Saturday 18 February 2017

Ulasan Liga Perdana : Negeri Sembilan (3)-(2) Terengganu

Pertembungan dua pasukan tangga teratas Liga Perdana malam tadi membabitkan Negeri Sembilan dan Terengganu menyaksikan Negeri Sembilan berjaya mengekalkan penguasaan liga setelah mengatasi Terengganu dengan kemenangan 3-2. Beraksi di halaman sendiri, Negeri Sembilan ternyata menggunakan kelebihan yang ada dengan menguasai permainan separuh masa pertama dan hasilnya, skuad Hobin Jang Hobin melangkah masuk ke bilik persalinan secara selesa mendahului dua gol tanpa balas.

Bruno Suzuki meneruskan aksi cemerlangnya setelah menyudahkan hantaran Khairul Anuar pada minit ke-23 dengan tandukan ke arah gol menewaskan Amirul Hakimi Awang. Empat minit kemudian, Marko Simic menamatkan kemarau golnya juga menerusi tandukan hasil sepakan percuma yang diambil oleh Lee Tuck.

Bermula separuh masa kedua, Terengganu mengatur semula permainan mereka untuk percubaan merapatkan jurang kedudukan dan pada minit ke-53, Abdul Latif Suhaimi merembat kencang menewaskan Kaharudin Abdul Rahman di pintu gol setelah bola yang terlepas dari kaki pemain pertahanan menuju ke arahnya.

Bgaimanpun, gol tersebut tidak mematahkan semangat juang pemain Negeri Sembilan untuk melebarkan kedudukan dan pemain gantian, Izuan Salehudin menyudahkan hantaran pendek Bruno Suzuki pada minit ke-74. Walaupun Issey Nakajima cuba untuk merapatkan jurang dengan jaringan gol pada minit ke-80, Negeri Sembilan terus utuh bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan.


Ulasan Pra dan Pengadil Perlawanan :
Tiga kemenangan, satu perlawanan ditangguhkan, menang dalam pusingan kedua Piala FA. Kedua-dua pasukan menuju ke kancah perlawanan dengan rekod yang sama. Yang menjadi perbezaan untuk kedudukan liga, hanyalah jaringan gol. Sudah pasti, kedua-dua penyokong mahu memberi sokongan kepada pasukan kesayangan lebih-lebih lagi setelah melihat aksi pasukan yang longlai pada penghujung musim lalu. Dengan perlawanan diadakan pada Jumaat malam, memberi kesenangan kepada penyokong lawan walaupun terpaksa menempuhi perjalanan selama 5 jam lebih untuk hadir kerana Jumaat dan Sabtu merupakan hari minggu bagi Terengganu.

Penyokong Negeri Sembilan pula, dengan kemenangan bermakna ke atas Selangor Selasa lalu, penyokong tidak akan melepaskan peluang untuk terus menyaksikan dan memberikan sokongan kepada skuad Hobin Jang Hobin ini. Dan hal ini dibuktikan dengan kehadiran lebih 9000 penyokong bertiket ke Stadium Tuanku Abdul Rahman sehingga pengurusan PBNS terpaksa mengeluarkan tiket simpanan(jalan selamat sediakan tiket Negeri Sembilan vs Terengganu dalam kuantiti sedikit supaya kurang pembaziran)  dan kereta-kereta yang membanjiri persekitaran stadium termasuk taman-taman berhampiran dan gigi jalan(sampai Klinik Ampangan orang parking).

Oleh hal yang demikian, untuk satu perlawanan yang agak besar ini, kekasaran pastinya tidak dapat dielakkan. Cumanya pemain-pemain perlu lebih bersabar agak tidak mencetuskan kejadian yang tidak diingini. Dan pengadil juga perlu bijak untuk mengawal keadaan dan mengadili perlawanan. Secara keseluruhan, pengadil melayangkan dua kad kuning kepada pemain Terengganu(Latiff Suhaimi minit ke-45 dan Adib Aizudin minit ke-71) manakala tiga kad kuning kepada pemain Negeri Sembilan(Nasriq minit ke-39, Faizal Abu Bakar minit ke-65 dan Lee Tuck minit ke-69).

