Sunday 7 May 2017

Ulasan Liga Perdana 2017 : ATM (1)-(1) Negeri Sembilan

Liga Perdana 2017 telah memasuki pusingan kedua di mana Negeri Sembilan menamatkan pusingan pertama di tangga teratas dan diikuti rapat dua pencabar terdekat Terengganu dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Pastinya, cabaran lebih sukar bakal dilalui skuad Hoben Jang Hoben dalam pusingan kedua kerana perlu bermain lebih perlawanan di gelanggang lawan berbanding gelanggang sendiri. Namun demikian, perlawanan pertama Negeri Sembilan dalam pusingan kedua yang sepatutnya bermain di Stadium Proton, Tanjung Malim dipindahkan ke gelanggang keramat Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi selepas ATM selaku tuan rumah memohon untuk pindaan venue perlawanan.

Istilah win-win situation boleh diguna pakai untuk situasi ini kerana ATM yang berpusat di Kuala Lumpur boleh mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan jualan tiket penonton dan jarak perjalanan untuk mereka bergerak dari Kuala Lumpur-Seremban dan Kuala Lumpur-Tanjung Malim adalah lebih kurang sama manakala Negeri Sembilan bakal mendapat sokongan padu dari peminat mereka dan tidak perlu mengalami keletihan akibat perjalanan yang jauh. Sorakan peminat tentunya bukan satu masalah bagi ATM kerana mereka mempunyai kelompok peminat mereka sendiri dan sorakan lawan ibarat alah bisa tegal biasa bagi mereka.

Yang menjadi persoalan adalah adakah media massa sudah tidak ada dalam kamus hidup sesetengah pihak sehinggakan hebahan untuk pindaan venue perlawanan cuma hangat diperkatakan di media sosial sahaja. Sehingga Jumaat, akhbar Harian Metro masih memaparkan perlawanan ATM menentang Negeri Sembilan berlangsung di Stadium Proton sehinggakan seorang penyokong Negeri Sembilan hanya mengetahui tentang perpindahan venue selepas solat Jumaat di aplikasi Whatsapp dan berniat untuk ke stadium. Bayangkan jika hebahan dilakukan dengan lebih giat, pastinya angka 3000 yang hadir ke stadium kelmarin akan bertambah(tidak mengambil kira yang saving untuk perlawanan 'penting' minggu hadapan).

Berbalik kepada laporan perlawanan, Negeri Sembilan tetap menurunkan pemain utama seperti kebiasaan kecuali tiga pemain kerana kecederaan, Bruno, Fauzan dan Nor Hazrul dan masing-masing digantikan oleh Farderin Kadir, Shazlan Alias dan Hariri Mohd Safii. Separuh masa pertama, boleh dikatakan ia adalah penguasaan penuh kepada skuad pelawat walaupun ATM terlebih dahulu membuat percubaan pada minit ke-5. Sepakan percuma yang diambil ketua pasukan Venice Elphi dituju ke arah bawah palang dan Kaharudin Abdul Rahman tidak mahu mengambil risiko menepis keluar bola tersebut untuk sepakan sudut.      

Dua minit kemudian, Negeri Sembilan memulakan siri serangan mereka dengan mukadimah dari Farderin Kadir yang menyepak leret dan tersasar dari pintu gol setelah mendapat jolokan cantik dari Simic Marko ketika dua pertahanan cuba menghentikan pergerakan beliau dan membiarkan Farderin berseorangan di sebelah kanan. Pada minit ke-11, usaha Faizal Abu Bakar merampas bola dari pihak lawan di luar kotak penalti hampir membuahkan hasil apabila Khairul Anuar yang sudah menunggu di tepi tanpa berlengah terus melepaskan rembatan deras menuju ke arah Hafizudin Azuhar yang menepis keluar bola untuk sepakan sudut Negeri Sembilan.

Hafizudin dan Farderin Kadir sekali lagi mengecewakan penyokong pelawat yang hadir setelah Hafizudin bertindak menepis percubaan Lee Tuck yang mendapat peluang hasil loose ball setelah Shazlan Alias melakukan hantaran ke dalam kotak penalti pada minit ke-13. Farderin Kadir pula bertindak menyepak bola ke arah sisi luar pintu gol ketika berdepan dengan Hafizudin setelah Lee Tuck bijak melorongkan bola di antara barisan pertahanan ATM lima minit kemudian. Gerakan solo cantik Lee Tuck dari tengah padang pada minit ke-22 pula menyaksikan percubaan melintasi pintu gol ATM sebelum tersasar beberapa inci dari tiang gol.

