Saturday 4 February 2017

Ulasan Liga Perdana 2017 : Negeri Sembilan (3) - (1) PKNP

*Ulasan untuk perlawanan ini akan dimulakan dengan pasukan PKNP memandangkan PKNP lebih mengancam pada separuh masa pertama dan game plan Negeri Sembilan hanya bermula pada separuh masa kedua.

Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Perdana 2017 apabila membenam cabaran pendatang baru, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)  3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Walaupun bermain di halaman sendiri, Negeri Sembilan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan PKNP menerusi pemain penyerang G. Mugenthiran pada minit ke-37 yang membuatkan tuan rumah terpaksa masuk ke bilik persalinan dengan ketinggalan satu gol. Pertukaran pemain dan taktikal yang dilakukan Asri Ninggal seawal wisel babak kedua ditiupkan ternyata membuahkan hasil dan tiga gol terhasil menerusi Annas Rahmat (48'), Curran Ferns (65'), dan Bruno Suzuki (73') untuk membolehkan penyokong tuan rumah pulang tersenyum girang.


Pra perlawanan :
Sebilangan penyokong Negeri Sembilan menjangkakan perlawanan menentang PKNP adalah perlawanan yang mudah bagi pasukan mereka lebih-lebih lagi PKNP merupakan pendatang baru dalam Liga Perdana dan keputusan perlawanan sebelum ini (menang 3-0 ke atas Sabah dan mendahului UiTM 1-0 sebelum perlawanan ditangguhkan) menguatkan lagi andaian mereka. Hasilnya, peningkatan bilangan penonton yang membeli tiket perlawanan meningkat kira-kira 1000 orang berbanding minggu lepas(2600++ kepada 3600++ tidak termasuk penonton yang masuk secara percuma).

Ulasan pasukan PKNP :
Sebagai pendatang baru dalam Liga Perdana, PKNP ternyata tidak mahu menunjukkan mereka sebagai satu pasukan pelengkap jadual mahu pun pasukan belasahan. Perlawanan pertama mereka menentang Terengganu sebagai pasukan pelawat terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat mengakibatkan keadaan padang tidak sesuai digunakan untuk bermain. PKNP memulakan kempen Liga Perdana sebagai tuan rumah dan berjaya menundukkan Kuantan FA 2-0. Berkunjung ke Paroi, PKNP pasti mahu membuktikan sesuatu terutama kepada penyokong tuan rumah(segelintir penyokong tuan rumah tidak mengenali pasukan ini sehingga tidak pasti adakah ia pasukan Perak atau Pahang) agar jangan terlalu memandang rendah kepada pasukan ini. Dengan rata-rata pemain dibarisi pemain muda, persembahan PKNP yang dibimbing Abu Bakar Fadzim perlu diberi pujian terutama aksi separuh masa pertama. Walaupun beraksi di laman lawan, mereka lebih banyak memberi ancaman di hadapan pintu gol dan hanya membenarkan satu sepakan dilepaskan menuju ke pintu gol sepanjang babak pertama dimainkan.

Penjaga gol :
Ahmad Asyraaf Omar memiliki susuk tubuh yang tinggi dan sesuai bagi seorang yang bermain di posisi penjaga gol. Dengan usia 23 tahun, Asyraaf masih boleh memperbaiki teknik dalam menghadapi situasi sepakan bola mati terutama sepakan penjuru kerana dua gol pertama Negeri Sembilan berpunca dari sepakan sudut. Dengan hanya, satu percubaan terkena tiang pada separuh masa pertama dan empat percubaan menuju ke arah gol pada separuh masa kedua di mana tiga percubaan awal menghasilkan gol, ia bukan satu statistik yang baik untuk Asyraaf. Namun harus diakui, Asyraaf mempunyai teknik sepakan yang baik.

