Friday 13 January 2017

Ulasan Tentang Anugerah Gol Terbaik

*Memandangkan pertengahan musim kedua tahun lepas merupakan satu musim yang sukar bagi Negeri Sembilan, penulis terpaksa mengulas beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan di media massa bagi menghidupkan semula nafsu menulis laporan perlawanan bola sepak.


Kemungkinan ramai yang sudah maklum, kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas dalam Anugerah FIFA 2016 membuatkan Datuk Seri Afandi Hamzah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpanggil untuk mempertimbangkan menjadikan anugerah gol tercantik sebagai salah satu kategori dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan. Maka pelbagai reaksi hadir dari pencinta bola sepak tanah air yang rata-rata bersetuju dan mempersoalkan mengapa FAM lambat bertindak untuk mewujudkan anugerah tersebut. Pemain-pemain seperti Badri Radzi, Aidil Zafuan, Safiq Rahim dan ramai lagi mungkin mempunyai peluang untuk memenangi anugerah tersebut menerusi jaringan-jaringan mereka sebelum ini dan boleh dicalonkan kepada FIFA untuk senarai pencalonan Anugerah Puskas.

Dalam hal pencalonan gol terbaik kepada FIFA, penulis merasakan dua pendapat bertentangan boleh diberikan dalam isu ini. Memandangkan penulis tidak mempunyai hubungan terus kepada FAM, pendapat ini hanyalah sekadar pandangan berasaskan fikiran yang tidak mempunyai fakta yang tepat dan tidak boleh digunakan dalam berhujah dengan mana-mana pihak. Pendapat yang pertama adalah FAM memang pernah menyenaraikan gol-gol sebagai pencalonan kepada FIFA. Jika hal ini benar, maka kesimpulan yang boleh dibuat cuma satu. Pencalonan tersebut gagal menembusi peringkat sepuluh terbaik seperti gol yang dilakukan oleh Faiz Subri. Pendapat yang kedua adalah ini merupakan kali pertama FAM menghantar pencalonan tersebut dan sudah pasti Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ada memainkan peranan sehingga Faiz Subri mengucapkan terima kasih kepada FAM dan FMLLP kerana menghantar video jaringan beliau kepada FIFA untuk penilaian.

Berbalik kepada pertimbangan mewujudkan anugerah gol tercantik, adakah media elektronik terutamanya Media Prima selaku media rasmi sudah bersedia untuk membantu dalam menyediakan video-video gol bagi menghangatkan lagi senarai pencalonan untuk anugerah tersebut atau sekadar berharap kepada gol-gol yang disiarkan secara langsung. Seperti yang semua maklum, Media Prima bukanlah sebuah media yang memfokuskan kepada sukan semata-mata. Ketika zaman Astro Arena sebagai penyiar rasmi, Astro Arena mempunyai rancangan Masa Tambahan menunjukkan hampir kesemua highlight pada minggu tersebut malah mereka turut memilih lima gol terbaik untuk minggu tersebut. Sudah pasti, Astro Arena berusaha untuk memaparkan semua video-video perlawanan pada minggu tersebut sejajar dengan tagline mereka, Nadi Sukan Malaysia.

Malah, sebelum kewujudan Astro Arena, ketika zaman peminat perlu membetulkan antena televisyen hanya semata untuk mendapat siaran yang jelas bagi menonton bola di RTM, RTM turut mempunyai rancangan Sekilas Liga Malaysia di mana rancangan tersebut memaparkan highlight perlawanan-perlawanan yang terpilih pada minggu tersebut termasuk divisyen Liga Perdana. Penulis juga masih ingat RTM turut menyiarkan siaran perlawanan pada hari Isnin jam 12.00 malam dan boleh dikategorikan sebagai siaran tertunda walaupun siaran tersebut dipotong-potong agar habis pada jam 1.00 pagi.

Sehubungan dengan itu, diharapkan Media Prima mampu melaksanakan ranangan seperti Masa Tambahan dan Sekilas Liga Malaysia bagi menjayakan idea yang diberikan FAM supaya lebih banyak gol yang berkualiti dihasilkan dalam bentuk video untuk tatapan para peminat.

Akhir kalam, Majulah Sukan Untuk Negara.

No comments:

Post a Comment