Monday 27 February 2017

Ulasan Liga Super : PKNS (2)-(3) Sarawak

Dalam satu aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam, Sarawak berjaya membawa pulang tiga mata penuh ke Bumi Kenyalang setelah membenam cabaran tuan rumah, PKNS FC 3-2. Walaupun Sarawak bermula agak perlahan di awal permainan, skuad Bujang Senang ini terlebih dahulu memecah kebuntuan gol seawal minit ke-17 selepas percubaan awal Mark Hartmann dari luar kotak penalti berjaya ditepis Zamir Selamat lalu terkena palang sebelum Marteo Roskam meluru untuk menanduk bola muntah ke dalam gol ketika Zamir belum sempat untuk bangun semula. Gol awal tersebut ternyata memberi keyakinan kepada pemain-pemain pelawat untuk terus mengasak kubu lawan namun tiada tambahan gol disaksikan untuk separuh masa pertama. Memasuki separuh masa kedua, sedikit kelekaan di bahagian pertahanan Sarawak membolehkan PKNS menyamakan kedudukan melalui Lucas Espindola yang diberi ruang untuk melakukan percubaan dari luar kotak penalti dan rembatannya terbias setelah terkena Demerson sebelum menuju ke pintu gol yang mengelirukan Shahril Saari di pintu gol(minit 54). Walaubagaimanapun, gol tersebut tidak mematahkan semangat Sarawak untuk terus memburu gol kedua. Hanya lima minit diperlukan untuk Mark Hartmann meletakkan Sarawak di depan selepas sepakannya yang menuju ke bucu kiri pintu gol gagal diselamatkan penjaga gol gantian, Nor Haziq Aris. Tiga minit kemudian, Hafiz Abu Bakar yang baru dimasukkan terus menambah luka PKNS dengan gol ketiga. Di penghujung babak, PKNS merapatkan kedudukan hasil tandukan Safee Sali namun ia sudah lewat bagi menghentikan Sarawak dari membawa pulang tiga mata.

Ulasan pasukan Sarawak :
Sebagai seorang yang hadir ke stadium tanpa mengenali seorang pemain Sarawak kecuali Ronny Harun(bukan peminat Sarawak dan Sarawak masih belum ada live di televisyen), agak terkejut untuk melihat pasukan Sarawak berjaya mendominasi permainan menentang PKNS yang dibarisi ramai bekas/masih menjadi pemain kebangsaan. Dalam perlawanan ini, barisan serangan Sarawak berhak mendapat kredit kerana berani melakukan percubaan dari luar kotak penalti yang mana menghasilkan dua gol pertama Sarawak. Walaubagaimanapun, Sarawak perlu menambah-baik pertahanan mereka jika mahu menjadi pencabar kepada mana-mana pasukan dalam Liga Super. 

Di pintu gol, Shahril Saari turut berhak untuk mendapat kredit kerana berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya terutama dari Safee Sali untuk menidakkan peluang PKNS menambah jaringan gol. Aksinya yang paling diingati sudah pasti pada minit ke-72, setelah menidakkan tandukan Safee Sali dari jarak dekat. Sebelum itu, Patrick Ronaldinho Wleh melakukan placing setelah melihat Shahril sedikit terkeluar dari pintu gol namun terkena palang. Bola yang jatuh di depan pintu gol disambar Safee Sali namun Shahril bingkas bangun untuk menafikan tandukan Safee Sali. Aksi tersebut ternyata terus menaikkan semangat Shahril untuk terus beraksi cemerlang ketika Sarawak di asak bertubi-tubi di lima belas minit terakhir perlawanan.

Membariskan Dzulazlan Ibrahim, Demerson, Ronny Harun, dan Mazwandi Zekeria di bahagian pertahanan, mereka seharusnya lega PKNS tidak berjaya menjaringkan gol awal yang boleh merubah rentak perlawanan. Dalam masa sepuluh minit, dua kali bahagian serangan PKNS berjaya melakukan through ball di mana percubaan pertama Patrick Ronaldinho lambat bertindak dan percubaan kedua, Shahril menutup ruang untuk Khyril Muhymeen melakukan percubaan. Selain itu, mereka harus tenang dalam melakukan clearance ball kerana acap kali clearance yang dilakukan tidak berhasil dan memberi ruang kepada barisan PKNS melancarkan serangan semula.

