Thursday 26 March 2015

Perlawanan Persahabatan : NS Matrix (1) vs (5) Sime Darby FC

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin. Nama dua pemain import Sime Darby FC yang sedang diuji sedang dicari*

Paroi - Berikutan dua kekalahan berturut-turut yang termasuk satu perlawanan dalam Piala F.A yang mengakibatkan NS Matrix tersingkir dari kancah kejohanan  membuatkan ketua jurulatih pasukan tersebut mencari dan menguji pemain import baharu untuk didaftarkan pada jendela perpindahan April ini. Untuk tujuan itu, NS Matrix mengambil peluang melakukan perlawanan persahabatan menentang Sime Darby FC ketika liga berehat untuk memberi ruang kepada skuad kebangsaan. Dua pemain import yang diuji oleh skuad NS Matrix masing-masing merupakan pemain pertahanan, Lee Sung Hyun dan pemain penyerang Rodrigo.

Malangnya, beraksi di hadapan segelintir penyokong NS Matrix, pemain import yang diuji gagal memberi impak dalam perlawanan semalam ketika NS Matrix tumbang mudah kepada Sime Darby FC 1-5 dengan tiga gol dihasilkan dalam kedua-dua babak. Walaubagaimanapun, pemain sayap NS Matrix, Khyril Muhymeen, yang masih belum diturunkan dalam perlawanan rasmi pada musim ini, terlebih dahulu mencuri tumpuan penyokong dengan hantaran cantik dari tengah padang mencari Bruno Martelotto sebelum Bruno dijatuhkan di dalam kotak penalti namun rayuannya untuk mendapatkan sepakan penalti dinafikan pengadil(min 7). Sime Darby FC seharusnya boleh memulakan pesta gol pada minit ke-10 namun percubaan volley Nemanja Vidakovic setelah menerima bola yang dikeluarkan penjaga gol, Kaharuddin Abd Rahman sedikit tersasar ke kanan pintu gol. Mimpi ngeri NS Matrix bermula pada minit ke-21 apabila gerakan solo dan percubaan Marko Parovic dari luar kotak penalti gagal ditampan pemain pertahanan dan terus menuju ke bucu kiri pintu gol bagi menewaskan Kaharuddin. Belum sempat NS Matrix mengatur gerakan, pintu gol Kaharuddin bocor lagi kali ini menerusi tandukan Dilshod Sharofetdinov yang menuju ke arah kiri pintu gol hasil dari sepakan penjuru yang diambil Eddy Helmi Manan dari sebelah kanan pintu gol NS Matrix(minit 30). Eddy Helmi turut berpeluang untuk mencatat nama sebagai penjaring gol pada minit ke-36 apabila berjaya mencuri bola dari kaki Lee Sung Hyun yang sedikit leka namun percubaannya hanya singgah ke jaring luar pintu gol NS Matrix. Dilshod memastikan Sime Darby FC masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan selesa 3-0 apabila mudah menolak masuk bola ke dalam pintu gol setelah usaha pemain sayap Khairul Anwar menggelecek bola ke dalam kotak penalti sebelum melakukan cut back kepada Dilshod.

Mendahului 3-0, Sime Darby FC melakukan beberapa pertukaran serentak untuk menguji pemain lain namun itu tidak menghalang skuad tersebut dari terus melakukan jaringan. Pada minit ke-51, pemain import yang diuji Sime Darby FC, memakai jersi bernombor 14 turut mengambil peluang untuk menarik hati ketua jurulatih, Ismail Zakaria apabila melakukan gerakan solo sebelum melakukan sepakan dari luar kotak penalti yang terus menewaskan Kaharuddin untuk gol keempat Sime Darby FC. Seorang lagi pemain import Sime Darby FC, Ivan Dragicevic walaupun tidak berjaya menghasilkan gol, namun usahanya melakukan beberapa siri hantaran yang boleh mencipta gol harus dipuji ketika hantarannya mencari pemain berjersi nombor 33(trial) hampir membuahkan hasil pada minit ke-63 namun percubaan pemain itu sedikit tersasar ke kiri pintu gol NS Matrix. Usaha Ivan akhirnya tidak disia-siakan Nashriq Yahya yang menyempurnakan hantaran Ivan untuk gol kelima Sime Darby FC(minit 73). Selepas gol tersebut, Sime Darby FC seolah-olah melonggarkan corak perlawanan yang membolehkan NS Matrix melakukan beberapa percubaan yang boleh menguji penjaga gol Sime Darby FC Kamarul Effandi yang lebih banyak berehat sebelum itu. Minit 76, Shahrizal Saad akhirnya berjaya melepaskan rembatan tepat ke arah pintu gol Sime Darby FC dan memaksa Kamarul menampan bola keluar. NS Matrix akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-82 hasil percubaan Khyril Muhymeen yang merembat terus ke arah pintu gol dan gagal diselamatkan Kamarul. NS Matrix seharusnya boleh mencatat gol kedua namun tampanan Shahrizal Saad sedikit melambung ketika umpanan Khyril Muhymeen betul betul meletakkan bola berada di hadapan pintu gol(minit 85).

Barisan pemain :

NS Matrix : Kaharuddin Abd Rahman, Irwan Fadly Idrus, Lee Sung-Hyun, Raduan Abdullah(Akmal Mohd Noor), Fazliata Taib, Ahmad Hazeri(G. Puaneswaran), Rudie Ramli(K. Kavichelvan), S. Sivanesan, Khyril Muhymeen, Bruno Martelotto, Rodrigo(Shahrizal Saad)

Sime Darby FC : Kamarul Effandi, Juzaili Samion(Aliff Samsudin), Yosri Derma Raju, K. Prabakaran, Tengku Qayyum(Rafizi Hamdan), Eddy Helmi(Nazrul Kamaruzaman), Hafiszuan Salehuddin(Azmirul Azmi), Marko Perovic(Ivan Dragicevic), Dilshod Sharofetdinov(pemain trial), Nemanja Vidakovic(pemain trial)


No comments:

Post a Comment