Friday 27 February 2015

Piala F.A Pusingan 2 : NS Matrix (2) vs (0) UiTM FC

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Perlawanan Piala F.A 2015 pusingan kedua yang bermula semalam menyaksikan Negeri Sembilan Matrix (NS Matrix) menerima kunjungan UiTM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paori. UiTM FC yang turun bertandang ke Paroi bagi kali kedua tahun ini setelah tewas 0-2 kepada lawan yang sama dua minggu lalu dalam Liga Perdana 2015 pastinya mahu membalas dendam manakala NS Matrix yang mahu melebarkan rekod kemenangan ke atas UiTM FC seterusnya memadamkan rekod buruk Piala F.A 2014 setelah tewas pada pusingan pertama kepada Felda United menjanjikan perlawanan yang menarik untuk kira-kira 3000 penonton yang hadir. Pemain sayap NS Matrix, G. Puaneswaran hampir menceriakan kem tuan rumah pada minit ke-17 apabila pertahanan UiTM FC gagal membaca dan mengeluarkan bola umpanan N. Thanabalan namun percubaan Puaneswaran sedikit tersasar ke kanan pintu gol. Empat minit kemudian, penyokong tuan rumah akhirnya bergembira hasil kesilapan Azam Jais, penjaga gol UiTM FC yang gagal menangkap bola sepakan percuma Rezal Zambery Yahya seterusnya membolehkan Forkey Doe yang berada di far post untuk menanduk mudah ke dalam pintu gol yang tidak dikawal. Turun dengan hanya seorang pemain import serta mengamalkan corak bertahan dan serangan balas, UiTM FC tetap mampu memberi cabaran terhadap pintu gol NS Matrix yang dikawal Helmi Eliza terutama melalui set piece yang dilakukan. Pada minit ke-32, set piece UiTM FC hampir membuahkan hasil apabila sepakan sudut Syafiq Mokhtar singgah tepat ke kepala Shahir Ismail namun tandukan Shahir sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol. Berbekalkan satu gol dalam separuh masa pertama, NS Matrix terus bermula garang untuk mencari gol kedua pada separuh masa kedua namun percubaan Bruno Martelotto hanya menggegar luar jaring setelah menerima umpanan Forkey Doe ketika perlawanan separuh masa kedua belum mencecah seminit. Namun kem dan penyokong tuan rumah terpaksa menanti sehingga minit ke-80 untuk meraikan gol kedua menerusi sepakan percuma yang diambil Forkey Doe yang terus ke arah pintu gol ketika Azam Jais tidak mampu berbuat apa-apa. Secara keseluruhan, perlawanan agak terkawal tanpa sebarang kekecohan berbanding pertemuan sebelum ini dengan pengadil hanya melayangkan empat kad kuning, tiga untuk NS Matrix dan satu untuk UiTM FC. NS Matrix bakal bertemu pasukan Perlis atau Pulau Pinang pada pusingan ketiga Piala F.A 2015 pada Mac nanti.

Barisan pemain:

NS Matrix : Helmi Eliza(gk), Fauzie Nan, Jean Marc Alexandre, Radzuan Abdullah(Fazliata Taib), Irwan Fadli Idrus, Rezal Zambery Yahya(k), Fauzi Shaari(Hazeri Hamid), G. Puaneswaran(Shahrizal Saad), Bruno Martelotto, N. Thanabalan, Forkey Doe

UiTM FC : Azam Jais(gk), Adib Zainudin, Haziq Fuad, Hakim Zainol, Shahir Ismail(Shazlan Abu Samah), Syed Ariff Syed Uzir(Farid Azmi), Aiman Syazwan(k), Khairul Akhyar, Hasrul Nurkholis(Hasnan Mat Isa), Syafiq Mokhtar, Dao Bakary


No comments:

Post a Comment