Ronny Harun sememangnya layak menjadi ketua pasukan melihatkan cara beliau memimpin barisan pertahanan. Mereka turut bertindak balas dengan baik ketika diserang balas. Ronny yang akan naik melakukan lontaran ke dalam terus ke kotak penalti jika mendapat peluang, akan diarahkan menutup ruang sisi dan pertahanan sisi akan menutup ruang di tengah sebelum bertukar semula posisi setelah keadaan reda. Pertahanan Sarawak juga pantas menutup ruang dan melakukan halangan jika melihat penyerang PKNS ingin melakukan percubaan dari luar kotak penalti di mana ia memudahkan tugas Shahril di pintu gol.

Gol pertama yang dilepaskan, ia adalah pertama kali pertahanan Sarawak memberi ruang yang agak besar kepada Espindola. Espindola ternyata menggunakan peluang tersebut untuk terus melakukan percubaan dari luar kotak tanpa ada blocking dilakukan. Gol kedua pula, dalam satu situasi set piece sepakan percuma, ketika pemain PKNS dan Sarawak bertumpu di satu kawasan, seorang pemain PKNS melakukan tandukan ke ruang yang kosong di dalam kawasan kotak 'D' dan Safee Sali mudah menanduk masuk ke pintu gol kerana tiada siapa yang mengawalnya ketika itu.

Di bahagian tengah, pada permulaan, Sarawak seolah bermain secara 4-1-4-1 di mana Rodney Celvin sebagai defensive midfielder, Tommy Mawat dan Shamie Iszuan sebagai sayap sisi, Mark Hartmann dan Lee Jong-ho sebagai pemain tengah. Tugas Rodney Celvin untuk mematahkan gerakan PKNS dari tengah agak sukar dengan berhadapan Espindola dan Khyril Muhymeen yang kadang-kala bertukar posisi serta Safee Sali yang sekali-sekala akan turun ke bahagian tengah untuk membantu. Rodney beberapa kali melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola tinggi apabila sepakannya menuju ke arah pertahanan Sarawak sendiri. Rodney dikeluarkan pada minit ke-76 digantikan Dalglish Papin Test. 

Tugas Lee Jong-ho pula dilihat lebih kepada untuk menghubungkan bahagian tengah dan pertahanan manakala Mark Hartmann akan menghulurkan bola kepada Mateo Roskam di hadapan. Taktikal ini dilihat agak sukar untuk diaplikasikan kerana Hartmann akan menghantar bola tinggi dari bahagian tengah dengan Roskam di hadapan menanti bola tanpa bantuan di mana Tommy dan Shamie lebih selesa untuk membuka ruang di tepi padang. Selepas beberapa ketika, barulah Hartmann dilihat bermain sebagai attacking midfielder dan memberi lebih ancaman ke arah pintu gol.

Kebijaksanaan Mark Hartmann yang sentiasa menggunakan peluang di luar kawasan 'D' hampir-hampir menyaksikan beliau mencatat lebih dari satu gol. Percubaannya pada minit ke-8 sedikit tersasar ke kiri pintu gol dan percubaan pada minit ke-16 membantu menghasilkan gol. Untuk gol yang dicatatkan pula, ia adalah hasil usaha Tommy yang berjaya mencuri bola dari kaki pemain PKNS sebelum dihantar kepada Hartmann yang tidak dikawal. Tommy juga turut berpeluang mencatat nama sebagai penjaring namun percubaannya selepas menerima umpanan Lee Jong-ho ditampan Haziq untuk sepakan sudut pada minit ke-65.


