Thursday 7 April 2016

100 Plus Liga Premier : Sime Darby FC (0) vs (4) Negeri Sembilan

Selayang - Dua pemain import dan seorang pemain tempatan menjadi antara nadi utama pasukan Negeri Sembilan membenam cabaran Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Isnin lalu. Tiga hantaran menarik dari Khairul Anuar Shahrudin, dua gol hasil tandukan kapten pasukan Taylor Regan, satu gol dari Joel Chianese Joseph dan satu gol sendiri membolehkan skuad pelawat membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan empat tanpa balas.

Walaupun berehat selama hampir sebulan tanpa perlawanan kompetitif berikutan memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dan kejohanan Piala F.A SuperBest Power di mana mereka telah terkeluar dari saingan, keadaan tersebut ternyata tidak menggugat skuad Rusa untuk mempamerkan aksi cemerlang di separuh masa pertama. Malah, Sime Darby FC yang baru sahaja tersingkir dari saingan suku akhir Piala F.A SuperBest Power dilihat hanya sekali sekala mampu memberi cabaran kepada benteng pertahanan Negeri Sembilan sepanjang sembilan puluh minit permainan.

Perancang tengah Sabri Sahar terlebih dahulu menguji keupayaan Kamarul Effandi di pintu gol Sime Darby apabila melepaskan satu rembatan leret menuju ke bucu kanan pintu gol namun Kamarul Effandi berjaya menjatuhkan badan untuk menepis keluar bola tersebut. Walaupun Andrew Nabbout berjaya mengutip bola muntah tersebut, tolakannya ke hadapan pintu gol gagal disambar oleh mana-mana pemain Negeri Sembilan pada minit keenam.

Penyerang Sime Darby yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan, Firdaus Azizul seharusnya menyalahkan diri kerana gagal memberi gol pendahuluan kepada pasukannya pada minit kelapan. Firdaus yang menerima bola hasil lorongan cantik dari rakan sepasukan melepasi dua pertahanan Annas Rahmat dan Taylor Regan seterusnya melepasi perangkap offside, gagal menewaskan Syed Adney Syed Hussin di pintu gol. Walaupun berada dalam situasi satu lawan satu dan mempunyai masa yang agak lama untuk mengawal dan melakukan sepakan, Firdaus memilih untuk menyepak ke sebelah kanan pintu gol tetapi bola sedikit tersasar dari pintu gol ketika Syed Adney hanya mampu melihat.

Tugas mengambil sepakan penjuru di sudut kiri Sime Darby ternyata tidak disia-siakan oleh Khairul Anuar untuk membantu Negeri Sembilan memperoleh dua gol awal. Sepakan penjuru yang diperoleh untuk kali ketiga pada minit ke-13 disempurnakan dengan baik apabila Taylor Regan yang menunggu di far post mudah menanduk masuk bola ke dalam pintu gol kerana Kamarul Effandi tidak berada di posisi yang sebelum itu cuba untuk menepis bola keluar tetapi gagal. Pada minit ke-22, dalam satu situasi yang agak sama, penyokong pelawat bergembira untuk kali kedua apabila sekali lagi Khairul Anuar mengambil sepakan sudut mencari Taylor Regan dan disudahkan dengan baik. Taylor Regan yang melonjak bersama seorang lagi rakan sepasukan, Alexander Smith berjaya mengelirukan pihak lawan seterusnya memperoleh gol kedua hasil sepakan penjuru yang keempat.

Ketinggalan dua kosong membuatkan Sime Darby cuba untuk mengatur semula permainan mereka tetapi agak sukar untuk melepasi benteng pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai oleh kapten mereka sendiri. Percubaan kedua Sime Darby hanya hadir pada minit ke-26 setelah memperoleh sepakan percuma yang agak jauh dan Lee Gil Hoon merembat terus menuju ke pintu gol dan Syed Adney yang telah bersedia di pintu gol, mudah menangkap bola tersebut. Melihat ketumpulan barisan serangan, ketua jurulatih Sime Darby, Ghani Malik melakukan pertukaran pantas seawal minit ke-29 mengeluarkan Nazrul Kamaruzaman dan memasukkan Dzulfahmi Abdul Hadi bagi mencetus idea baru di dalam padang.

