Saturday 20 June 2015

Liga Perdana Matchday 11 : NS Matrix (1) vs Sabah FA (3)

Paroi : Perlawanan Liga Perdana bersambung semula setelah beberapa minggu terhenti untuk memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan menentang Tottenham Hotspurs dan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang memaksa beberapa perlawanan terpaksa dijadualkan semula. Akibatnya, setiap pasukan yang berehat panjang memulakan semula perlawanan kompetitif mereka pada bulan puasa termasuk NS Matrix dan Sabah FA yang bertemu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Kehadiran penonton yang tidak begitu ramai iaitu kira-kira lebih kurang seribu orang disajikan dengan persembahan bertenaga penyerang import sensasi Sabah, El Hadji Diouf yang telah mencipta gerakan gol pada babak awal separuh masa pertama lagi. Pada minit ketiga, Diouf yang dikasari di kawasan kiri padang mengambil sendiri sepakan percuma tersebut untuk dihantar ke dalam kawasan bahaya NS Matrix dan hasilnya hantaran Diouf berjaya ditanduk pemain sayap Sabah, Alto Linus yang melangkaui jangkauan penjaga gol NS Matrix, Mohd Yatim Abdullah untuk gol pertama Sabah. Kebergantungan pasukan NS Matrix terhadap penyerang import sensasi mereka, Francis Forkey Doe seolah memberi tanda mereka sudah tewas lebih awal apabila tidak ramai yang memberi bantuan kepada Forkey Doe ketika membuat serangan balas dan apabila sedang mengatur serangan, Forkey Doe lebih selesa untuk bertindak sendiri. Sabah hampir melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-34 apabila Diouf yang berpeluang untuk melakukan sepakan percuma terus ke arah pintu gol bijak untuk membuat hantaran pendek kepada Eamon Zayed namun Eamon gagal menyempurnakan peluang yang ada ketika dia hanya berdepan dengan Yatim Abdullah. Seminit kemudian, Sabah akhirnya berjaya melebarkan kedudukan dalam situasi serangan balas apabila Alto melarikan bola ke arah kanan padang sebelum melakukan hantaran far post yang menuju tepat ke kepala Joel Chianese seterusnya menewaskan Yatim buat kali kedua. Tidak berpuas hati dengan dua jaringan, Sabah terus melancarkan serangan dan sekali lagi Diouf menggunakan situasi bola mati untuk mencipta gol. Sepakan sudut yang diambil Diouf pada minit ke-40 menuju ke arah pertahanan Sabah yang naik untuk membantu, Abdoulaye Faye untuk menewaskan Yatim buat kali ketiga menerusi tandukan. Serangan NS Matrix yang benar-benar mencemaskan kem Sabah hanya tiba seminit sebelum wisel masa sebenar ditiup apabila N. Thanabalan berjaya meloloskan diri ke dalam kotak penalti pasukan Sabah namun sepakannya yang memaksa penjaga gol Sabah, Mohd Fazli Paat untuk melayangkan badan, berjaya ditepis.

Memasuki babak kedua separuh masa, NS Matrix yang terdesak mencari tiga gol terus melancarkan serangan seawal wisel ditiup dan Bruno Martelotto hampir merapatkan kedudukan namun tandukannya sedikit tersasar ke atas palang pintu gol Sabah yang dikawal Fazli. Pada minit ke-49, sedikit keekcohan berlaku apabila pemain NS Matrix, Kim Jim Ryong bertindak menolak pemain Sabah, Rawilson Batol yang sebelum itu melakukan kekasaran terhadap pemain NS Matrix sehingga memaksa pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain untuk meleraikan keadaan. Pada minit ke-51, Fazli Paat sekali lagi menjadi penghalang buat pasukan NS Matrix menyamakan kedudukan apabila bijak melayangkan badan ke sebelah kiri untuk menepis sepakan percuma Forkey Doe. Gawang Sabah terselamat lagi apabila sepakan sudut susulan dari aksi Fazli Paat sebelum ni yang diambil S. Sivanesan ditanduk Kim Jim Ryong namun bola tandukan Kim dikeluarkan Diouf di atas garisan gol ketika Fazli sudah tertewas. Tiga minit kemudian, Fazli terus cemerlang kali ini melayangkan badan ke sebelah kanan untuk menepis percubaan volley Bruno Martelotto yang menerima hantaran dari Kim Jim Ryong. NS Matrix terus buntu mencari gol ketika  Forkey Doe melihat percubaannya singgah ke tiang kanan pintu gol pada minit ke-57. Sabah yang banyak diasak pada separuh masa kedua tidak berpeluang untuk melakukan serangan ke arah pintu gol NS Matrix bagi menambah jaringan gol apabila serangan balas yang dilakukan sering dipatahkan barisan pertahanan NS Matrix yang diketuai Azizi Md Rose. Walaupun ketinggalan, ketua jurulatih NS Matrix, K. Devan tetap tenang tidak melakukan perubahan strategi selain melakukan satu pertukaran pada minit ke-80 dengan memasukkan Khyril Muhymeen yang membuahkan hasil apabila hantaran Khyril Muhymeen ditanduk Bruno dan menewaskan Fazli Paat sebelum Forkey Doe tampil menyepak bola ke pintu gol ketika bola sudah pasti menerjah jaring. Namun, semua itu sudah terlewat bagi pasukan tuan rumah yang terpaksa pulang duka tewas kepada Sabah 1-3.

Barisan pemain :

NS Matrix : Mohd Yatim Abdullah, A. Segar, Jean Marc Alexandre, Azizi Md Rose, Akmal Mohd Noor, N. Thanabalan(Khyril Muhymeen), Bruno Martelotto, S. Sivanesan, Kim Jim Ryong, Fauzi Shaari, Francis Forkey Doe

Sabah FA : Mohd Fazli Paat, Leopold Alfonso Otong(Shafuan Adli Shaari), Hardy Charles Parsi, Abdoulaye Faye, Mohd Khairi Kiman(Julamri Muhammad), Alto Linus, Fairol Nazlin Sayuti, Rawilson Baitul, El Hadji Diouf(Zuraindey Jumai), Joel Chianese, Eamon Zayed       

    

No comments:

Post a Comment