Sunday 3 May 2015

Liga Perdana Matchday 10 : Kuala Lumpur FA (1) vs (0) NS Matrix

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Perlawanan Liga Perdana yang kesepuluh buat Kuala Lumpur FA dan yang kesembilan buat Negeri Sembilan Matrix menyaksikan Kuala Lumpur yang turun selaku tuan rumah memilih untuk memindahkan tempat perlawanan dari Stadium Merdeka ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Keadaan ini seolah-olah menguntungkan pasukan pelawat yang kurang satu perlawanan kerana bermain di home base dan pasti mendapat sokongan dari ribuan penyokong yang hadir.

Namun hakikatnya, persembahan yang agak buruk dipersembahkan oleh pasukan pelawat untuk penyokong setia yang hadir pada separuh masa pertama apabila tiada satu serangan pun yang dilancarkan oleh skuad NS Matrix yang lebih banyak bermain di kawasan sendiri di antara penjaga gol dan barisan pertahanan. Skuad Kuala Lumpur pula yang lebih banyak memerhati, menunggu dan cuba untuk membaca tempo permainan memperoleh peluang keemasan pada hujung babak permainan pada minit ke-43 setelah mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti NS Matrix hasil kesilapan Irwan Fadly Idrus yang cuba menghalang pemain tengah import Kuala Lumpur, Choi Hyun-yeon. Konte Modibo yang bertanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan tersebut gagal dalam usahanya untuk meletakkan bola di dalam pintu gol yang dikawal Helmi Eliza apabila bola tersebut hanya menyentuh jaring kiri luar gol. Pada masa kecederaan separuh masa pertama, Konte Modibo sekali lagi berpeluang untuk menjaringkan gol hasil usaha pemain-pemain Kuala Lumpur yang melakukan serangan balas dari kiri menghantar ke tengah sebelum ke kanan dan menghantar ke depan untuk Konte Modibo mencuba namun sepakan kali ini menuju ke tempat yang sama percubaannya sebelum ini.

Memasuki babak kedua, melihatkan aksi anak buah yang kurang menyengat, ketua jurulatih NS Matrix, K. Devan mengambil keputusan untuk merehatkan Jean Marc Alexandre dan memasukkan Fauzi Shaari untuk menghidupkan bahagian tengah NS Matrix. Walaubagaimanapun, skuad tuan rumah terlebih dahulu bermula garang untuk mengasak kubu pertahanan pasukan lawan seawal minit pertama wisel ditiup semula. Penyerang import Kuala Lumpur, Lee Jinseuk melebarkan bola ke sebelah kiri setelah melihat Hattaphon Bun An tidak dikawal sebelum Hattaphon melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar ke kanan pintu gol NS Matrik. Serangan NS Matrik bermula pada minit ke-48 apabila sepakan percuma yang diambil Irwan Fadly ditanduk Forkey Doe namun penjaga gol kuala Lumpur Muhaimin Mohamad menangkap kemas di atas garisan gol. Serangan NS Matrix hadir lagi pada minit ke-54 apabila Bruno Martelotto menghantar bola kepada Akmal Mohd Noor namun percubaan Akmal sedikit tersasar ke kiri pintu gol Kuala Lumpur. Skuad tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Konte Modibo yang menerima bola lontaran ke dalam menggelecek melepasi Ridzuan Abdullah di sebelah kanan kawasan NS Matrix sebelum menolak bola masuk ke kiri bagi menewaskan Helmi Eliza di pintu gol. Seakan-akan baru tersedar dari lamunan, skuad NS Matrix gigih melakukan serangan sehingga memaksa Kim Jin-Ryong yang bermain di pertahanan berlari ke atas dan menanduk bola hantaran Forkey Doe namun bola tandukannya lewat untuk turun ke dalam pintu gol ketika Muhaimin sudah pun tertewas(minit 66). Memasuki sepuluh minit terakhir perlawanan, NS Matrix yang terdesak mencari gol menyaksikan semua percubaan mereka sedikit tersasar di tepi dan atas pintu gol menerusi tandukan Fauzi Shaari (minit 87), percubaan Rezal Zambery (minit 89) dan tandukan Forkey Doe(masa tambahan).

Senarai pemain :

Kuala Lumpur FA : Muhaimin Mohamad (Zaidi Razlee), Naufal Na'im, Syazwan Rani, Lee Sung-hyun, Benedict Martin, Choi Hyun-yeon, Hattaphon Bun An, Modibo Konte, Hamzah Ahmad(Mazlan Yahya), Lee Jin-seuk, S. Sumindran

NS Matrix : Helmi Eliza Elias, Fauzie Nan, Kim Jin-ryong, Ridzuan Abdullah, Irwan Fadly Idrus, Jean Marc Alexandre(Fauzi Shaari), Rezal Zambery Yahya, S.Sivanesan(G. Puaneswaran), Akmal Mohd Noor, Bruno Martelotto, Forkey Doe