Tanpa kerajinan Bruno, Simic seolah-olah hilang punca dan hanya mendapat peluang terbaik ketika waktu perlawanan sudah memasuki angka 32 minit. Through ball dari Khairul Anuar untuk beliau yang menanti di dalam kotak penalti disudahi dengan satu placing di atas palang pintu gol melepasi jangkauan Hafizudin. Lima minit kemudian, crossing dari Lee Tuck di sebelah kanan gagal disambar oleh barisan pertahanan ATM dan barisan serangan Negeri Sembilan namun Khairul yang menanti di belakang, menampan bola dan disudahkan dengan satu volley yang meninggi ke udara ketika berada di hadapan pintu gol.

Ternyata, istilah segalanya mungkin dalam bola sepak ternyata tepat. Walaupun Negeri Sembilan yang lebih mengasak di separuh masa pertama, setelah seminit wisel babak kedua ditiupkan, usaha sayap kanan ATM, Rafizol Roslan untuk menggelecek bola melepasi celah dua orang pertahanan Negeri Sembilan membuahkan hasil dan crossing ke tengah tepat menuju ke arah Venice Elphi yang tidak dikawal dan melonjak tinggi menewaskan Kaharudin di pintu gol. Dan bermulalah adegan yang tidak mahu dilihat oleh penyokong pasukan yang sedang ketinggalan. Kejatuhan moral pemain dan time wasting pemain lawan.

Kesempatan itu hampir-hampir digunakan oleh Venice Elphi yang membawa bola ke sebelah kiri pintu gol lawan sebelum melorongkan ke tengah mencari rakan yang sedang menanti dan mujur Nasriq tidak mahu mengambil risiko dan terus menanduk keluar bola ketika Kahar tidak berada di pintu gol dalam usaha untuk membuat pintasan terhadap crossing tersebut. Ketika pemain-pemain Negeri Sembilan sudah berjaya menaikkan semula moral mereka, Simic hampir-hampir menjaringkan gol pada minit ke-61 namun tandukannya setelah sepakan sudut Khairul Anuar menuju tepat ke arah Hafizudin.

Venice Elphi turut hampir-hampir melebarkan penguasaan ATM namun rembatannya pada minit ke-68 menyaksikan bola sedikit tersasar dari tiang pintu gol. Pertukaran pemain oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan Mohd Asri Ninggal yang memasukkan Nizam Ruslan dan mengeluarkan Khairul Anuar(minit 75) serta kemasukan Izuan Salahudin menggantikan Farderin Kadir(minit 78) ternyata membuahkan hasil apabilan hantaran lintang rendah Izuan pada minit ke-83 gagal ditangkap kemas oleh Hafizudin dan Lee Tuck mengambil peluang untuk mencuri bola sebelum melakukan turning dan meletakkan bola ke dalam gawang yang tidak dikawal.

Perbincangan pasukan Negeri Sembilan :
Untuk menahan percubaan bola yang betul-betul berada di hadapan pintu gol bukan satu tugas yang mudah. Namun Kahar telah memberikan yang terbaik untuk memenangi semua bola udara dalam usaha untuk menghentikan serangan pihak lawan. Penjaga gol mempunyai tendency untuk menyepak bola menuju ke arah padang yang dominan. Jika sepakan gol diambil di sebelah kiri, bola akan diarahkan ke kiri dan sebaliknya. Jika bola diarahkan ke arah tengah, risiko tinggi apabila pihak lawan melakukan serangan balas. Cuma Kahar perlu berhati-hati agak arah dominan itu tidak terlalu dominan sehingga menuju keluar padang.

Tumpuan untuk pertahanan sisi lebih terarah kepada Shazlan Alias yang mengambil tempat Fauzan Fauzi yang terpaksa berehat lama akibat kecederaan. Walaupun Shazlan tidak melakukan overlapping terlalu tinggi, tindakan beliau untuk sentiasa pergi ke bahagian hal space pihak lawan ketika Lee Tuck masuk ke bahagian tengah memberi banyak pilihan kepada pemain yang memegang bola untuk melakukan hantaran. Crossing Shazlan dari half space juga banyak menimbulkan masalah kepada barisan pertahanan ATM dan barisan penyerang perlu bijak untuk menajamkan skill tandukan mereka bagi diterjemahkan kepada gol. Satu aksi dari Shazlan yang menggunakan out foot untuk memastikan crossing beliau tidak terlalu jauh dan bola jatuh ditempat yang diidamkan.

Bakal menentang Pahang Jumaat depan, posisi pertahanan kiri pasti menjadi satu posisi yang bakal ditekankan oleh barisan kejurulatihan Negeri Sembilan kerana kehadiran semula Mohamadou Sumareh ke kem Pahang. Jika kepantasan yang diperlukan, kehadiran Norhazrul di bangku simpanan menandakan beliau sedia untuk mengambil semula posisi kiri tersebut namun jika mahukan fizikal, sudah pasti Hariri adalah calonnya. Walaubagaimanapun, masih menjadi kemusykilan bagaimana Rafizol boleh melalui celah di antara Hariri dan seorang lagi pemain Negeri Sembilan.

