Sunday 7 August 2016

100 Plus Liga Premier : Negeri Sembilan (1) vs (1) Sime Darby FC

Harapan penyokong Negeri Sembilan untuk melihat pasukan kesayangan mereka bangkit dalam kancah Liga Perdana seterusnya mengejar slot ke Liga Super tahun hadapan, tidak kesampaian walaupun bertemu pasukan di tangga tercorot liga Sime Darby. Walaupun bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sime Darby memberikan tentangan sengit dari tiupan wisel pertama dan berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan selepas wisel penamat ditiupkan hasil keputusan seri 1-1.

Malah, Sime Darby terlebih dahulu berjaya untuk menyesuaikan diri di dalam padang sehingga membolehkan mereka mendahului skuad Jang seawal minit keempat. Gerakan cantik satu dua di antara pemain tengah Faizal Aziz dan penyerang Zul Fahmi Awang membolehkan Faizal melepasi kawalan pertahanan Nasriq Baharom dan Taylor Regan dan berada dalam situasi satu lawan satu bersama Syed Adney sebelum Faizal tenang menolak bola ke sebelah kanan Syed Adney tanpa sebarang usaha dari Syed Adney untuk menafikan jaringan pertama Sime Darby. Ibarat mendapat satu suntikan semangat, Sime Darby yang turut gagal mengutip sebarang mata dalam beberapa perlawanan sebelum ini terus bernafsu mencari gol kedua dan hampir melakukannya pada minit ke-27. Satu serangan balas yang direncanakan Faizal Aziz sebelum melebarkan ke sebelah kanan untuk Zul Fahmi, dan Zul Fahmi memilih untuk melakukan percubaan yang berjaya ditampan Syed Adney walaupun Faizal dan Obi Ikechukwu yang tidak dikawal sudah menunggu di hadapan. Melihat kepantasan pemain tengah Sime Darby, ketua jurulatih Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk memastikan skuad kendaliannya ditewaskan dari segi kepantasan dan melakukan pertukaran taktikal seawal minit ke-30. Namun, itu masih belum menghalang Faizal untuk sekali lagi mencemaskan kem tuan rumah dengan serangan balas pantas seminit kemudian namun sepakannya kali ini berjaya diselamatkan Syed Adney.

Negeri Sembilan hanya mampu untuk memberi cabaran kepada penjaga gol Sime Darby, Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-36 apabila sepakan percuma yang diambil Khairul Anuar singgah tepat ke kepala Goran Gerkovic namun relfeksi pantas Faridzuean untuk menepis tandukan Goran berjaya menyelamatkan kem Sime Darby dari dibolosi. Faridzuean terus cemerlang pada minit ke-41 dengan melayangkan badan ke belakang untuk menafikan percubaan Aaroon Kumar walaupun kedudukan Faridzuean sudah sedikit terkeluar dari posisi.

Bersambung babak kedua, Zul Fahmi seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal memberi kelebihan selesa kepada Sime Darby pada minit ke-51 ketika hanya perlu menewaskan Syed Adney setelah menerima satu hantaran bijak dari Obi Ikechukwu yang melakukan tandukan flick untuk meletakkan bola ke dalam kotak penalty namun Zul Fahmi gagal untuk menyudahkan peluang gol kedua Sime Darby.

Negeri Sembilan yang ibarat baru tersedar hanya kemenangan akan membolehkan mereka terus merapati pasukan di tangga teratas, melancarkan serangan bertali arus pada babak kedua dengan peluang pertama muncul pada minit ke-53 setelah Aaroon Kumar bijak melakukan satu through pass cantik mencari Afiq Azmi namun Afiq memilih untuk menyepak bola sedikit tersasar dari pintu gol Sime Darby. Pada minit ke-72, Faridzuean ternyata mahu memastikan pasukannya pulang dengan kejayaan dengan kali ini layangan badannya ke sebelah kiri berjaya menafikan sepakan volley yang dilakukan Taylor Regan.


Walaubagaimanapun, kem tuan rumah tidak mahu berputus asa dan akhirnya berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-80 apabila sepakan percuma yang diambil pemain gantian, Sabri Sahar berjaya menemui kaki Alexander Moreton Smith dan tolakan Smith terkena kaki pemain pertahanan Sime Darby sebelum bergolek ke dalam pintu gol Sime Darby.