norhafizzuan.

Skuad Negeri Sembilan menutup malam gemilang mereka dengan jaringan kelima pada minit ke-90 berpunca dari hasil kesilapan Badrul Hisham yang tertanduk bola masuk ke dalam gawang sendiri. Negeri Sembilan yang mengambil sepakan sudut pendek ketika benteng pertahanan ATM masih membantah keputusan Ahmad Farees yang membenarkan sepakan sudut walaupun Hafizzudin berjaya menahan dan menangkap bola percubaan Nizam Ruslan yang hampir terkeluar dari permainan dan pembantu pengadil masih belum mengangkat bendera. Kesempatan itu diambil oleh pemain lawan dan hasilnya lambungan Joel ke dalam kotak penalti setelah sepakan sudut pendek diambil ditanduk Badrul menewaskan Hafizzudin buat kali kelima.

Barisan pemain :

Negeri Sembilan : Syed Adney(gk), Aaron Kumar, Annas Rahmat, Taylor Regan(k), Daniel San Ting, Sabri Sahar(Nasriq Baharom), Mohd Norhafizzuan(Rahizi Rasib), Andrew Nabbout, Khairul Anuar(Nizam Ruslan), Joel Chianese Joseph

ATM : Mohd Hafizzudin Azuhar(gk), Badrul Hisham(k), Mohd Aifa Mat Baliyya, Raja Mohd Ridzuwan Effendy, Abdul Rashid Mahmud, Zainal Zakaria, Muhd Faiz Ibrahim(Megat Hasliq Mohd Hasni), Mohd Ammar Roomai(Muhd Zamri Yusuf), Mohd Sukri Mat Hamidi(Muhd Amirul Husin), Mohd Tauffik Mat Radi, Venice Elphi