Gandingan Annas-Nasriq boleh dikatakan masih utuh ketika ini walaupun dibolosi satu gol namun kedua-dua pemain dikatakan bakal tidak beraksi pada perlawanan akan datang akibat mengumpul kad kuning. Kad kuning yang dikutip oleh Annas setelah bertindak balas terhadap sliding block tackle yang dilakukan ­Sirojiddin Ramatullaev. Manakala kad kuning yang dikutip oleh Nasriq adalah lebih kepada obstruction terhadap Faiz Ibrahim.

Secara peribadi, Annas perlu lebih mengawal emosi ketika diasak pemain lawan. Annas sebenarnya beberapa kali pernah memberi response terhadap kekasaran pihak lawan cuma ia dilihat tidak keras seperti perlawanan kelmarin. Ditambah pula dengan pemain yang terlibat adalah pemain yang ‘tercedera’ sebelum itu, dan ketinggalan ketika menguasai perlawanan, mungkin Annas gagal untuk menenangkan dirinya lalu bertindak sedemikian rupa.


Seorang lagi pemain yang bakal menjalani hukuman penggantungan kad kuning, Faizal Abu Bakar, dilayangkan kad kuning atas kekasaran ketika cubaan merampas bola dari kaki Sirojiddin pada minit ke-47. Faizal boleh dikatakan seorang destroyer yang sering menghentikan gerakan lawan dengan aksi keras beliau. Walaupun foul yang dilakukan tidak bahaya, pengadil terpaksa melayangkan kad kuning dengan membuat isyarat tiga jari menandakan Faizal telah melakukan tiga kesalahan termasuk kekasaran tersebut. Faizal perlu memperbaiki hantaran-hantaran beliau kerana 'hantaran membunuh'nya telah menutup aksi tugas beliau.

Sesungguhnya, skill Khairul Anuar melakukan hantaran silang rendah seperti musim lalu begitu dirindui. Jika bahagian serangan boleh mencari ruang untuk berada di posisi yang betul ketika berada di dalam kotak penalti, pasti Khairul akan melakukan skill tersebut dan penyerang hanya perlu untuk menampan bola ke dalam gol. Walaupun ability untuk menggelecek adalah kurang berbanding Lee Tuck, tetapi larian pantas membawa bola dalam keadaan lurus sehingga bucu padang boleh dijadikan satu senjata untuk skuad Negeri Sembilan.  

Lee Tuck seperti biasa menunjukkan permainan menghiburkan melakukan gelecekan, hantaran dan sesekali percubaan yang boleh membahayakan pintu gol lawan. Cuma ketika dalam tekanan, Lee Tuck berusaha seorang diri untuk menembusi barisan pertahanan lawan. Dalam situasi ini, rakan-rakan seharusnya merapati Lee Tuck untuk memberi bantuan kerana Lee Tuck berjaya menarik tiga-empat pemain untuk menghalang beliau ketika menggelecek bola.

Farderin oh Farderin. Tumpuan sudah pasti terhadap Farderin Kadir apabila gagal untuk menyudahkan beberapa peluang keemasan sehingga segilintir penyokong resah dengan kehadirannya. Ditambah pula dengan kegagalannya pada perlawanan menentang Pahang yang lalu, pasti menjadi topik perbualan para penyokong. Bukanlah mahu menyebelahi Farderin, pengulas juga kecewa dengan kegagalan beliau menyempurnakan peluang yang ada, tetapi seperti mana Simic Marko diberi peluang pada permulaan saingan liga, mengapa ruang ini tidak diberikan kepada Farderin juga?

Masih terbayang di ingatan ketika Simic Marko gagal menjadi penyerang idaman di hadapan pintu gol, Farderin hadir sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol setelah ketinggalan 1-0 kepada PDRM dan gol pertama adalah hasil usahanya mencabar Al-Hafiz Hamzah dalam perebutan bola di udara. Sebagai cadangan, barisan kejurulatihan boleh memasukkan Farderin ketika sedang mendahului dengan selesa supaya ketika tiba masa seperti ini, Farderin sedia untuk memberi yang terbaik di atas padang.

Kemasukan Nizam Ruslan dan Izuan Salahudin adalah satu tindakan yang tepat dari barisan kejurulatihan. Kepantasan Nizam dan kebolehan Izuan menggelecek bola diperlukan ketika skuad terlalu bergantung kepada Lee Tuck untuk membawa bola ke hadapan. Izuan yang dimasukkan pada minit ke-78 menggantikan Farderin melakukan satu assist untuk gol penyamaan Negeri Sembilan. Bagi Nizam pula, beliau perlu meningkatkan keberanian beliau membawa bola sebagaimana beliau berani membawa bola ketika pasukan sedang mendahului dan melakukan pelbagai skills.