Namun, tidak enak untuk dilihat apabila beberapa kali pertelingkahan di antara pemain berlaku dan jika pengadil bijak untuk mengawal keadaan, pastinya kejadian tersebut dapat dielakkan. Pada minit ke-71, Lee Tuck bertindak untuk meneruskan permainan walaupun dua pemain mengalami kecederaan(pemain Terengganu dan Negeri Sembilan), menimbulkan kemarahan Adib Aizudin. Ketika pengadil mahu melihat situasi kedua-dua pemain yang cedera, Adib meluru ke arah Lee Tuck dan menolaknya. Mujur pembantu perlawanan bertindak untuk melaporkan insiden tersebut.

Dan dalam satu aksi serangan Negeri Sembilan, hantaran satu dua Lee Tuck bersama Marko Simic membolehkan Lee Tuck berhadapan dengan seorang pemain pertahanan dan berjaya diatasi. Namun, wisel ditiupkan kerana Marko Simic telah dikasari. Dalam situasi ini, seharusnya pengadil memberikan advantage kepada Lee Tuck yang telah mendapat bola dan hanya perlu berhadapan dengan Amirul Hakimi, dan kebiasaannya jika pengadil tetap menghentikan perlawanan, ia disusuli dengan layangan kad tetapi sebaliknya yang berlaku.


Ulasan penjaga gol kedua-dua pasukan :
Lima gol yang disajikan untuk penyokong pada malam tadi bukan bukti kelemahan penjaga gol semata-mata tetapi sebaliknya kebijaksanaan barisan serangan menggunakan peluang yang ada disamping sedikit kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan. Penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharudin Abd Rahman tertewas dua kali di mana kedua-dua gol tersebut bukanlah tidak boleh diselamatkan, tetapi agak sukar kerana kedudukan bola yang dituju. Gol pertama Latif Suhaimi menuju ke bucu kiri atas pintu gol dan gol Issey pula hasil sepakan leret juga ke arah kiri yang gagal digapai.

Setelah tiga perlawanan bermain, teknik sepakan gol Kaharudin semakin baik berbanding ketika bertemu PKNP dulu. Cuma Kaharudin perlu lebih tenang ketika melakukan clearance terutama ketika pemain lawan mengasak kerana beberapa kali sepakannya tidak pergi jauh dan bola keluar dari padang permainan. Melihat keyakinan Kaharudin untuk memintas lambungan bola ke dalam kotak dan komunikasi yang baik bersama Annas, penyokong pasti bergembira melihat persaingan sihat penjaga gol mereka.

Bagi Terengganu pula, kecederaan penjaga gol utama merangkap kapten pasukan, Sharbinee Alwee memberi ruang kepada Amirul Hakimi untuk berada dalam kesebelasan utama. Tetapi ia bukanlah yang merisaukan penyokong kerana Amirul Hakimi merupakan prospek untuk penjaga gol kebangsaan bawah 23 tahun untuk menghadapi Sukan SEA.

Dua gol menerusi tandukan(satu tandukan ke kiri dan satu tandukan padu)dan satu gol selepas terpaksa berhadapan dengan pemain lawan gagal dihalang. Terdapat pertelingkahan di antara Lutfulla Turaev dan Amirul Hakimi selepas gol pertama dan dari isyarat badan mereka, Turaev mempersoalkan kenapa Amirul Hakimi tidak keluar untuk memintas bola tersebut. Tetapi dalam situasi ini, penulis merasakan jika benar Amirul perlu keluar, ia memerlukan komunikasi bersama pemain pertahanan kerana ketika situasi itu berlaku, dua pemain pertahanan yang mengawal Bruno Suzuki.

Ulasan permainan Terengganu secara keseluruhan :
Dengan kehadiran Irfan Bakti sebagai jurulatih yang berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia dan bijak dalam memilih taktikal, Terengganu sebenarnya turun sebagai pasukan favorite dalam perlawanan ini. Malah dengan kehadiran Issey Nakajima dan Ferris Danial serta beberapa pemain yang sudah arif dengan taktikal Irfan seperti Adib, Firdaus, Turaev dan Latiff yang datang dari Felda United, pasti bukan masalah untuk skuad Penyu untuk mendominasi perlawanan.

