Thursday 16 February 2017

Ulasan Piala FA 2017 : Selangor (0)-(0) Negeri Sembilan (Penalti 3-4)

*Memandangkan penyokong Negeri Sembilan sedang bergembira menikmati kemenangan ke atas Selangor, eloklah kiranya ulasan untuk perlawanan ini didahulukan. Ulasan PDRM menentang Negeri Sembilan masih di dalam draft.

Malam tadi telah berlangsungnya perlawanan Piala FA 2017  pusingan kedua dan salah satu perlawanan membabitkan pasukan Liga Super, Selangor menanti pencabar kejuaraan Liga Perdana, Negeri Sembilan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di mana Selangor bertindak selaku tuan rumah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh 120 minit permainan yang mengujakan kedua-dua penyokong pasukan. Setelah sepakan yang diambil Nor Hazrul diselamatkan Khairul Azhan, Lee Tuck, Nemanja Vidic, Faizal Abu Bakar dan Bruno Suzuki memastikan kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan. Walaupun tiga sepakan pertama Selangor(Juliano Mineiro, Razman Roslan, Forkey Doe) berjaya menerjah jaring, kegagalan Halim Zainal(diselamatkan Saiful Amar) dan Ugo Ukah(menuju ke tiang gol) membolehkan Negeri Sembilan meneruskan perjuangan mereka di Piala FA.

Pra perlawanan :
Sebagai sebuah pasukan gergasi Merah Kuning dan beraksi dalam kancah Liga Super, pastinya Selangor tidak mahu dimalukan Negeri Sembilan lebih lagi mereka beraksi di halaman sendiri. Penulis menjangkakan stadium akan dibanjiri dengan kehadiran penyokong baik Selangor mahu pun Negeri Sembilan kerana beberapa faktor seperti lokasi yang berdekatan untuk pasukan pelawat, aksi pasukan dalam perlawanan sebelum ini dan yang lebih utama kemeriahan Piala FA itu sendiri di mana pasukan yang menang akan meneruskan perjuangan. Walaupun secara kasarnya boleh dikatakan penyokong Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai kuantiti yang hampir sama, pengumuman pihak stadium untuk jumlah penyokong berbayar adalah seramai 2300 adalah sesuatu yang agak mengecewakan. Bagaimanapun, kewujudan papan elektronik adboard seharusnya wajar diberi pujian.

Ulasan pasukan Negeri Sembilan :
Terdapat segelintir penyokong yang mahukan ketua jurulatih merehatkan beberapa pemain bagi memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Terengganu Jumaat ini. Dan hasrat itu sedikit terlaksana dengan kehadiran Saiful Amar sebagai penjaga gol yang tidak bermain dalam dua perlawanan sebelum ini, Hariri Safii(menggantikan Nor Hazrul), Annas Rahmat(menolak Nemanja Vidic ke tengah dan Curran Ferns direhatkan), dan Izzudin Zainuddin(menggantikan Faizal Abu Bakar) mendapat tempat dalam first eleven buat pertama kalinya untuk musim ini, serta Khairul Anuar yang mengambil posisi Izuan Salahudin. Gembira untuk melihat Negeri Sembilan mampu memberi saingan kepada Selangor dalam tempoh 120 minit. Mereka tidak mengamalkan one half play untuk perlawanan kali ini. Semua pemain memberi aksi yang terbaik untuk memenangi perlawanan jika dibandingkan dengan perlawanan Liga Perdana sebelum ini sehingga terdetik di hati 'Kalah pun takpe. Puas hati tengok main macam ni'. Tetapi pastinya penyokong Negeri Sembilan mahukan kemenangan berpihak kepada mereka agar dapat meneruskan perjuangan dalam kempen Piala FA dan mempunyai lebih perlawanan supaya lebih ramai pemain dapat digunakan melihatkan kepada rotation player pada malam tadi.