Memetik kata-kata seseorang 'Alex Ferguson ni minit 80 karang baru nak tukar orang', mungkin itu juga prinsip yang diamalkan oleh barisan kejurulatihan Negeri Sembilan. Dalam satu sisi positif, barisan kejurulatihan yakin dengan barisan yang diturunkan mereka adalah yang terbaik dan pemain juga perlu membalas kepercayaan tersebut. Tetapi jika mahu melakukan dua pertukaran, mengapa perlu menukar seorang seorang instead of double substitution. Pemain kedua perlu menunggu sehingga permainan dihentikan semula dan jika penantian tersebut agak lama, apalah yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat?

Secara rumusan, benarlah dalam bola sepak segalanya mungkin. Jika hendak dibandingkan dengan perlawanan pada pusingan pertama di mana Negeri Sembilan menang ke atas ATM 1-0, perlawanan kelmarin boleh dikatakan lebih menarik dengan banyak gerakan yang boleh menghasilkan gol dilakukan. Pemain-pemain tidak perlu terlalu mengikut emosi setelah ketinggalan kerana jika mereka boleh bermain dengan baik dalam 45 minit pertama, mengapa tidak dalam 45 minit yang seterusnya.

Setelah ketinggalan, pemain-pemain dilihat terlalu tergopoh-gopoh dalam melakukan hantaran sehingga banyak hantaran yang gagal dilakukan. Mereka mengambil masa untuk seketika sebelum berupaya untuk kembali kepada rentak permainan mereka semula. Jika hal ini boleh diperbaiki, pastinya ia boleh menjadi satu masalah kepada mana-mana pasukan yang bakal dihadapi.

Perbincangan pasukan ATM :
Venice Elphi dan Hafizudin layak diberi kredit untuk keputusan seri semalam. Venice Elphi beberapa kali mengancam kubu pertahanan Negeri Sembilan manakala Hafizudin tangkas beraksi di pintu gol menafikan goal scoring chances untuk Negeri Sembilan. Manakala Sirojiddin(berdasarkan Wikipedia pemain ATM berjersi nombor 28), anda berjaya menyakitkan hati sey. Nokhtah.

Ulasan pegawai perlawanan :
Melihat kepada response Subkhidin Salleh berhubung perlawanan membabitkan Kedah dan TTeam, dicadangkan agar dibina satu platform untuk mendidik penyokong bola sepak Malaysia melalui penulisan pengadil supaya penyokong boleh mengambil tahu serba sedikit tentang aspek kepengadilan tanpa mengambil kira mana-mana isu yang membabitkan pasukan tertentu. Penulis pernah terjumpa satu blog yang membincangkan aspek peraturan dari sisi pengadil dan di sini, peminat boleh mengetahui serba sedikit tentang keputusan yang diambil oleh pengadil.

Mengambil satu contoh(betulkan jika salah), penulis pernah terbaca jika pasukan mendapat sepakan tidak terus(seperti offside) dan penyepak menyepak bola ke arah pintu gol sendiri dan terus ke arah gol tanpa ada sentuhan kedua, pihak lawan akan mendapat sepakan sudut. Mungkin situasi ini jarang terjadi tetapi sekurang-kurangnya peminat ada tentang ilmu tersebut. Begitu juga situasi ketika sepakan penalti, rasanya masih ada segelintir peminat yang kurang cakna tentang situasi apabila bukan penyepak berada di dalam kotak ketika bola belum disentuh.

Penulis terfikirkan tentang idea ini kerana penulis tidak pasti adakah peraturan yang membenarkan pemain dirawat di dalam padang oleh pegawai perubatan mengikut budi bicara pengadil sudah diguna pakai dalam Liga Malaysia. Pada minit ke-48, timbul sedikit kekecohan setelah Sirojiddin kesakitan dan memerlukan pegawai perubatan masuk ke padang. Setelah beberapa ketika, pengadil mengarahkan stretcher dibawa masuk. Namun demikian,pegawai perubatan meneruskan rawatan terhadap Sirojiddin di dalam padang dan Sirojiddin berjalan sendiri keluar padang.

Penulis pernah terjumpa satu situasi dalam Liga IPT(pengadil Liga IPT adalah pengadil yang diiktiraf FAM) di mana stretcher dibawa masuk untuk mengusung keluar pemain dan ketika stretcher tiba, pemain terbabit bangun untuk keluar sendiri keluar padang dan dilayangkan kad kuning kedua(telah menerima kad kuning sebelum itu) seterusnya layangan kad merah. Sebagai tambahan, pemain terbabit berada di tengah padang dan berjalan ke arah barisan pertahanan untuk menyerahkan lilitan kapten kepada rakan.