Membariskan Firdaus(pertahanan kanan), Nasrullah Hanif, Lazaro Martins dan Adib(pertahanan kiri) di barisan pertahanan, J. Partiban(sayap kanan), Latiff, Turaev dan Shahrin Sapien(sayap kiri) di tengah dan Issey serta Faris sebagai penyerang, sebaliknya yang berlaku apabila Terengganu yang lebih banyak diasak di separuh masa pertama.

Di barisan pertahanan, Terengganu perlu memperbaiki beberapa aspek agar tidak mudah ditembusi untuk perlawanan akan datang. Aksi Firdaus Fauzi yang naik ke atas untuk membantu serangan merupakan tindakan yang baik namun ketika diserang balas, Firdaus lambat turun ke bawah dan mengakibatkan Terengganu terpaksa bertahan dengan tiga pemain dan dalam perlawanan semalam, Terengganu dilihat bermasalah untuk bertahan dengan tiga pemain. Selain dari Adib yang menolak Lee Tuck yang mengakibatkan beliau mendapat kad kuning, Firdaus juga perlu mengawal emosi diri berikutan tindakannya pada minit ke-81 yang naik ke kawasan Negeri Sembilan semata-mata  untuk bertikam lidah dengan Faizal Abu Bakar atas insiden yang berlaku dalam kotak penalti Negeri Sembilan.

Untuk gol pertama yang dilepaskan, seperti yang diperkatakan, jika mahukan Amirul Hakimi keluar, komunikasi adalah penting antara Amirul, Nasrullah dan Adib. Ketika itu, Nasrullah dan Adib telah pun mengapit Bruno tetapi melalui pemerhatian rakaman video, kedua-dua pemain tidak melompat untuk mencabar Bruno. Dan gol kedua juga dilihat hampir serupa. Walaupun kedudukan Marko Simic berada di antara pertahanan Terengganu, tiada pemain yang mencabar tandukan Marko ketika itu.

Dan sebenarnya, gol kedua Negeri Sembilan mengundang persoalan mengapa Irfan Bakti melakukan pertukaran ketika menghadapi set piece kerana tindakan itu akan menyebabkan Terengganu kekurangan satu pemain untuk menghadapi set piece kerana pemain yang baru masuk masih berada di kawasan tengah padang. Tetapi secara dasarnya, pertukaran awal Irfan pada minit ke-26 menggantikan J. Partiban dengan Faiz Nasir merubah corak serangan Terengganu.

Sebelum kemasukan Faiz, barisan tengah Terengganu dilihat agak statik dan seolah-olah bermain tanpa penyerang. Ferris Danial dan Issey Nakajima banyak berada di garisan tepi padang kiri dan kanan. Ferris Danial berada di kiri kerana Shahrin Sapien banyak masuk ke tengah padang manakala agak pelik untuk melihat Issey berada di garisan kanan padang memandangkan Firdaus banyak naik untuk membantu di samping J Partiban sentiasa berlari di sisi padang dan jarang-jarang masuk ke ruang tengah.

Melihat aksi Faiz sendiri, pastinya ramai yang akan teringat kepada Che Hishamudin. Kecil orangnya tetapi kawalan bolanya yang menarik pasti meresahkan penyokong lawan. Seiring dengan kemasukan Faiz, taktikal Terengganu juga turut berubah dan mereka seolah-olah bermain secara free role sehingga Adib Aizudin turut masuk ke bahagian tengah untuk membantu serangan. Cuma Latiff Suhaimie tenang berada di tengah memimpin pasukan Terengganu dan tidak melepaskan peluang untuk menyudahkan peluang yang terhidang.

Apa yang menjadi perhatian tentang bahagian serangan Terengganu ialah mereka berani untuk melakukan cubaan dari luar kotak penalti apabila mendapati sukar untuk melepasi benteng pertahanan Negeri Sembilan. Turaev, Ferris Danial dan Issey beberapa kali melepaskan rembatan dari luar kotak penalti dan hasilnya Issey berjaya mendapatkan gol kedua untuk Terengganu setelah berjaya mencari ruang yang selesa untuk melepaskan rembatan.  