Penjaga gol :
Calon untuk Man of The Match malam tadi selain Ugo Ukah dari Selangor. Melihatkan aksi Saiful Amar pada malam tadi, penyokong Negeri Sembilan pasti bergembira kerana kedua-dua penjaga gol utama mereka mampu beraksi dengan baik. Beraksi dalam perlawanan pertama menentang Sabah dan tidak banyak diuji, malam tadi Saiful Amar ternyata berjaya merobek hati penyokong pasukan tuan rumah dengan beberapa aksi melayangkan badan untuk menyelamatkan bola dari masuk ke pintu gol. Aksi Saiful Amar bermula pada minit ke-38 apabila dalam keadaan kelam kabut setelah sepakan sudut Selangor, pemain Selangor menghantar bola ke dalam kotak penalti dan Rizal Fahmi Rosid berpeluang untuk menjaringkan gol kerana hanya berhadapan dengan Saiful Amar namun Saiful bijak merebahkan badan untuk menghalang percubaan Rizal Fahmi. Pada minit ke-42, lorongan rendah K.Kannan dari sebelah kiri sempat ditepis Saiful Amar ketika Forkey Doe sudah menanti di belakang untuk menampan bola tersebut. Saiful meneruskan kecemerlangan beliau di separuh masa kedua apabila menepis sepakan percuma Juliano Mineiro dua minit selepas wisel ditiupkan. Dan pastinya penyokong tidak dapat melupakan detik Saiful menepis tandukan Forkey Doe pada minit ke-86 dan sepakan percuma Raimi Md Nor pada penghujung masa sebenar yang menuju ke bucu kiri pintu gol di mana penyokong Selangor sudah berkira-kira untuk bersorak manakala penyokong Negeri Sembilan bersorak gembira melihat aksi cemerlang penjaga gol mereka. Saiful turut memastikan Negeri Sembilan kembali dalam persaingan sepakan penalti setelah menyelamatkan sepakan penalti keempat pemain Selangor ketika Negeri Sembilan ketinggalan satu gol. Cuma berkemungkinan kecederaan di kaki menyebabkan Annas terpaksa membantu mengambil sepakan gol sepanjang masa tambahan dilangsungkan.

Pertahanan :
Apa yang boleh diungkapkan apabila empat pemain pertahanan tempatan mampu mengekang tiga serangkai pemain import dari menjaringkan gol. Dengan dibimbing Nasriq Baharom selaku ketua pasukan, Fauzan Fauzi, Annas Rahmat, Nasriq dan Hariri Safii turut wajar diberi pujian untuk aksi mereka pada malam tadi. Fauzan dan Annas walaupun dilihat agak gugup pada mulanya, mereka bangkit untuk mengekang asakan demi asakan yang diberikan. Misjudgement yang dilakukan Fauzan pada minit ke-3 hampir memberi padah apabila Mineiro bertindak terlebih dahulu merampas bola. Mujur Fauzan pantas untuk mengasak Mineiro dan pemain Selangor lantas meminta sepakan penalti diberikan tetapi dinafikan pengadil. Tiga minit kemudian, miscommunication di antara Annas dan Fauzan siapa yang perlu mengeluarkan bola sebelum dirampas Forkey Doe. Dan kali ini, Forkey Doe pula dijatuhkan dan tiada sepakan percuma diberikan di hadapan pintu gol Negeri Sembilan. Bagi Annas pula, ketenangannya mengawal bola ketika berada di kawasan bahaya adalah satu aksi positif. Namun, ketenangannya hampir membawa padah apabila pada minit ke-47, Annas dilihat mahu membiarkan bola kepada penjaga gol tetapi sempat disambar Victor Astafei. Mujur juga Annas memberi respons dengan melakukan bentesan terhadap Astafei sebelum Astafei sempat membawa bola berhadapan dengan Saiful Amar. Sebagai seorang kapten, Nasriq pastinya sentiasa diperhatikan peminat lebih-lebih lagi setelah dua kesilapan yang dilakukan dalam dua perlawanan sebelum ini. Pada perlawanan pada malam ini, Nasriq mampu mengawal emosinya walaupun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan. Babak menarik untuk Nasriq pastinya apabila beliau menenangkan Lee Tuck yang menegur Nemanja Vidic mengapa tidak melorongkan bola kepadanya ketika tidak ada orang yang mengawalnya. Dan lebih manis, Nasriq mempertahankan rakan sepasukannya pada minit ke-75 apabila hadir dari bawah padang naik ke atas setelah melihat Ugo Ukah melakukan kekasaran terhadap Bruno. Nasriq hampir-hampir menjaringkan gol pada minit ke-82 apabila beliau menanti di far post dalam satu aksi sepakan percuma yang diambil Lee Tuck namun tandukannya tersasar. Kemasukan Hariri Safii menggantikan Nor Hazrul pula sedikit sebanyak meringankan beban Lee Tuck kerana Hariri berupaya untuk mengambil sepakan percuma. Mempunyai tubuh yang agak sasa seperti Nasriq, Syahmi Safari dilihat agak sukar untuk membawa bola ke hadapan jika dibandingkan dengan K. Kannan. Masih terimbau di fikiran bagaimana Hariri mendapat kad merah dalam perlawanan pertama pada musim lepas setelah bertindak balas terhadap pemain yang melakukan kekasaran terhadapnya, kad kuning pada minit ke-18 adalah agak merisaukan kerana perlu bermain secara berhati-hati dalam baki tempoh lebih kurang 70 minit permainan.

