Friday 19 February 2016

100 Plus Liga Premier : KL-DRB Hicom FC (1) vs (3) Negeri Sembilan

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Tanjung Malim - Perlawanan kedua 100 Plus Liga Premier telah berlangsung Isnin lalu membabitkan dua belas pasukan yang bertanding termasuk KL-DRB Hicom FC (DRB Hicom) dan Negeri Sembilan. Turun selaku pasukan tuan rumah, DRB Hicom menerima kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Proton, Tanjung Malim. Peluang beraksi di gelanggang sendiri pastinya mahu digunakan DRB-Hicom yang masih dibuai dengan kejayaan menewaskan pasukan pilihan JDT II, untuk memperoleh kemenangan. Manakala bagi kem pelawat pula, Negeri Sembilan pasti tidak mahu mengecewakan sebilangan penyokong yang hadir walaupun mereka seri menentang Kuantan FA di laman sendiri.

Negeri Sembilan ternyata mahu mencari gol awal apabila melakukan serangan seawal minit pertama lagi namun hantaran Joel Chianese mencari Andrew Nabbout berjaya ditanduk keluar ketua pasukan DRB Hicom, Abdullah Hj Yusoff ketika penjaga gol Mohd Hafidz Romly sudah keluar dari posisi dalam usaha menghalang Joel melakukan hantaran. Walaupun Negeri Sembilan terus menguasai permainan selepas itu, skuad pelawat seolah-olah gagal untuk mencari rentak dan menyesuaikan diri dengan cuaca panas petang. Hasilnya, skuad tuan rumah bijak menghukum barisan pertahanan Negeri Sembilan melalui satu serangan balas yang dijana bekas pemain Negeri Sembilan, Kim-Jim Ryong dengan melakukan hantaran panjang ke hadapan mencari Ivan Babic sebelum Ivan Babic melakukan larian membawa bola melepasi kawalan pertahanan Annas Rahmat. Peluang berhadapan Syed Adney secara satu lawan satu tidak disia-siakan Ivan Babic untuk mencetak gol pertama DRB Hicom pada minit ke-19 walaupun Syed Adney berjaya menghalang percubaan pertama Ivan. Gol tersebut ternyata hanya menyemarakkan semangat kem pelawat mencari gol penyamaan apabila selang dua minit kemudian, sepakan penjuru yang diambil Shahrul Igwan gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Hafidz Romly dan jatuh ke kaki ketua pasukan Negeri Sembilan, Taylor Regan namun pemain tersebut gagal menyudahkan peluang yang terhidang dengan sempurna. Pertahanan pelawat dilihat masih goyah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan panas pada minit ke-24 apabila kawalan bola kurang kemas Taylor menyebabkan Ivan Babic merampas lalu menolak bola kepada Mohd Arif Amiruddin namun Annas pantas melakukan pintasan ke atas bola rembatan Arif. Penyokong dan pemain pasukan pelawat seharusnya boleh menarik nafas lega ketika wisel penamat babak pertama ditiup namun dua percubaan Andrew gagal menemui jaring gol. Hantaran Alex Smith pada minit ke-30 membolehkan Andrew berada dalam situasi satu lawan satu bertemu Hafidz namun Hafidz bertindak cemerlang merebahkan badan menyelamatkan rembatan Andrew. Empat minit kemudian, Andrew melakukan percubaan dari luar kotak penalti setelah mendapat hantaran dari Joel namun rembatan tersebut sedikit tersasar di atas palang.

Bersambung babak kedua, dalam usaha Negeri Sembilan mengatur permainan mencari gol, kelekaan barisan pertahanan hampir dihukum skuad DRB Hicom pada minit ke-54 apabila Ivan berjaya melarikan bola ke dalam kawasan berbahaya sebelum melakukan cut back untuk Muhammad Nazri namun sepakan Nazri berjaya dihalang Syed Adney yang bersedia di pintu gol. Dua minit kemudian, Joel seharusnya menyalahkan diri sendiri setelah gagal menyempurnakan peluang terbaik untuk dirinya apabila menerima hantaran dari pemain gantian, Md Norhafizzuan dan Joel memilih untuk menyepak bola melewati palang gol ketika berhadapan dengan Hafidz. Kemasukan Md Norhafizzuan dan Mohd Shazlan, pertukaran posisi Aroon Kumar dari pertahanan kanan ke posisi tengah serta faktor cuaca yang sudah redup ternyata merubah corak permainan Negeri Sembilan yang melakukan asakan demi asakan mencari gol. Pada minit ke-63, Negeri Sembilan memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti DRB Hicom namun sepakan yang diamblil Smith sedikit melewati di atas palang. Pertahanan DRB Hicom yang diketuai Abdullah terus diuji dua minit kemudian setelah Andrew melepaskan rembatan yang menggegar sisi luar jaring. Minit ke-75, Joel sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik beliau untuk memberi keceriaan kepada kem pelawat apabila hantaran lintang Andrew disambut dengan percubaan melepasi palang gol. Mimpi ngeri kem DRB Hicom bermula pada minit ke-79 apabila lorongan rendah Andrew ke dalam kotak penalti cuba dipintas Kim Jim Ryong namun dalam usaha Kim Jim Ryong melakukan sliding tackle, bola terkena tangan lalu pengadil meniup wisel untuk sepakan penalti. Andrew yang bertindak mengambil sepakan penalti tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk meletakkan kedudukan semasa 1-1 pada minit 80. Joel akhirnya mampu membuat penyokong yang hadir dari jauh melonjak kegirangan apabila tiga minit kemudian, hantaran Andrew ke dalam kotak penalti mudah ditolak Joel untuk Negeri Sembilan mendahului 2-1. Alex memastikan tiga mata penuh milik Negeri Sembilan pada petang tersebut apabila melebarkan kedudukan dan mematikan semangat pemain DRB Hicom yang perlu mencari dua gol untuk mencuri satu mata. Alex menghantar bola kepada Afiq Azmi yang masuk selaku pemain gantian sebelum melakukan hantaran menggunakan tumit untuk mengelirukan pertahanan dan Alex bijak menyempurnakan peluang tersebut untuk menewaskan Hafidz buat kali ketiga(minit 88).      

Senarai pemain:

DRB Hicom FC : Hafidz Romly(gk), Nasrullullah Haniff, Godwin Antwi, Abdullah Hj Yusoff(k), Faizal Mansor, Arip Aminuddin,  Muhammad Nazri(Khairul Asyraf Ramli), Kim Jin Ryong, M. Yoganathan(Ashadi Yusoff), Fakrul Aiman(Philip Lind), Ivan Babic

Negeri Sembilan : Syed Adney(gk), Aroon Kumar, Taylor Regan(k), Annas Rahmat, Daniel Ting, Shahrul Igwan(Md Norhafizzuan), Alex Smith, Sabri Sahar(Mohd Shazlan), Andrew Nabbout, Joel Chianese, N. Thanabalan(Afiq Azmi).



No comments:

Post a Comment