Friday 13 February 2015

Liga Perdana : Matchday 2 Negeri Sembilan Matrix (2) vs (0) UiTM FC

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Perlawanan kedua Liga Perdana 2015 menyaksikan Negeri Sembilan Matrix menerima kunjungan UiTM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Sebelum perlawanan dimulakan, kedua-dua pasukan dan penonton yang hadir memberi penghormatan selama seminit dengan membacakan Al-Fatihah bagi yang beragama Islam dan bertafakur bagi yang bukan beragama Islam untuk Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan serta Allahyarham Dato Hasbullah Awang, lagenda pengulas sukan tanah air yang pulang ke rahmatullah sehari sebelum perlawanan. Walau bagaimanapun, pertembungan kedua-dua pasukan dilihat agak panas dan terdapat sekurang-kurangnya tiga insiden tolak-menolak berlaku serta satu layangan kad merah terpaksa dikeluarkan oleh pengadil perlawanan. Insiden tegang di antara pemain pasukan Negeri Sembilan Matrix dan UiTM FC bermula seawal minit kedua lagi apabila penjaga gol UiTM FC, Azam Jais secara tiba-tiba meluru ke arah Forkey Doe sejurus selepas Azam bertindak cemerlang menidakkan percubaan Forkey Doe. UiTM FC yang mengamalkan corak bertahan dan serangan balas ternyata menyukarkan pemain-pemain Negeri Sembilan Matrix mencari ruang untuk mencipta peluang menjaringkan gol yang mengharapkan kemenangan kedua bakal berpihak kepada mereka. Pada minit ke-24, Kim Jim Ryong sekadar menyaksikan tandukannya sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol UiTM FC setelah mendapat umpanan dari Bruno Martelotto. UiTM FC yang tewas pada perlawanan pertama cuba untuk mencuri sekurang-kurangya satu mata dan pada minit ke-33, penyerang import berbisa UiTM FC, Dao Bakary hampir mengecewakan penyokong tuan rumah dengan melakukan percubaan dari luar kotak penalti menuju ke kiri pintu gol Negeri Sembilan Matrix dan memaksa penjaga gol Helmi Eliza menerbangkan diri untuk menepis bola keluar. Kem Negeri Sembilan Matrix seharusnya bergembira pada minit ke-37 setelah kesilapan Azam Jais yang gagal menumbuk bola keluar dari kawasan bahaya menyaksikan bola jatuh ke kaki Kim Jim Ryong namun Kim gagal mencari ruang dan rembatannya terkena kaki Azam. Seminit kemudian, penyokong tuan rumah akhirnya bergembira apabila hantaran Bruno Marteletto yang melintangkan bola dari sebelah kanan pasukan Negeri Sembilan Matrix mencari Forkey Doe ternyata membuahkan hasil apabila Forkey Doe bijak untuk mengawal bola sebelum mennyepak ke arah kanan pintu gol untuk menewaskan Azam Jais buat kali pertama. UiTM FC yang enggan masuk ke bilik persalinan dengan kekurangan gol cuba mencari peluang untuk menyamakan kedudukan namun percubaan Abdi Kassim sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu Helmi Eliza pada minit ke-45. Bersambung babak kedua, rentak perlawanan bermula agak perlahan dengan pertahanan kedua-dua pasukan ternyata begitu berdisiplin untuk mematahkan gerak pemain lawan. Menuju ke minit ke-57, UiTM FC berjaya menembusi benteng pertahanan Negeri Sembilan Matrix menerusi gerakan satu dua di antara Aiman Syazwan Abdullah dan Dao Bakary namun Aiman sedikit lambat melakukan sepakan ketika berhadapan Helmi Eliza. Perlawanan terhenti buat seketika pada minit ke-69 apabila pertembungan membabitkan kapten Negeri Sembilan Matrix, Rezal Zambery Yahya dan penyerang UiTM FC, Hasrul Nurkholis mencetuskan sedikit perbalahan dan pengadil terpaksa bertindak dengan melayangkan kad kuning terhadap kedua-dua pemain untuk meredakan keadaan. Akhirnya, kem Negeri Sembilan Matrix boleh menarik nafas lega apabila Forkey Doe melebarkan kedudukan dengan gol kedua berpunca dari pertembungan di udara membabitkan Azam Jais dan Kim Jim Ryong menyaksikan Forkey Doe mengambil peluang dengan melambungkan bola ke pintu gol UiTM FC yang cuba dikawal oleh pemain pertahanan tanpa kehadiran penjaga gol(minit 80). Menuju ke wisel penamat perlawanan, tindakan pertahanan UiTM FC, Syed Ariff melakukan terjahan keras terhadap Fauzi Saari memaksa pengadil melayangkan kad merah terhadap pemain pertahanan itu manakala Fauzi Saari turut menerima kad kuning akibat dari tindak balas yang ditunjukkan. Tamat perlawanan, Negeri Sembilan Matrix 2-0 UiTM FC dan kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi di venue yang sama dua minggu lagi untuk saingan Piala F.A.

Barisan pemain :

NS Matrix : Helmi Eliza(gk), Fauzie Nan, Radzuan Abdullah, Jean Marc Alexandre, Irwan Fadli Idrus, G. Puaneswaran(A. Segar), Rezal Zambery Yahya(Fauzie Saari), Ahmad Hazeri Hamid, Kim Jim Ryong(Izzudin Zainuddin), Bruno Martelotto, Forkey Doe

UiTM FC : Azam Jais(gk), Ibrahim Aziz(Khairul Akhyar Husain), Adib Zainuddin, Hakim Zainol, Syed Ariff Syed Uzir, Ahmad Haziq Ahmad Fuad, Aiman Syazwan Abdullah, Hasrul Nurkholis Hasim, Raslam Khan, Dao Bakary, Abdi Kassim

  

No comments:

Post a Comment