Namun begitu, pertukaran pemain yang dilakukan Sime Darby masih gagal untuk membendung kemaraan skuad pelawat yang terus melakukan serangan dan Khairul Anuar hampir mencetak nama sebagai penjaring. Aaron Kumar yang naik untuk membantu serangan, melakukan hantaran ke belakang kepada Khairul Anuar sebelum Khairul melepaskan satu rembatan yang agak melencong menuju ke arah pintu gol namun Kamarul Effandi menerbangkan diri untuk menepis bola itu(min-29). Stadium Selayang terus bergema dengan sorakan penyokong pelawat apabila gol ketiga diperoleh pada minit ke-35 hasil kesilapan ketua pasukan Sime Darby, Juzaili Samion tertampan bola ke dalam pintu gol sendiri dalam usaha untuk menghalang lorongan Joel Chianese kepada Andrew Nabbout di hadapan pintu gol.

Negeri Sembilan seharusnya mampu melangkah ke bilik persalinan dengan jaringan lebih besar dan terpaksa berpuas hati dengan tiga gol setelah gol yang dijaringkan Joel Chianese pada minit ke-44 dibatalkan pengadil perlawanan, Ridzuan Rozali yang mendakwa Joel Chianese mengawal bola dengan menggunakan tangan sebelum melepaskan rembatan menuju ke bucu kiri pintu gol.

Biarpun ketinggalan tiga gol, Ghani Malik masih tidak mahu mengalah terlalu awal dan cuba untuk memperbaiki bahagian serangan dengan memasukkan Raffiq Shah dan Rizqi Azman bagi menggantikan Firdaus Azizul dan Faiz Isa selepas babak kedua bersambung semula. Namun, usaha Sime Darby untuk merapatkan kedudukan ternyata begitu sukar ketika Negeri Sembilan lebih selesa untuk bermain di kawasan tengah padang dan berhati-hati ketika melancarkan serangan kerana telah selesa mendahului. Keadaan itu mengakibatkan Sime Darby sukar untuk melakukan serangan balas mahupun mengatur permainan kerana bola lebih berada di kaki pemain lawan. Malah, Negeri Sembilan hampir menambah luka Sime Darby pada minit ke-60 menerusi gerakan serupa hasil sepakan sudut apabila Khairul Anuar berjaya menghantar bola tepat ke arah Alex Smith namun tandukan Alex Smith tepat ke arah Kamarul Effandi di pintu gol.

Pada minit ke-76, dalam usaha Sime Darby mencari gol sagu hati untuk dibawa pulang, sepakan percuma yang diambil Lee Gil Hoon dikeluarkan oleh pemain pertahanan pelawat dan peluang itu digunakan sebaiknya skuad Rusa untuk melancarkan satu serangan balas di mana Khairul Anuar yang menerima bola di kawasan kanan tengah padang melebarkan penguasaan bola ke sebelah kiri mencari Joel Chianese yang tidak dikawal dan Joel Chianese bertindak membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum mengatasi Akmal Zahir dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Kamarul Effandi untuk gol keempat pasukan pelawat pada malam tersebut.

Syed Adney yang jarang-jarang diuji memastikan pintu gol yang dikawalnya tidak dibolosi pada perlawanan itu apabila bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain gantian Raffiq Shah yang merupakan satu usaha terakhir untuk mencari gol sagu hati(minit 90).


 Barisan pemain :

Sime Darby F.C : Kamarul Effandi(gk), Juzaili Samion(k), Ha Dae Won, Akmal Zahir, Tengku Qayyum Ubaidillah, Syed Sobri Syed Mohamad, Lee Gil Hoon, Frederic Pooda, Firdaus Azizul(Raffiq Shah), Faiz Isa(Rizqi Azman), Nazrul Kamaruzaman(Dzulfahmi Abd Hadi)

Negeri Sembilan : Syed Adney Syed Hussin(gk), Aaron Kumar, Annas Rahmat, Taylor Regan(k), Daniel San Ting, Sabri Sahar(Afiq Azmi), Noorhafizzuan Jailani(Hariri Safii), Andrew Nabbout(Nizam Ruslan), Joel Chianese Joseph, Khairul Anuar Shahrudin