Ulasan pasukan PKNS :
Di pintu gol, agak malang buat Zamir Selamat untuk dikeluarkan seawal minit ke-22 bagi memberi laluan kepada Nor Haziq Aris akibat kecederaan. Sebelum ditukarkan, Zamir sempat menyelamatkan dua percubaan. Pada minit ke-16, hantaran Mateo Roskam ditanduk Tommy namun ditepis Zamir. Dan seminit kemudian, walaupun Zamir sedikit ke hadapan, beliau masih sempat melayangkan badan untuk menepis percubaan Hartmann lalu terkena palang. Aksi inilah yang menyebabkan Zamir terpaksa meminta rawatan perubatan sebelum terpaksa ditukarkan pada minit ke-22 akibat kesakitan ketika merebahkan badan.

PKNS membariskan Azreen Zulkafli, Gonzalo Soto, Amirridzwan Taj dan Azmi Muslim di barisan pertahanan. Ternyata beberapa siri kesilapan yang dilakukan oleh barisan ini menghukum mereka dengan jaringan gol. Lambat menutup ruang membolehkan percubaan ke arah gol dilakukan dan kerap pemain lawan terlepas dari kawalan. Saat Tommy melakukan tandukan pada minit-ke-16, hanya Tommy yang menanti hantaran Mateo ketika itu. 
Malah, gol ketiga Sarawak melalui Hafiz Abu Bakar, menerusi satu set piece sepakan percuma. Ketika Azmi Muslim mencabar bola di udara bersama pemain Sarawak dan kedua-duanya gagal menanduk bola tersebut, Hafiz Abu Bakar menanti di belakang tanpa ada siapa yang mengawalnya. Tanpa berlengah, Hafiz terus melakukan percubaan ke arah gol menewaskan Haziq di pintu gol.

Di bahagian tengah pula, dengan meletakkan K. Gurusamy yang merupakan pemain Sarawak pada musim lepas di bahagian tengah bertahan, Nazrin Syamsul Bahri dan Khyril Muhymeen di sisi dan Lucas Espindola sebagai perancang, PKNS bermula dengan baik dengan hantaran-hantaran banyak berpusat di tengah. Jika bola di bawa ke sisi padang, Espindola, Khyryl Muhymeen dan Nazrin akan bertindak membawa bola ke ruang tengah dan cuba melakukan hantaran di belakang pertahanan.

Namun, segalanya berubah apabila Sarawak memperoleh gol pertama. Ia seolah-olah terus merentap semangat mereka untuk merencana serangan dengan barisan tengah gagal untuk menyambungkan bola kepada Patrick dan Safee Sali di hadapan. Dan ketika diserang, enam pemain PKNS akan berada di kotak manakala empat pemain akan berada di garisan tengah yang mana agak menyukarkan untuk melakukan serangan balas jika menunggu bola dikeluarkan dari kawasan bahaya.

Walaubagaimanapun, mereka turut mempunyai beberapa siri serangan yang boleh membawa kepada gerakan gol jika dapat dilaksanakan dengan sempurna. Gerakan satu dua antara Khyril Muhymeen dan Patrick pada minit ke-27 berjaya menewaskan pertahanan namun percubaan Khyril sedikit meliar dari sisi pintu gol. Nazrin pula terlepas peluang terbaik pada minit ke-40 apabila berjaya melepasi perangkap offside dan mendapat loose ball selepas sepakan percuma namun volley yang dilakukan agak lemah dan mudah untuk Shahril menangkis bola tersebut.

Safee Sali begitu rajin untuk sekali-sekala turun ke bahagian tengah untuk membantu Espindola merancang gerakan dan sekurang-kurangnya beliau terlepas dua peluang terbaik, satu ketika tandukannya diselamatkan dan satu lagi pada minit ke-76 ketika Shahril menepis percubaan pemain PKNS, bola tersebut menuju ke arahnya namun kegopohan Safee menyaksikan bola tersebut melewati palang.

Bagi Patrick pula selain dari percubaannya yang terkena palang, tandukannya pada minit ke-83 seharusnya boleh menewaskan Shahril kerana dalam aksi itu, Shahril menerpa keluar untuk menepis sepakan sudut Khyril Muhymeen tetapi terlepas dan Patrick menanduk ke sisi luar pintu gol ketika pintu gol sudah ternganga.

No comments:

Post a Comment