Wednesday 18 March 2015

Piala F.A Pusingan 3 : NS Matrix (1) vs (2) Pulau Pinang

*Laporan dibuat berdasarkan pemerhatian dari bangku penonton. Jika terdapat laporan yang kurang tepat, sila emelkan kepada admin*

Paroi - Salah satu slot pasukan di suku akhir Piala F.A menjadi milik pasukan Liga Perdana, Pulau Pinang setelah skuad The Panthers berjaya menamatkan cabaran satu lagi pasukan dari Liga Perdana, NS Matrix di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. NS Matrix yang turun selaku pasukan tuan rumah dan ingin memadamkan memori kekalahan Sabtu lalu kepada pasukan T-Team di stadium yang sama turun dengan sedikit perubahan pemain pada beberapa posisi dengan Forkey Doe masih menjadi sandaran untuk menjaringkan gol. 

Strategi ketua jurulatih NS Matrix, K. Devan tampak berjaya membuahkan berhasil apabila ribuan penyokong tuan rumah yang hadir bersorak gembira seawal minit kedua setelah Shahrizal Saad yang menerima umpanan Forkey Doe melepaskan rembatan dari sebelah kanan terus menuju ke kiri pintu gol Pulau Pinang untuk menewaskan bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani. Namun situasi itu tidak lama apabila penyerang import Pulau Pinang, Alberto Goncalves Da Costa, menjaringkan gol penyamaan untuk pasukannya yang merupakan gol pertama peribadi buat dirinya pada musim ini. Beto yang menerima umpanan Yong Kuong Yong melakukan percubaan terus ke pintu gol NS Matrix seterusnya mudah menewaskan Helmi Eliza Elias yang sudah sedikit terkeluar dari posisi kerana menyangkakan Beto akan melakukan hantaran. Bangkit dari kesilapan, Helmi Eliza beraksi cemerlang untuk menidakkan beberapa percubaan dari Faiz Subri, Beto dan Azinee Taib ketika skuad NS Matrix hanya mampu bertahan dan Sani Anuar lebih banyak berehat pada babak pertama perlawanan.

Kedua-dua pemain pasukan masuk ke padang pada babak kedua dengan azam untuk mempamerkan aksi yang lebih cemerlang kerana sedar kekalahan akan mengakibatkan pasukan disingkirkan dari kejohanan. Hasilnya, aksi serang balas dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dan Pulau Pinang terlebih dahulu menguji pasukan tuan rumah dan Beto hampir menjaring gol kedua peribadi namun tandukannya pada minit ke-48 dinafikan oleh palang gol setelah menerima umpanan dari sebelah kiri pintu gol NS Matrix. Palang gol sekali lagi menafikan penyokong Pulau Pinang dari bersorak lebih awal dengan Helmi Eliza sekali lagi bertindak cemerlang untuk menepis bola sebelum terkena palang ketika usaha pertahanan NS Matrix menghalang percubaan pemain Pulau Pinang mengakibatkan bola membias menuju ke pintu gol. Shahrizal Saad turut berpeluang untuk menjaringkan gol kedua peribadi menerusi tandukan setelah menerima umpanan Rezal Zambery Yahya namun Sani Anuar hanya memerhatikan ketika bola sedikit tersasar ke tepi pintu gol. Tindakan bijak ketua jurulatih Pulau Pinang, Jacksen Ferreira Tiago memasukkan Elias Sulaiman menggantikan Faiz Subri membuahkan hasil apabila gerakan satu dua Lee Gil Hoon dan Elias Sulaiman berjaya membelah benteng pertahanan sebelum Lee Gil Hoon yang cuba melakukan hantaran menyaksikan hantarannya lemah terus menuju ke arah Helmi Eliza. Malangnya, kesilapan Helmi Eliza yang gagal menangkap bola mudah tersebut menyaksikan bola terlepas ke bawah kangkang sebelum terus menuju ke arah gol ketika Lee Gil Hoon sendiri tidak menyangka akan menjaringkan gol kemenangan buat Pulau Pinang(minit 79).

Satu lagi pasukan Liga Perdana, JDT II turut mengiringi Pulau Pinang ke pusingan suku akhir setelah berjaya mengenepikan cabaran Kedah manakala T-Team gagal untuk menyaingi saingan Perak untuk menjadi pasukan Liga Perdana yang layak ke cabaran suku akhir Piala F.A. Menanti Pulau Pinang di saingan suku akhir nanti adalah pasukan Pahang/MISC-MIFA yang tidak beraksi kerana Pahang terlibat dalam perlawanan AFC Cup.

Barisan pemain :

NS Matrix : Helmi Eliza, Fazliata Taib, Jean-Marc Alexandre, Raduan Abdullah, Akmal Mohd Noor, G. Puaneswaran(Izzudin Zainuddin), Rezal Zambery Yahya, Fauzi Shaari, Shahrizal Saad(S. Sivanesan), Bruno Martelotto, Forkey Doe

Pulau Pinang : Sani Anuar Kamsani, Yong Kuong Yong, Reinaldo Rodrigues De Oliveire Lobo, Darwira Sazan, Radiuddin Roddin, Faiz Subri(Elias Sulaiman), Azinee Taib(Hilton Mauro Moreira), Mafry Balang, Mohd Redzuan Nawi , Lee Gil Hoon(Farid Ramli), Alberto Goncalves Da Costa  


No comments:

Post a Comment