Pertahanan :
PKNP meletakkan Ritus Krjauklis dan Syazwan Zaipol, sebagai pertahanan tengah dengan dibantu Izanie Mat Salleh di sebelah kanan dan Norhizwan Hassan di sebelah kiri. Ketinggian Krjauklis dan Syazwan ternyata menyukarkan pasukan lawan untuk membuat hantaran bola tinggi mencari penyerang. Dengan dibantu pemain di barisan hadapan, tiga sepakan sudut yang diperoleh Negeri Sembilan dan beberapa sepakan percuma di kawasan bahaya pada separuh masa pertama berjaya dikeluarkan dengan mudah. Gol pertama menerusi sepakan sudut, bola diletakkan di depan penjaga gol di mana dalam situasi itu, penjaga gol diberi ruang untuk menangkap bola tersebut namun gagal dan gol kedua, bola diletakkan di posisi dada dan near post. Gol ketiga pula menerusi hantaran lintang dan ketika itu, pertahanan PKNP agak keletihan untuk mengekang asakan serangan. Ketika PKNP menyerang, Norhizwan akan naik sedikit untuk membantu dan Izanie akan berada sebaris dengan Krjauklis dan Syazwan bersedia untuk bertahan. Malang buat Izanie apabila menerima dua kad kuning seterusnya dilayangkan kad merah pada minit ke-45 dan 87.

Pemain tengah :
Weijl Vincent Lucas dan Fadhil Idris bertanggungjawab untuk menguasai bahagian tengah dan mereka berdua ternyata banyak membantu pertahanan dengan mematahkan gerak serangan Negeri Sembilan di bahagian tengah. Namun dari segi serangan, PKNP dilihat cenderung untuk menggunakan bahagian kiri dan kanan dengan melakukan hantaran lintang di mana Shahrel Fikri berada di sebelah kiri dan Amirul Izwan di sebelah kanan. Vincent dan Fadhil akan melebarkan penguasaan bola ke sebelah sayap berbanding melorongkan bola kepada penyerang yang menanti di hadapan. Walaupun baru berusia 23 tahun, ternyata Shahrel Fikri membuktikan mengapa beliau layak memakai lilitan kapten. Shahrel memiliki kelajuan sehingga pertahanan sisi yang menjaganya tidak berani untuk melakukan overlapping membantu bahagian serangan. Pada minit ke-18, Shahrel mengatasi Fauzan Fauzi di sebelah kiri padang namun placing shot yang dilakukan terlalu jauh dari pintu gol. Pada minit ke-22, Shahrel seharusnya boleh mencatat nama sebagai penjaring gol apabila menerima hantaran lintang yang hanya dibiarkan oleh pertahanan Negeri Sembilan namun kurangnya komunikasi bersama Gilberto Fortunato menyaksikan kedua-dua pemain teragak-agak siapa yang perlu menyepak bola ke pintu gol ketika penjaga gol Negeri Sembilan sudah merebahkan badan dan Shahrel memilih untuk menolak bola ke arah penjaga gol. Shahrel bertukar posisi bersama Amirul pada separuh masa kedua dan setelah Shahrel meninggalkan padang pada minit ke-70 untuk memberi laluan kepada Norhamizaref Hamid, kali pertama pertahanan kiri Negeri Sembilan dilihat naik ke atas memberi bantuan serangan dan menghasilkan gol pada minit ke-73.

