Friday 20 February 2015

Friendly Piala Presiden : Negeri Sembilan U-21 (3) vs (3) Johor DT IV

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Tampin - Rehat selama lebih kurang dua minggu digunakan sebaiknya oleh dua pasukan Negeri Sembilan Bawah 21 Tahun (NS U-21) dan Johor Darul Takzim Bawah 21 Tahun (JDT IV) yang terlibat dalam Piala Presiden 2015 untuk mengadakan perlawanan persahabatan sesama sendiri. Ternyata, kedua-dua pasukan mengambil peluang dalam perlawanan ini dengan menggunakan hampir kesemua pemain yang ada bagi menguji kemampuan pemain masing-masing malah JDT IV menurunkan pemain yang berbeza untuk separuh masa pertama dan separuh masa kedua. Dalam perlawanan tersebut, NS U-21 terlebih dahulu mencetak jaringan gol apabila gerakan serangan dari sebelah kanan membuahkan hasil dengan Shazrul Ashraf memberi lambungan cantik untuk memudahkan N. Thanabalan menanduk ke arah gol yang hanya mampu diperhatikan barisan pertahanan dan penjaga gol JDT IV, Nabil Akmal pada minit ke-25. Yazid Zaini, kapten JDT IV untuk separuh masa pertama ternyata menjadi duri untuk pasukan NS U-21 apabila mempamerkan permainan menarik dan menaikkan semangat rakan sepasukan malah menjadi penyumbang utama kepada kebangkitan pasukan JDT IV untuk mendahului sebelum tirai babak pertama ditutup. Tolakan bola yang dilakukan Yazid Zaini dalam kotak penalti NS U-21 pada minit ke-25 memudahkan rakan sepasukan, Shafiq Aidil yang mara ke hadapan untuk menolak masuk bola menewaskan penjaga gol NS U-21, Azwan Alimi bagi menyamakan kedudukan 1-1. Minit ke-39, Yazid Zaini berjaya berada di kawasan yang tepat di dalam kotak penalti NS U-21 ketika situasi sepakan percuma apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan NS U-21 jatuh tepat ke kaki Yazid Zaini dan Yazid Zaini hanya perlu mencari ruang kosong di pintu gol untuk menolak masuk bola bagi kedudukan 2-1. Memasuki babak kedua, walaupun JDT IV melakukan semua pertukaran secara serentak berbanding NS U-21 yang melakukan pertukaran sedikit demi sedikit, ternyata NS U-21 lebih banyak mengasak bagi mencari gol untuk memadamkan defisit 2-1 pada babak pertama. Hasilnya, pertahanan kiri NS U-21, Shahir Saffiee yang naik untuk membantu serangan berjaya menghantar bola ke dalam kotak penalti JDT IV dan disambar oleh penyerang NS U-21, Nurzaidi Bunari untuk menjadikan kedudukan seimbang 2-2. Tidak berpuas hati dengan kedudukan seri, NS U-21 terus mengasak untuk mencari gol dan hasilnya enam minit kemudian, Nurzaidi yang ditolak ketika ingin menampan bola membolehkan NS U-21 memperoleh sepakan penalti dan Aroon Kumar tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk NS U-21 mendahului JDT IV 3-2. Bagaimanapun, kesilapan pertahanan NS U-21, Zufril Haidy yang mengangkat kaki terlalu tinggi ketika ingin mengeluarkan bola dan hampir terkena salah seorang pemain JDT IV membuatkan pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT IV yang disempurnakan oleh Sean Gan Giannelli menewaskan Ezad Ariff di pintu gol. Tamat perlawanan NS U-21 3-3 JDT IV. Perlawanan Piala Presiden 2015 yang akan berlangsung semula pada 25 Februari 2015 untuk perlawanan ketiga membabitkan JDT IV(kumpulan A) ialah aksi menentang T-Team di tempat lawan manakala NS U-21(kumpulan B) akan menerima kunjungan Felda United di Tampin.

Barisan pemain NS U-21 :

Azwan Alimi(Ezad Ariff)(gk), Shahrizal Shaharin(R. Gopinath), Zufril Haidy, Iqbal Naim(Fauzan Nazhif), Shahir Saffiee(Nurzaidi Jais), Shazrul Ashraf(Firdaus), Fauzan Fauzi(Khamarool Mazlan), Aroon Kumar(S. Suresh), Nurzaidi Bunari, Nizam(Sean Eugene), N. Thanabalan(Rahizi Rasib)

Barisan pemain JDT IV(separuh masa pertama)* :

Nabil Akmal(gk), Shahrul Nizam, Yusry Zulhaile, Fathur Danish, Nurfitah Md Shah, Yazid Zaini, Hafiz Kamsani, Fitri Ismail, Satu Jaya, Syafiq Baharudin, Shafiq Aidil


*Terima kasih kepada Johor Southern Tiger yang sudi memberi maklumat pemain JDT IV


No comments:

Post a Comment