Saturday 27 February 2016

100 Plus Liga Premier : Negeri Sembilan (1) vs (1) Kuala Lumpur

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Kejohanan 100 Plus Liga Premier 2016 yang masih berada di peringkat awal menyaksikan pasukan Negeri Sembilan menanti kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat lalu. Kedua-dua pasukan yang baru sahaja melangkahkan kaki ke peringkat 16 terbaik kejohanan SuperBest Power Piala F.A 2016 minggu lalu, pasti mahu meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan ketiga liga ini.

Turun selaku tuan rumah dengan sokongan ribuan penyokong yang hadir ke stadium, Negeri Sembilan dilihat lebih menguasai perlawanan dan melakukan serangan demi serangan sehingga skuad pelawat gagal memberi cabaran kepada benteng pertahanan tuan rumah bagi separuh masa pertama. Skuad Jang memberi amaran pertama kepada benteng pertahanan Kuala Lumpur yang diketuai oleh kapten pasukan Azlan Zainal pada minit kesembilan melalui Afiq Azmi yang menerima hantaran dari Norhafizzuan Jailani lalu membawa bola ke sebelah kanan pintu gol melepasi kawalan Azlan Zainal dan penjaga gol Norhadi Ubaidillah namun ruang yang agak tertutup menyaksikan sepakan Afiq terkena tiang. Penyokong tuan rumah seharusnya boleh meraikan jaringan gol pembukaan pada minit ketiga belas namun ketangkasan Norhadi ternyata menjadi penghalang. Norhadi cemerlang untuk menepis bola tandukan Taylor Regan yang menerima umpanan dari sepakan sudut Norhafizzuan. Gol yang dicari-cari kem tuan rumah akhirnya tiba pada minit ke-23 menerusi Norhafizzuan yang menerima hantaran Alexander Smith bijak membawa bola masuk ke dalam kotak penalti melepasi kawalan pemain pelawat sebelum merembat masuk menewaskan Norhadi pada malam itu. Belum sempat untuk Kuala Lumpur mengatur semula corak permainan, serangan Negeri Sembilan terus hadir apabila dua minit kemudian, sepakan sudut yang hampir serupa dilakukan Norhafizzuan kali ini berjaya menemui Annas Rahmat namun tandukan Annas yang mencari far post berjaya dikeluarkan Hafiz Johar di atas garisan gol. Norhafizzuan terus menjadi duri dalam daging bagi skuad Kuala Lumpur pada separuh masa pertama apabila lorongan cantik mencari Andrew Nabbout membolehkan Nabbout berada dalam situasi berhadapan dengan Norhadi namun sepakan lemah yang dilakukan mudah ditangkap(min 31). Nabbout bagaimanapun hampir menebus kesilapannya pada minit ke-38 dan membolehkan kem tuan rumah berada dalam situasi selesa menuju ke bilik persalinan setelah bola yang dikeluarkan oleh Regan dari kawasan berbahaya Negeri Sembilan jatuh tepat ke kaki Afiq dan walaupun Azlan Zainal berjaya melakukan pintasan, bola bergerak ke arah Nabbout yang merembat kencang tetapi Norhadi terus cemerlang memastikan pintu gawangnya tidak dibolosi kali kedua dengan menepis bola keluar.

Bersambung perlawanan, kata-kata semangat jurulatih pelawat, Ismail Zakaria untuk anak buahnya di bilik persalinan ternyata lebih berkesan berbanding rakan sejawatannya Gary Philip yang menyaksikan Kuala Lumpur lebih mendominasi permainan di separuh masa kedua. Baru sahaja lima minit perlawanan bersambung, Kuala Lumpur telah melakukan serangan untuk mencari gol penyamaan dan pemain gantian, Rashid Aya hampir memastikan tindakan Ismail Zakaria memasukkan dirinya menggantikan Thamil Arasu pada minit ke-35 adalah satu tindakan yang tepat dengan merembat kencang namun berjaya diselamatkan Syed Adney di pintu gol. Empat minit kemudian, giliran Zhafri Yahya pula mencuba di sudut yang hampir sama dan sekali lagi kem tuan rumah perlu berterima kasih kepada Syed Adney yang bertindak cemerlang memastikan pintu golnya tidak dibolosi. Walaupun Gary Philip cuba untuk memastikan Negeri Sembilan mampu mengimbangi serangan Kuala Lumpur dengan memasukkan Khairul Anwar yang menggantikan Sabri Sahar yang tercedera dan Shahrul Igwan menggantikan Afiq, itu tidak menghalang The City Boys terus mencari gol penyamaan mereka. Pada minit ke-71, sepakan percuma yang diambil Mario Karlovic di kawasan kiri Negeri Sembilan mencari Anselmo Arruda Da Silva di dalam kotak penalti namun tandukan Da Silva sedikit melewati tiang gol. Menuju ke minit-minit terakhir perlawanan, kedua-dua penyokong tuan rumah dan pelawat terus resah dengan Negeri Sembilan dilihat hanya mampu bertahan untuk memastikan kedudukan 1-0 terus kekal sehingga penamat manakala Kuala Lumpur terus ghairah memburu gol penyamaan. Pada minit ke-86, Syed Adney masih cemerlang memastikan pintu golnya tidak dibolosi apabila menafikan percubaan jarak dekat Da Silva yang berjaya memecah masuk benteng pertahanan Negeri Sembilan hasil gerakan satu dua bersama Naim Nazmi. Seminit kemudian, berita gembira akhirnya diperoleh penyokong pelawat apabila Zhafri memastikan bola rembatannya menewaskan Syed Adney untuk gol penyamaan kem pelawat. Gol yang berpunca dari hantaran lintang Hafiz ke dalam kotak penalti dikeluarkan oleh Smith namun bola tersebut jatuh di kaki Zhafri yang menanti di luar kotak penalti. Tamat perlawanan Negeri Sembilan 1-1 Kuala Lumpur.

Barisan pemain:

Negeri Sembilan : Syed Adney(gk), Aroon Kumar, Annas Rahmat, Taylor Tegan(k)(Nasriq Baharom), Shazlan Alias, Sabri Sahar(Khairul Anwar), Norhafizzuan Jailani, Alexander Smith, Joel Chianese, Andrew Nabbout, Afiq Azmi(Shahrul Igwan)

Kuala Lumpur : Norhadi Ubaidillah(gk)(Soffuan Tawil), Helmi Remeli, Azlan Zainal(k), Leonardo Moreira, Hafiz Johar, Zhafri Yahya, Konte Modibo, Mario Karlovic, Naim Nazmi, Anselmo Arruda Da Silva, Thamil Arasu(Rashid Aya,Naufal Naim)






  

No comments:

Post a Comment