Penyerang :
Penyerang import PKNP, Gilberto Fortunato gagal untuk meletakkan dirinya sebagai standard seorang pemain import selain satu assist yang dilakukan. Dengan PKNP melancarkan serangan bertali arus pada separuh masa pertama, Gilberto seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk menyumbat lebih gol untuk memberi keselesaan kepada PKNP. Gilberto lebih gemar untuk melakukan set up kepada rakan sepasukan berbanding membuat percubaan terus. Tandukan lemahnya pada minit ke-8 mudah ditangkap penjaga gol dan pada minit ke-31, Gilberto berjaya membawa bola mengatasi pertahanan sehingga ke tepi pintu gol namun gagal untuk menolak bola masuk. Pada minit ke-33, sepakan Gilberto dari dalam kotak penalti hasil sepakan sudut menyaksikan penjaga gol menepis sepakannya. Mujur, kebijaksanaan Gilberto mengatasi Nasriq Baharom pada minit ke-37 membolehkan beliau melakukan hantaran lintang kepada Mugenthiran, seorang lagi penyerang tempatan PKNP yang menanti untuk menanduk masuk gol pertama PKNP memberi keceriaan kepada penyokong yang hadir dari jauh. Lebih malang, selepas melakukan hantaran, Gilberto dilihat terbaring kerana kecederaan dan terpaksa digantikan dengan S. Deevan Raj pada minit ke-42. Dua minit selepas menjaringkan gol, Mugenthiran bertindak berani melakukan percubaan dari jarak jauh berkemungkinan selepas mengambil kira kesilapan penjaga gol ketika gol pertama dihasilkan namun percubaannya sedikit tersasar dari kiri pintu gol. Mugenthiran dikeluarkan pada minit ke-67 untuk memberi laluan kepada fresh player S. Vikneswaran dimasukkan dalam usaha PKNP mencari gol penyamaan ketika itu.

Ulasan pasukan Negeri Sembilan : 
Walaupun persembahan pasukan Negeri Sembilan agak pasif pada separuh masa pertama, hal ini mungkin boleh dimaafkan berdasarkan perubahan taktikal yang dilakukan. Barisan kejurulatihan berkemungkinan mengetahui barisan pertahanan akan mempunyai masalah dalam mengekang kepantasan yang dimiliki barisan serangan PKNP sehinggakan pertahanan kiri dan kanan jarang melakukan overlapping dan defensive midfielder berada hanya beberapa meter dari barisan pertahanan ketika menyerang sehingga menyukarkan barisan serangan kerana kekurangan bantuan. Dan Negeri Sembilan masih mengamalkan permainan one half play. Beberapa perubahan posisi dilakukan dibandingkan dengan perlawanan menentang Sabah yang hampir membawa kepada kekecewaan namun tindakan pantas menukar semula taktikal pada separuh masa kedua menyelamatkan keadaan. Kegemaran taktikal segilintir jurulatih-jurulatih Malaysia melibatkan pemain import dalam saingan liga turut dipakai dalam skuad Negeri Sembilan.

  1. Penggunaan penuh keempat-empat kuota pemain sepanjang 90 minit walaupun ada aksi pemain yang boleh dianggap di bawah taraf memuaskan.
  2. Menggunakan satu pemain sebagai pertahanan tengah dan dua pemain di barisan tengah dan satu di hadapan/satu pemain di barisan tengah dan dua di hadapan
  3. Memasukkan pemain pertahanan tempatan menggantikan pemain tempatan di bahagian serangan dan menolak pemain pertahanan import beraksi di hadapan.  
Menarik untuk menyaksikan barisan kejurulatihan di bangku simpanan kerana ada yang mendakwa Jorg Peter Steinebrunner, penolong jurulatih kepada Asri Ninggal merangkap pengarah teknikal pasukan dilihat lebih memberi arahan berbanding Asri sendiri. Di dalam perlawanan ini, Asri dan Jorg silih berganti bangun dan duduk memberi arahan dan ada satu ketika, Jorg memarahi pemain import yang lambat mematikan gerak serangan yang dilakukan PKNP.

Penjaga gol :
Harapan untuk melihat Kaharudin Abdul Rahman beraksi di pintu gol menjadi kenyataan. Kaharuddin menggantikan Saiful Amar yang duduk di bangku simpanan. Namun, penyokong setia Hobin Jang Hobin pasti goyah melihat sepakan Kaharudin yang kadang kala agak lemah ketika mengeluarkan bola dan ada satu aksi mencemaskan di mana bola yang ditangkap Kaharudin terlepas tetapi mujur penyerang PKNP tidak menjangkakan perkara itu berlaku dan lambat untuk mara menyambar bola. Akan tetapi, kemungkinan bola licin akibat padang basah perlu diambil kira dan gol pertama PKNP turut berfaktorkan bola licin. Tandukan Mugenthiran agak berbahaya kerana ia merupakan free header tetapi Kaharudin berada di tempat yang betul untuk menangkap bola tersebut namun bola tersebut terlepas dan masuk ke dalam gol. Walaupun cuba dikeluarkan semula, penjaga garisan telah mengangkat bendera tanda bola telah melepasi garisan gol. Kaharudin wajar dipuji apabila melayangkan badan untuk menepis keluar percubaan jarak dekat Gilberto pada minit ke-33.