Ulasan permainan Negeri Sembilan secara keseluruhan :
Fauzan Fauzi, Nasriq dan Nor Hazrul terus menjadi pilihan jurulatih dan Annas pertama kali berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan Liga Perdana setelah aksi cemerlang yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Selangor. Di bahagian sayap kiri, Khairul Anuar dipilih untuk menggantikan Izuan Salehudin dan Vidic berpasangan dengan Faizal Abu Bakar di tengah manakala Lee Tuck pasti menjadi pertaruhan Asri Ninggal untuk mengucar-kacirkan pertahanan Terengganu.
Di bahagian serangan, kepercayaan masih diberikan Marko Simic dan penjaring terbanyak untuk Negeri Sembilan, Bruno Suzuki pasti menjadi pilihan untuk merobek pintu gol lawan.

Fauzan Fauzi telah meletakkan satu tanda aras yang agak tinggi kepada Aaroon Kumar yang sedang berehat kerana kecederaan. Jika Aaroon Kumar mahu merebut semula posisi sebagai pertahanan kanan, beliau perlu segera menyaingi aksi Fauzan Fauzi. Walaupun baru berusia 21 tahun, Fauzan beberapa kali berjaya melepasi kawalan Adib di kawasan kiri pertahanan Terengganu. Naik untuk membantu serangan, Fauzan melepasi kawalan Adib pada minit ke-21 sebelum melorongkan bola ke tengah tetapi gagal disambar rakan sepasukan.

Enam minit kemudian, Fauzan sekali lagi berjaya menewaskan Adib sehingga memaksa Adib untuk melakukan kekasaran agar Fauzan tidak terus mara ke dalam kotak penalti dan itulah sepakan percuma yang menghasilkan gol. Pada minit ke-54, Fauzan berjaya membawa bola sehingga ke dalam kotak penalti tetapi rembatannya hanya melintasi pintu gol. Dan beberapa minit kemudian, sekali lagi Fauzan berani untuk mencuba dan kali ini, sepakannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar di atas palang.

Gandingan Annas-Nasriq juga turut memastikan agar penyerang Terengganu tidak berpeluang untuk menghadapi Kaharudin dalam situasi satu lawan satu. Cuma gandingan ini perlu berhati-hati dari melakukan kesilapan dan Annas hampir-hampir membahayakan kedudukan pada minit ke-55 setelah clearance yang dilakukan berjaya ditampan Ferris Danial tetapi mujur Issey yang menanti di sebelah tidak bersedia untuk menyambar bola yang disepak semula keluar oleh Kaharudin.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, Asri Ninggal mungkin perlu untuk mencuba gandingan Annas-Vidic setelah menggabungkan Vidic-Nasriq dan Annas-Nasriq. Kemungkinan yang dimaksudkan ialah jika Nasriq digantung perlawanan akibat mengumpul kad kuning. Sebagai seorang kapten, mempertahankan anak buahnya adalah tindakan yang betul namun dari segi emosi, Nasriq kadang-kala agak meragukan. Kad kuning yang diterima pada minit ke-39 adalah hasil dari tindak balas selepas beliau diterjah Shahrin Sapien dan wisel tidak ditiupkan, Nasriq bertindak untuk menarik Shahrin tanda kemarahan.

Dan selepas kekecohan yang berlaku pada minit ke-71, Nasriq kelihatan mengangkat tangannya ketika berjalan bersebelahan Adib. Sama ada beliau mahu memberi demontrasi kepada tindakan Adib, ataupun memberi amaran, niatnya tidaklah diketahui. Namun, penyokong setia Negeri Sembilan pastinya tidak mahu kehilangan Nasriq di atas padang.