Pemain tengah :
Dengan kehadiran Izzudin Zainuddin di atas padang malam tadi, penulis percaya pengurusan Negeri Sembilan serius dalam usaha mereka untuk melakukan rotation player pada musim ini. Kecemerlangan Noorhafizzuan dan kecederaan menyebabkan Izzudin sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Dan malam tadi, Izzudin serta Khairul Anuar pastinya membuat jurulatih mereka pening untuk memikirkan siapa yang perlu dimainkan. Jika sebelum ini Negeri Sembilan terpaksa bergantung harap kepada Lee Tuck untuk menjadi playmaker, beban itu nampaknya dikurangkan dengan kehadiran Izzudin. Walaupun terpaksa berhadapan dengan dua pemain tengah Selangor dan dua penyerang import yang sentiasa hadir ke tengah padang untuk membantu serangan Selangor, Izzudin selesa untuk mengawal bola di tengah padang jika bola berada di kaki dan tidak terburu-buru melakukan hantaran. Hal ini mungkin disebabkan keyakinan Izzudin terhadap Nemanja Vidic yang membantu di belakangnya. Jika bola dirampas, Vidic akan membantu untuk mengembalikan semula pengawalan bola kepada pasukan negeri. Nemanja Vidic juga kerap bertukar-tukar hantaran bersama Izzudin untuk membolehkan Khairul dan Lee Tuck membuka ruang di tepi padang. Masalah bagi Izzudin cumalah perebutan bola di udara. Beliau lebih selesa untuk melakukan fake movement berbanding mengasak bagi merebut bola di udara mungkin atas faktor ketinggian. Vidic pula dilayangkan kad kuning pada minit ke-77 setelah melepaskan kemarahan dengan menampar bola selepas pengadil memberikan sepakan percuma kepada Selangor(kad kuning sia-sia). Bagi Khairul Anuar pula. corak permainan Khairul Anuar yang dipersembahkan pada musim lepas ternyata kembali pada malam tadi. Mungkin kerana baru pulih dari kecederaan, Khairul Anuar tidak dapat memberi yang terbaik ketika bertemu PKNP dulu. Kerap untuk bertukar posisi bersama Lee Tuck dan berlari membuka ruang di tepi supaya rakan sepasukan melakukan hantaran dan membina serangan dari tepi padang. Khairul Anuar turut meringankan beban Lee Tuck dengan mengambil sepakan sudut dan ini membolehkan Lee Tuck berada di luar kawasan penalti menantikan second ball. Walaupun agak sukar untuk Lee Tuck menunjukkan magis terhadap pasukan berstatus elit, beliau masih mampu melakukan gelecekan bola yang sesekali berjaya mengatasi pemain lawan. Lee Tuck hampir menjaringkan gol pada minit ke-12 apabila sepakannya dari luar kotak penalti menuju ke bucu kanan pintu gol tetapi berjaya ditepis Khairul Azhan. Seminit kemudian, setelah sepakan sudut yang diperolehi, hantaran lintang Lee Tuck ketika ramai pemain berada di dalam kotak penalti hanya melintasi pintu gol. Pada minit ke-34 pula, Lee Tuck mengambil sepakan percuma terus ke arah pintu gol dan sekali lagi Khairul Azhan bertindak cemerlang.