Pertahanan :
Nasriq Baharom sebagai seorang kapten perlu lebih mengawal emosinya pada masa hadapan. Kesilapan Nasriq sendiri membaca pergerakan lawan membuatkan gol pertama PKNP terhasil. Nasriq dilihat teragak-agak sama ada untuk menunggu Gilberto mendapatkan bola dan menghalang Gilberto ketika membawa bola atau terus mara mengeluarkan bola tersebut. Hasilnya, Nasriq meluru agak lambat ke arah bola dan Gilberto berjaya memintas bola tersebut sebelum Nasriq sempat menyentuhnya dan meninggalkan Nasriq di belakang. Gandingannya Nemanja Vidic ditolak menjadi defensive midfielder bermula separuh masa kedua dan memberi ruang Annas Rahmat masuk. Kemasukan Annas ternyata tepat apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Lee Tuck pada minit ke-48. Annas sebagai seorang pemain pertahanan turut berani untuk menampan bola hantaran-hantaran lambung berbanding mengeluarkan bola secara terus jika melihat tiada pemain lawan melakukan asakan dan memberi ruang kepada pasukan mengatur serangan dari bawah. Fauzan Fauzi dan Norhazrul Mustafa pasti lega apabila tidak perlu menjaga Shahrel yang mempunyai larian pantas. Fauzan mengambil peluang apabila tidak menjaga Shahrel dengan membantu pemain sayap dan hampir melakukan assist kepada pemain gantian, Nizam Ruslan hasil sepakan percuma pantas yang dilakukan Lee Tuck pada minit ke-82. Norhazrul pula hampir membuka jaringan pada minit ke-17 apabila bola yang dikeluarkan pemain PKNP dari sepakan sudut menuju ke arahnya yang menanti di luar kotak penalti dan tanpa berlengah Norhazrul terus melakukan rembatan yang menyinggah ke tiang kiri pintu gol. Dan tiga minit selepas Shahrel dikeluarkan, Norhazrul naik sehingga ke bucu kiri padang sebelum melakukan hantaran silang yang mebuahkan hasil. Norhazrul digantikan dengan Hariri Safie pada minit ke-87.

Pemain tengah :
Taktikal meletakkan Lee Tuck di tengah dan Khairul Anuar Shahrudin bermain di posisinya sebelum ini hampir memakan diri. Tanggung jawab berat untuk menguasai bahagian tengah gagal dibawa oleh Lee Tuck. Dengan Curran Ferns berada jauh di belakang untuk membantu, Lee Tuck gagal mempamerkan aksi menggelecek seperti mana aksinya sebelum ini. Ditambah dengan perbezaan ketinggian berbanding pemain tengah lawan, Lee Tuck gagal untuk merebut bola di udara. Hanya selepas Curran Ferns bermain di tengah dan Lee Tuck pulang ke posisi asal selepas Khairul Anuar dikeluarkan seawal babak kedua bermula, Lee Tuck berjaya mempamerkan aksi yang diharapkan penyokong tuan rumah. Tiga sepakan sudut di separuh masa pertama tidak membuahkan hasil, the first two corner kicks taken in the second half by Lee Tuck pada minit ke-48 dan 65 membuahkan hasil. Lebih manis, sepakan sudut kedua adalah hasil penat lelah Lee Tuck yang membawa bola melepasi beberapa kawalan pemain sebelum lorongannya ditahan keluar pertahanan PKNP. Persembahan Khairul Anuar dan Izuan Salahduin pula tidak banyak yang boleh diperkatakan tetapi pujian tetap diberikan kerana membantu dalam setiap serangan dan pertahanan. Cuma tindakan Khairul Anuar melakukan lontaran ke dalam di kawasannya setiap kali bola keluar boleh dipersoalkan kerana hampir setiap kali Khairul Anuar melakukan lontaran, Norhazrul datang dan berdiri di sebelahnya untuk melakukan hantaran dan Khairul Anuar telah pun membuat lontaran. Tindakan ini agak tidak bijak kerana kurangnya seorang pemain dalam menerima lontaran. Pengganti Izuan, Nizam Ruslan yang masuk pada minit ke-73 ternyata membawa masalah kepada barisan pertahanan PKNP kerana Nizam menggunakan kelebihan tenaga baru untuk mengatasi mereka. Nizam hampir-hampir mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-82 tetapi tolakannya ditampan penjaga gol dan hantaran silangnya pada minit ke-88 gagal disempurnakan Lee Tuck. Negeri Sembilan nampaknya perlu memikirkan dua kali jika ingin meletakkan Curran Ferns sebagai defensive midfielder kerana beliau dilihat lebih sesuai untuk bermain sebagai pemain tengah. Setelah Vidic ditolak ke posisinya, Curran Ferns beraksi di posisi asal dan ternyata Negeri Sembilan lebih menguasai perlawanan selepas itu. Curran turut menjaringkan gol kedua apabila meluru ke arah bola sebelum melakukan glancing header ke arah gol. Kad kuning yang diterima pada minit ke-90 adalah kad kuning yang sia-sia.