Dan Faizal kelihatan selesa untuk bergandingan dengan Vidic di bahagian tengah. Walaupun Faizal dan Vidic kedua-duanya berada di defensive mid, mereka berdua dibantu Khairul Anuar dan Lee Tuck untuk menghubungkan bola bersama penyerang. Jika sebelum ini gandingan Faizal dan Curran Ferns kurang menjadi ketika menentang PDRM, Faizal kelihatan selesa untuk mengawal bola mungkin kerana mempunyai keyakinan Vidic boleh memberi bantuan kepadanya memandangkan Vidic berasal dari pemain pertahanan. Orang yang sesuai untuk merampas semula bola jika Faizal ditewaskan di tengah. Dan Vidic juga tidak terlalu terikat untuk berada di defensive mid dan jika mempunyai ruang, naik untuk mengambil tugas sebagai playmaker.

Bruno dan Lee Tuck. Apa lagi yang perlu diulas untuk kedua-dua pemain ini. Terus-menerus mencatat nama sebagai penjaring dan assist gol. Bersama-sama Khairul Anuar dan Marko, mereka berempat terus-terusan memberi tekanan kepada barisan pertahanan Terengganu. Bruno dan Marko sentiasa berlari di belakang pemain pertahanan untuk menerima hantaran dan ia sedikit sebanyak menyukarkan pertahanan Terengganu untuk mengawal kedua-dua pemain ini.

Keberanian Khairul Anuar untuk melakukan percubaan dari luar kotak memberi variasi kepada serangan Negeri Sembilan dan cubaannya pada minit ke-30 diselamatkan Amirul Hakimi. Jika musim lepas, boleh dikatakan Khairul Anuar gemar melakukan hantaran silang rendah, musim ini Khairul Anuar mungkin perlu untuk melakukan lebih banyak hantaran tinggi dengan Bruno dan Marko bersedia di dalam kotak penalti untuk menanduk bola. Hantaran cantik Khairul pada minit ke-23 berjaya disudahkan Bruno dan dikeluarkan pada minit ke-64 untuk memberi laluan kepada Izuan.

Dan persaingan sihat antara Izuan dan Khairul Anuar pastinya menggembirakan penyokong Negeri Sembilan. Izuan turut memberi impak dalam perlawanan ini apabila pada minit ke74, ketika pertahanan Terengganu masih leka dan masih dalam proses untuk membentuk semula corak permainan dengan kemasukan Shukor Jusoh, Izuan pantas melakukan lontaran ke dalam mencari Bruno sebelum berlari masuk ke dalam kotak penalti untuk menerima semula bola dan menolak bola mudah ke dalam pintu gol ketika tiada pertahanan yang menjaganya.

Marko Simic. Beliau membalas kepercayaan pengurusan yang terus memberi peluang kepadanya dengan jaringan gol. Menerusi caranya meraikan jaringan, pastinya ia sesuatu yang begitu indah buat dirinya pada malam tadi. Berlari dari kawasan penalti Terengganu untuk pergi ke arah bangku simpanan, tanda penghargaan kepada jurulatih dari dirinya. Selain dari gol yang dijaringkan, tidak banyak sumbangan Marko Simic selain mendapatkan sepakan-sepakan percuma di kawasan-kawasan berbahaya.

Marko perlu bijak untuk menggunakan tubuhnya yang sasa untuk mengawal bola dan melakukan hadangan serta tidak perlu terburu-buru untuk melakukan hantaran terutama ketika tiada pemain lawan datang mengasak. Pada minit ke-69, Marko berpeluang melakukan hantaran selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan, namun beliau tergesa-gesa untuk melepaskan bola ke arah tengah setelah mendapatkan bola tersebut. Diharapkan Marko dapat menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya bagi mengurangkan beban kepada Bruno dan Lee Tuck.

Bagi Bruno Suzuki, satu gol dan satu assist yang dicatatkan berdasarkan kebijaksanaannya mencari ruang. Walaupun diapit dua pemain, Bruno masih mampu untuk menanduk bola dan beliau pantas meminta Izuan melakukan balingan ketika melihat Adib sudah pun off position selepas mengeluarkan bola dan Bruno hanya perlu menolak bola ke arah Izuan melepasi kawalan Nasrullah. Cuma, pada minit ke-86, gerakan solo yang dilakukan Bruno disudahi dengan rembatan lemah ketika Izuan telah membuka ruang di sebelah kanan.

No comments:

Post a Comment