Penyerang :
Buat pertama kalinya setelah empat perlawanan Bruno tidak menjaringkan gol. Ia ibarat buku bertemu ruas bagi Bruno untuk mengetahui bagaimana pertahanan Liga Malaysia bermain sebenarnya. Diharapkan dengan pengalaman bertemu Selangor, Bruno dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk menewaskan pertahanan lawan dalam perlawanan akan datang terutama apabila bertemu lawan yang lebih gagah. Masih mampu untuk menggelecek seorang dua pemain pertahanan Selangor dan sentiasa melakukan pressing untuk merampas bola terutama dari kaki pertahanan kebal Selangor Ugo Ukah adalah satu petanda positif bahawasanya penyerang ini sedia untuk berhadapan dengan siapa sahaja. Hampir-hampir menjaringkan gol tiga minit sebelum permainan masa tambahan dihentikan namun diselamatkan Khairul Azhan. Berbeza pula bagi pemain Marko Simic, Penyokong Negeri Sembilan nampaknya masih tertanya-tanya apakah fungsi Marko Simic di atas padang setelah empat perlawanan tanpa sebarang gol. Walaupun mempunyai ketinggian yang ideal, penyokong Negeri Sembilan jarang-jarang dapat melihat Marko Simic mengancam pintu gol lawan menerusi tandukan. Bagaimanapun, sikap Marko Simic yang sentiasa positif dan berinteraksi bersama penyokong supaya penyokong terus bersorak sangat menarik. Lihat sahaja bagaimana Marko Simic begitu teruja meraikan kemenangan ataupun jaringan walaupun penyokong Negeri Sembilan masih mengharapkan dia menunjukkan aksi yang lebih baik.

Ulasan pasukan Selangor :
Beraksi di halaman sendiri dan sebuah pasukan berstatus gergasi seharusnya menjadi kelebihan buat Selangor dalam perlawanan ini. Menurunkan pemain-pemain seperti Khairul Azhan, Razman Roslan, Ugo Ukah, dan Forkey Doe, kekalahan bukanlah keputusan yang diinginkan kem Selangor. Namun deretan peluang yang disia-siakan memaksa Selangor terpaksa pulang hampa dan menamatkan kempen Piala F.A. Malah, mereka pasti kecewa apabila jaringan gol pada minit ke-84 dibatalkan dan menurut isyarat pengadil perlawanan, bola telah terkena tangan pemain Selangor terlebih dahulu.

Penjaga gol :
Sudah pasti Khairul Azhan tidak perlu diperkenalkan lagi kebolehannya. Isu untuk Khairul Azhan hanya apabila menerima sepakan percuma terus ke arahnya. Jarang-jarang dapat melihat Khairul Azhan menangkap kemas sepakan percuma dan lebih bahaya bola tersebut muntah di hadapan pintu gol. Jika pemain-pemain Negeri Sembilan pantas mengambil peluang dalam situasi ini, pasti jaringan gol dapat dilihat. Bagaimanapun, secara keseluruhannya persembahan Khairul Azhan masih ditahap yang baik walaupun baru pulih dari kecederaan. Selepas melayangkan badan untuk menepis sepakan Lee Tuck yang menuju ke bucu kanan pintu gol pada minit ke-12, Khairul Azhan terus cemerlang sepanjang 120 minit permainan malah memberi kelebihan kepada Selangor dalam penentuan sepakan penalti apabila berjaya menepis sepakan penalti pertama pemain Negeri Sembilan.

Pertahanan :
Agak jarang untuk melihat pasukan Liga Malaysia bermain dengan tiga pemain di bahagian bawah. Kombinasi Razman Roslan, Ugo Ukah dan Rizal Fahmi Rosid di bahagian pertahanan menjadi pertaruhan P. Maniam dalam perlawanan ini. Dengan kehadiran Ugo Ukah, ia tidak menjadi untuk Selangor bermain dalam sistem ini. Ugo Ukah tenang untuk mengemudi barisan pertahanan dengan mematahkan serangan yang dibina pemain Selangor sambil dibantu Razman dan Rizal Fahmi. Hanya satu permasalahan dalam sistem ini ialah pemain pertahanan perlu berwaspada ketika memegang bola di dalam kawasan sendiri. Beberapa kali pemain Negeri Sembilan berjaya mencuri bola dan dengan satu pertahanan telah ditewaskan, pasti sukar untuk bertahan dengan kekurangan pemain di bawah. Pengurusan Selangor juga perlu menyelesaikan masalah komunikasi sesama pemain jika mahu keharmonian pasukan berterusan. Dalam satu siri serangan menerusi set piece, Razman dan Ukah bertelagah di manakah posisi Razman yang sepatutnya. Razman menunjukkan tempatnya berdiri seolah mahu menanti di situ membantu serangan manakala Ukah seperti mahukan Razman berada di garisan tengah menanti jika-jika pemain Negeri Sembilan dapat melakukan serangan balas.