Penyerang :
Untuk mengatasi pertahanan tinggi lampai PKNP, berkemungkinan Negeri Sembilan menukarkan posisi Bruno Suzuki dan Marko Simic pada awal permainan. Marko Simic diletakkan di belakang dan Bruno sebagai top striker. Diandaikan Negeri Sembilan cuba untuk menggunakan Marko Simic untuk mengasak pertahanan PKNP dalam merebut bola di udara kerana ketinggiannya berbanding Bruno dan memenangi cabaran bola. Namun, Marko Simic gagal untuk melakukan tugas tersebut untuk membantu Bruno mendapatkan bola. Dan sudah pasti, Bruno bukanlah calon yang sesuai untuk perebutan bola di udara bila melibatkan ketinggian pemain. Hal ini mengakibatkan barisan serangan Negeri Sembilan goyah dan meresahkan penyokong yang hadir. Melihat kepada situasi ini, Negeri Sembilan menukar semula posisi Bruno dan Marko Simic dan barulah dapat dilihat gerakan-gerakan bola ke arah pintu gol PKNP setelah pertukaran posisi ini. Harapan penyokong tuan rumah untuk melihat Bruno menjaringkan gol turut terlaksana apabila Bruno menyudahkan hantaran Norhazrul pada minit ke-73 walaupun sebelum itu Marko Simic seharusnya mampu untuk menanduk bola tersebut. Marko Simic pula boleh lah diibaratkan seperti Fellaini dalam Manchester United walaupun sebenarnya tidak layak untuk membandingkan pemain Liga M dan liga England. Ini hanya sebagai rujukan kerana peminat-peminat bola sepak pasti mengenali pemain-pemain di liga England. Marko Simic diharap dapat memberi cabaran kepada pertahanan di udara(walaupun selalu gagal) dan Marko Simic kerap melakukan kekasaran yang tidak diperlukan. Mendapat kad kuning setelah mendahului dua gol dan kad kuning di kawasan lawan adalah sesuatu perkara yang sia-sia.


Pengurusan Negeri Sembilan seharusnya lebih berani untuk memberi ruang kepada penyerang tempatan seperti Farderin Kadir dan Rahizi Rasib setelah Marko Simic gagal memberi impak yang diharapkan. Pemergian N. Thanabalan kepada pasukan lain adalah sesuatu yang sangat dirasai. Tidak dapat dipastikan N. Thanabalan tidak disambung kontrak atau diberi pinjam(jarang-jarang Negeri Sembilan bagi pinjam pemain). Namun kredit juga kepada barisan kejurulatihan kerana menggunakan kuota pemain simpanan dengan sebaiknya untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain lain.


  

1 comment: