Saturday 14 March 2015

Liga Perdana Matchday 5 : NS Matrix (3) vs (5) Terengganu T-Team

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Perlawanan kelima Liga Perdana 2015 membabitkan pasukan Negeri Sembilan Matrix (NS Matrix) dan T-Team FC(T-Team) menyaksikan penyokong di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi disajikan dengan kenduri gol apabila lapan gol berjaya dihasilkan pada perlawanan malam tadi. NS Matrix yang turun selaku tuan rumah dan pendahulu liga melepaskan takhta setelah tunduk kepada T-Team yang meneruskan rentak kemenangan dengan kejayaan menewaskan JDT II minggu lalu. Dua pemain T-Team, Mohd Nor Hakim serta Sadriddin Abdullaev ternyata menjadi pemusnah kem tuan rumah dengan masing-masing menjaringkan dua gol kepada skuad The Titans.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan, T-Team ternyata tidak gentar dan menyajikan corak permainan menyerang sejak dari wisel sepak mula dan menguji benteng pertahanan seawal minit ketiga menerusi Sadriddin Abdullaev yang merembat tepat ke arah dakapan penjaga gol NS Matrix, Helmi Eliza. T-Team mula menunjukkan belang tiga minit kemudian apabila pemain sayap kiri lincah T-Team, Mohd Nor Hakim berjaya mengatasi dua pertahanan NS Matrix sebelum merembat masuk terus ke dalam pintu gol menewaskan Helmi Eliza. T-Team terus melebarkan kedudukan pada minit ke-23 menerusi Sadriddin Abdullaev yang mengambil peluang sepakan percuma dengan percubaan terus ke pintu gol dan menewaskan Helmi Eliza buat kali kedua. Tidak ingin terus mengalah, NS Matrix cuba untuk merapatkan jurang dan berjaya memperoleh gol tiga minit kemudian dengan Forkey Doe turut mempergunakan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol T-Team, Shahril Shaari buat kali pertama dan menjadikan kedudukan 1-2 sehingga wisel babak pertama ditiup pengadil perlawanan.

Tidak sampai seminit setelah wisel babak kedua ditiup, tindakan bijak Mohd Nor Hakim yang menghantar bola ke dalam kotak penalti membuahkan hasil apabila Farhod Tadjiev berjaya mengambil kesempatan dengan meloloskan diri dari kawalan pemain pertahanan NS Matrix sebelum menewaskan Helmi Eliza buat kali ketiga. NS Matrix terus mencabar penguasaan T-Team dengan Forkey Doe merapatkan jurang kepada kedudukan 2-3 dengan menyumbat gol kedua setelah menerima umpanan dari Shahrizal Saad dan menewaskan Shahril Shaari buat kali kedua. Mohd Nor Hakim hampir menjaringkan gol peribadi kedua buat dirinya dan gol keempat buat pasukan pelawat namun percubaannya pada minit ke-56 terkena palang gol manakala tandukan susulan Ahmad Takhiyuddin tersasar dari pintu gol. Mohd Nor akhirnya boleh tersenyum gembira setelah empat minit kemudian gerakan satu dua bersama Farhod membuahkan hasil dengan Mohd Nor menewaskan Helmi Eliza buat kali keempat. Enggan terus mengalah, lima minit kemudian kem dan penyokong NS Matrix diberi sedikit harapan menerusi Shahrizal Saad yang menanduk bola hantaran Rudie Ramli terus ke gawang gol T-Team. Sadriddin Abdullaev akhirnya menamatkan cabaran NS Matrix apabila tandukannya hasil dari sepakan sudut menewaskan Helmi Eliza buat kali kelima(min-74).    

Barisan pemain :

NS Matrix : Helmi Eliza, Fauzie Nan(Fazliata Taib), Jean-Marc Alexandre, Irwan Fadly Idrus, Akmal Mohd Noor, Fauzi Saari, Rezal Zambery Yahya(S. Sivanesan), Shahrizal Saad, N. Thanabalan(Rudie Ramli), Bruno Martelotto, Forkey Doe

T-Team : Shahril Shaari, Kamal Azizi Mohd Zabri, Faramola David, Hasbullah Awang, Arif Fadzilah Abu Bakar, Ahmad Takhiyuddin Roslan(Safawi Rasid), Badrul Hisyam, Asrol Ibrahim(Rosdi Zakaria), Sadriddin Abdullaev, Mohd Nor Hakim, Farhod Tadjiev 

  

No comments:

Post a Comment