Pemain tengah :
Pada separuh masa pertama, Selangor banyak mempertaruhkan kelajuan K.Kannan untuk melancarkan serangan di sebelah kiri manakala jika bola dari arah kanan, Syahmi Safari akan dibantu Victor Astafei untuk melancarkan serangan. K. Kannan kerap dapat melepasi kawalan Fauzan Fauzi namun mungkin perlu lebih kreatif dalam melakukan hantaran. Lihat sahaja bagaimana penggantinya, Raimi Md Noor yang masuk pada minit ke-60, berjaya melakukan dua hantaran berbahaya ke dalam kotak penalti mencari Forkey Doe. Ia adalah hantaran yang hampir serupa pada minit ke-86 dan minit 109 mencari pemain di dalam kotak penalti dan kedua-duanya ditanduk Forkey Doe. Hanya aksi Saiful Amar yang menafikan jaringan gol dilakukan. Dengan meletakkan S. Venood dan Saiful Ridzwan sebagai defensive midfield, Selangor tidak memerlukan pemain tengah sebagai playmaker kerana mereka mempunyai Juliano Mineiro dan Victor Astafei yang akan turun ke bahagian tengah untuk melancarkan serangan.

Pemain penyerang :
Pemain penyerang yang menjadi tumpuan penyokong Selangor dalam perlawanan ini ialah Forkey Doe. Sekurang-kurangnya, Forkey Doe mempunyai tiga peluang menjaringkan gol yang disia-siakan. Menerima hantaran dari Victor Astafei pada minit ke-23, dengan tiada pemain yang mengawal kerana kegagalan Fauzan menanduk bola keluar, Forkey Doe memilih untuk menyasarkan kawasan luar jaring gol ketika hanya berdepan Saiful Amar. Sebagai seorang penyerang prolifik, ia pasti sukar untuk para peminat. Pada minit ke-66, sekali lagi Forkey Doe memilih untuk menyasarkan kawasan luar jaring gol ketika sebelum itu beliau telah pun melepasi kawalan empat pemain Negeri Sembilan. Dan pada minit ke-90, ketika Saiful Amar teragak-agak sama ada mahu keluar untuk mengeluarkan bola ataupun menunggu bola tiba, Forkey terlebih dahulu berjaya merampas bola tersebut dan tindakannya mahu menggelecek Saiful Amar mengundang padah apabila bola yang ditolak ke tepi terlalu jauh dari kaki untuk disepak dan pemain pertahanan Negeri Sembilan sempat turut untuk berada di dalam kotak penalti dan bertahan. Forkey Doe perlu lebih bijak dalam melakukan penyudah dan membuktikan semula kenapa pemain lawan patut menggeruni pemain yang digelar Predator ini.

Mutu pengadilan :
Melihat kepada mutu pengadilan dalam perlawanan ini, beberapa keputusan yang dilakukan ternyata berjaya mengundang amarah penyokong yang hadir. Dengan menafikan sepakan penalti untuk Selangor pada minit ke-3 dan minit ke-6 serta membatalkan jaringan gol Selangor pada minit ke-84, pastinya segilintir peminat tidak dapat menerima keputusan yang telah dilakukan. Bagi kem Negeri Sembilan pula, keputusan pengadil untuk memberi kad kuning kepada Nasriq ketika perebutan bola di udara mengundang pertanyaan kerana beberapa minit kemudian, tindakan yang hampir serupa dilakukan pemain Selangor dan hanya wisel ditiupkan. Dan keputusan pengadil untuk memberikan sepakan percuma kepada Selangor pada baki terakhir minit permainan masa sebenar turut dipersoalkan kerana ia bukanlah kekasaran yang dilakukan apabila pemain Negeri Sembilan cuba merebut bola dari kaki pemain Selangor. Mujur sepakan percuma yang diambil Raimi tidak menerjah jaring. Jika ya, pastinya ia akan mengundang kemarahan penyokong pelawat.

No comments:

Post a Comment